Tiada manusia yang memiliki nilai kemanusiaan
dalam dirinya suka melihat kemusnahan dan kematian terus berlaku di bumi Syria.
Konflik berdarah di bumi Syria yang sudah berlanjutan lebih dari lima tahun
telah mengorbankan ratusan ribu nyawa dan sebahagian besar rakyat Syria kini
hidup sebagai pelarian. Jika masyarakat luar yang hanya menyaksikan melalui
media massa penderitaan dan kesengsaraan hidup yang sedang dialami oleh rakyat
Syria sangat mengharapkan agar peperangan di Syria perlu dihentikan dengan
segera, maka sudah tentu rakyat Syria yang menghadapi sendiri kematian
anggota keluarga, kemusnahan tempat tinggal, ketiadaan makanan dan sebagainya
akibat peperangan, ingin sekali agar peperangan segera dihentikan.
Persoalannya adalah bagaimana ia harus
dihentikan? Adakah dengan cara seperti yang diinginkan oleh kuasa-kuasa kuffar
barat khususnya Amerika Syarikat, Eropah dan Rusia atau kebangkitan umat Islam
Syria berakhir dengan kemenangan mereka menjatuhkan rejim Bashar Assad dan
seterusnya membentuk semula Syria dengan sistem pentadbiran Islam? Hakikatnya,
pertembungan antara perancangan barat dan aspirasi umat Islam Syria merupakan
punca utama mengapa peperangan di Syria masih berlanjutan sehingga kini.
Apabila peperangan di Syria mula meletus akibat
tindakan kejam yang dilakukan oleh rejim Bashar Assad untuk menghentikan
kebangkitan umat Islam Syria sudah tidak dapat dikawal lagi oleh rejim Bashar
Assad sendiri, maka negara-negara kuffar barat yang diketuai oleh Amerika
Syarikat mula melakukan pelbagai percaturan politik dalam konflik di Syria.
Kuasa-kuasa kuffar barat dengan sokongan dan bantuan daripada Arab Saudi, Qatar
dan Turki telah cuba untuk mewujudkan kerajaan baharu bagi menggantikan rejim
Bashar Assad. Satu bentuk percaturan yang telah berjaya dilakukan oleh kuffar
barat ketika menghentikan gelombang Arab Spring di Tunisia, Libya dan Mesir.
Rejim lama dijatuhkan dan kemudian diangkat pemimpin boneka yang membawa
dasar pemerintahan berdasarkan acuan kuasa-kuasa kuffar barat. Jika umat Islam
Syria menerima acuan tersebut seperti mana yang telah dilakukan oleh umat Islam
di Tunisia, Libya dan Mesir, nescaya peperangan di Syria sudah lama berakhir.
Rejim Bashar Assad hakikatnya sama sahaja dengan
rejim-rejim yang lain seperti Hosni Mubarak, Gaddafi dan Ben Ali. Mereka akan
dibuang oleh kuffar barat dengan mudah jika khidmat mereka sudah tidak
diperlukan lagi. Namun disebabkan perancangan kuasa-kuasa kuffar barat untuk
menamatkan kebangkitan umat Islam Syria tidak berjaya walaupun pelbagai
percaturan politik yang turut dibantu oleh pemimpin Turki, Arab Saudi dan Qatar
telah dilakukan, maka khidmat Bashar Assad bukan sahaja masih diperlukan oleh
kuffar barat untuk menjayakan agenda mereka, tetapi juga khidmat Bashar Assad
sangat diperlukan untuk menghalang usaha umat Islam Syria membentuk semula
negara Syria dengan sistem pentadbiran Islam.
Keinginan umat Islam di Syria yang tinggi untuk
membentuk semula Syria dengan sistem Islam dapat dilihat daripada kesungguhan
mereka menolak segala perancangan dan percaturan yang dilakukan oleh kuffar
barat. Perancangan kuasa-kuasa kuffar barat untuk membentuk kerajaan baharu
bagi menggantikan rejim Bashar Assad melalui pelbagai siri rundingan seperti
Rundingan Geneva I dan Geneva II telah menemui jalan buntu kerana ditolak oleh
umat Islam Syria. Syrian National Council (SNC)
dan Free Syrian Army (FSA) yang silih berganti diterajui oleh beberapa orang
pemimpin yang cuba ditokohkan oleh kuffar barat bagi menerajui kerajaan baharu
yang dirancang oleh mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak
mendapat sokongan yang kuat daripada umat Islam Syria. Umat Islam Syria
menyedari bahawa SNC dan FSA hanyalah boneka yang digunakan untuk menjayakan
perancangan kuasa-kuasa kuffar barat di Syria.
Oleh itu segala kesepakatan yang
dicapai dalam beberapa rundingan khususnya dalam Rundingan Geneva I dan II yang
diketuai oleh Amerika Syarikat tidak mempunyai sebarang makna kepada usaha
untuk membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan rejim Bashar Assad kerana
tidak diiktiraf dan tidak dipedulikan oleh kumpulan-kumpulan mujahidin. Harus
difahami bahawa, kumpulan-kumpulan mujahidin yang berperang menentang rejim
Bashar Assad merupakan pihak utama yang mewakili aspirasi umat Islam Syria,
bukannya SNC mahupun FSA. Oleh sebab itu, apabila SNC dan FSA telah gagal
dipergunakan oleh kuasa-kuasa kuffar barat untuk membentuk kerajaan baharu bagi
mengantikan rejim Bashar Assad, maka sekutu-sekutu kufar barat daripada
kalangan negara umat Islam sendiri seperti Arab Saudi, Turki dan Qatar telah
mengambil langkah menyalurkan bantuan kewangan dan persenjataan kepada beberapa
kumpulan mujahidin. Langkah tersebut dilalukan dengan tujuan untuk mempengaruhi
kumpulan-kumpulan mujahidin yang berperang menentang rejim Bashar Assad.
Pengaruh yang cuba ditanamkan oleh Arab Saudi, Turki dan Qatar dalam beberapa
kumpulan mujahidin bukan sahaja bertujuan untuk membina kekuatan dalam kumpulan
mujahidin yang akan membawa percaturan mereka tetapi juga bertujuan untuk
memecah belahkan fokus perjuangan kumpulan-kumpulan mujahidin.
Keadaan ini bukan sahaja telah
menyebabkan kumpulan-kumpulan mujahidin terpaksa disibukkan dengan konflik
dalaman sehingga membawa kepada proses reform dan regroup yang
sangat kerap tetapi juga telah memberi ruang kepada rejim Bashar Assad untuk
mengatur dan membentuk semula kekuatan tenteranya. Pada masa yang sama,
kewujudan ISIS telah menyebabkan keadaan kumpulan-kumpulan mujahidin menjadi
semakin tersepit. Sepanjang kewujudan ISIS dalam konflik di Syria, ia telah
memberi banyak keuntungan kepada rejim Bashar Assad dan memberikan banyak
masalah kepada kumpulan-kumpulan mujahidin yang menentang rejim Bashar Assad.
Tindak-tanduk ISIS yang sangat teruja menayangkan kepada dunia sikap anarkis
dan pembunuhan yang mereka lakukan ke atas orang awam, telah dimanfaatkan
sepenuhnya oleh Bashar Assad dan Rusia untuk melakukan pengeboman secara
besar-besaran di kawasan yang dikuasai oleh kumpulan-kumpuan mujahidin
khususnya di Aleppo Timur. Ironinya, kawasan yang dikuasai ISIS di sempadan
Syria-Iraq tidak menjadi sasaran pengeboman Rejim Bashar Assad dan Rusia.
Kejayaan strategi Arab Saudi,
Turki dan Qatar menanamkan pengaruh dalam kumpulan-kumpulan mujahidin merupakan
antara sebab Aleppo yang menjadi kubu kuat kumpulan-kumpulan mujahidin dapat
ditawan oleh rejim Bashar Assad. Selain daripada pengeboman besar-besaran yang
dilakukan oleh rejim Bashar Assad dan Rusia ke atas Aleppo, Operation Euphrates
Shield yang direncanakan oleh Presiden Turki iaitu Erdogan telah membantu memudahkan
rejim Bashar Assad menawan Aleppo. Hal ini demikian kerana, Operation Euphrates
Shield telah menyebabkan pertahanan kumpulan-kumpulan mujahidin di Aleppo
menjadi lemah ekoran kumpulan-kumpulan mujahidin yang dipengaruhi oleh Turki
telah meninggalkan Aleppo untuk membantu pasukan tentera Turki dalam Operation
Euphrates Shield bagi menentang ISIS dan Kurdis. Operasi ketenteraan yang
dilancarkan oleh Presiden Erdorgan pada ketika rejim Bashar Assad sedang
melancarkan operasi bagi menawan bandar Aleppo.
Harus difahami bahawa walaupun
Aleppo telah ditawan oleh rejim Bashar Assad dan ramai tentera
kumpulan-kumpulan mujahidin yang telah terkorban, namun ia bukanlah pengakhiran
kepada kebangkitan umat Islam Syria, sebaliknya ia merupakan satu fasa baru dalam
perjuangan menjatuhkan rejim Bashar Assad dan seterusnya membangunkan semula
Syria dengan sistem pentadbiran Islam. Peristiwa kejatuhan Aleppo telah
membuktikan bahawa umat Islam Syria sebenarnya sedang diperangi oleh
kuasa-kuasa kuffar barat khususnya Amerika Syarikat, Rusia dan Eropah.
Kuasa-kuasa kuffar barat akan melakukan apa sahaja termasuklah membantu rejim
Bashar Assad melakukan pembunuhan besar-besaran dan memusnahkan harta benda
bagi menghalang kebangkitan umat Islam. Selain itu, peristiwa kejatuhan Aleppo
juga telah mendedahkan wajah sebenar pemimpin Turki, Arab Saudi dan Qatar yang
sebenarnya merupakan tali barut kepada kuasa-kuasa kuffar barat.
Peperangan di Syria akan terus
berlanjutan sehinggalah salah satu pihak berjaya mencapai kemenangan. Jika
kuasa-kuasa kuffar barat yang dibantu oleh Turki, Arab Saudi dan Qatar berjaya
menamatkan peperangan di Syria dengan membentuk kerajaan berdasarkan acuan
mereka, ini bererti aspirasi umat Islam Syria untuk membangunkan semua Syria
berdasarkan pemerintahan Islam gagal dikecapi. Bagi umat Islam yang berada di
luar Syria termasuklah di Malaysia perlu menyedari bahawa kemenangan umat Islam
Syria membangunkan semula Syria berdasarkan sistem pemerintahan Islam adalah
merupakan kemenangan bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia. Sebaliknya, jika
kuasa-kuasa kuffar barat berjaya mengakhiri peperangan di Syria berdasarkan
acuan mereka, maka ia bukan hanya merupakan kekalahan kepada umat Islam Syria,
tetapi juga merupakan kekalahan kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia.
Artikel Ini Diterbitkan Dalam
Buletin Khairu Ummah Keluaran Jan 2017
Anda Mungkin Juga Meminati
1. Rundingan Geneva II : Apa Yang Perlu Di Fahami
1. Rundingan Geneva II : Apa Yang Perlu Di Fahami