Friday 10 February 2017

Bilakah Peperangan Di Syria Akan Berakhir?



Tiada manusia yang memiliki nilai kemanusiaan dalam dirinya suka melihat kemusnahan dan kematian terus berlaku di bumi Syria. Konflik berdarah di bumi Syria yang sudah berlanjutan lebih dari lima tahun telah mengorbankan ratusan ribu nyawa dan sebahagian besar rakyat Syria kini hidup sebagai pelarian. Jika masyarakat luar yang hanya menyaksikan melalui media massa penderitaan dan kesengsaraan hidup yang sedang dialami oleh rakyat Syria sangat mengharapkan agar peperangan di Syria perlu dihentikan dengan segera, maka sudah tentu  rakyat Syria yang menghadapi sendiri kematian anggota keluarga, kemusnahan tempat tinggal, ketiadaan makanan dan sebagainya akibat peperangan, ingin sekali agar peperangan segera dihentikan.

Persoalannya adalah bagaimana ia harus dihentikan? Adakah dengan cara seperti yang diinginkan oleh kuasa-kuasa kuffar barat khususnya Amerika Syarikat, Eropah dan Rusia atau kebangkitan umat Islam Syria berakhir dengan kemenangan mereka menjatuhkan rejim Bashar Assad dan seterusnya membentuk semula Syria dengan sistem pentadbiran Islam? Hakikatnya, pertembungan antara perancangan barat dan aspirasi umat Islam Syria merupakan punca utama mengapa peperangan di Syria masih berlanjutan sehingga kini.

Apabila peperangan di Syria mula meletus akibat tindakan kejam yang dilakukan oleh rejim Bashar Assad untuk menghentikan kebangkitan umat Islam Syria sudah tidak dapat dikawal lagi oleh rejim Bashar Assad sendiri, maka negara-negara kuffar barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat mula melakukan pelbagai percaturan politik dalam konflik di Syria. Kuasa-kuasa kuffar barat dengan sokongan dan bantuan daripada Arab Saudi, Qatar dan Turki telah cuba untuk mewujudkan kerajaan baharu bagi menggantikan rejim Bashar Assad. Satu bentuk percaturan yang telah berjaya dilakukan oleh kuffar barat ketika menghentikan gelombang Arab Spring di Tunisia, Libya dan Mesir.  Rejim lama dijatuhkan dan kemudian diangkat pemimpin boneka yang membawa dasar pemerintahan berdasarkan acuan kuasa-kuasa kuffar barat. Jika umat Islam Syria menerima acuan tersebut seperti mana yang telah dilakukan oleh umat Islam di Tunisia, Libya dan Mesir, nescaya peperangan di Syria sudah lama berakhir.

Rejim Bashar Assad hakikatnya sama sahaja dengan rejim-rejim yang lain seperti Hosni Mubarak, Gaddafi dan Ben Ali. Mereka akan dibuang oleh kuffar barat dengan mudah jika khidmat mereka sudah tidak diperlukan lagi. Namun disebabkan perancangan kuasa-kuasa kuffar barat untuk menamatkan kebangkitan umat Islam Syria tidak berjaya walaupun pelbagai percaturan politik yang turut dibantu oleh pemimpin Turki, Arab Saudi dan Qatar telah dilakukan, maka khidmat Bashar Assad bukan sahaja masih diperlukan oleh kuffar barat untuk menjayakan agenda mereka, tetapi juga khidmat Bashar Assad sangat diperlukan untuk menghalang usaha umat Islam Syria membentuk semula negara Syria dengan sistem pentadbiran Islam.

Keinginan umat Islam di Syria yang tinggi untuk membentuk semula Syria dengan sistem Islam dapat dilihat daripada kesungguhan mereka menolak segala perancangan dan percaturan yang dilakukan oleh kuffar barat. Perancangan kuasa-kuasa kuffar barat untuk membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan rejim Bashar Assad melalui pelbagai siri rundingan seperti Rundingan Geneva I dan Geneva II telah menemui jalan buntu kerana ditolak oleh umat Islam Syria. Syrian National Council (SNC) dan Free Syrian Army (FSA) yang silih berganti diterajui oleh beberapa orang pemimpin yang cuba ditokohkan oleh kuffar barat bagi menerajui kerajaan baharu yang dirancang oleh mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak mendapat sokongan yang kuat daripada umat Islam Syria. Umat Islam Syria menyedari bahawa SNC dan FSA hanyalah boneka yang digunakan untuk menjayakan perancangan kuasa-kuasa kuffar barat di Syria.

Oleh itu segala kesepakatan yang dicapai dalam beberapa rundingan khususnya dalam Rundingan Geneva I dan II yang diketuai oleh Amerika Syarikat tidak mempunyai sebarang makna kepada usaha untuk membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan rejim Bashar Assad kerana tidak diiktiraf dan tidak dipedulikan oleh kumpulan-kumpulan mujahidin. Harus difahami bahawa, kumpulan-kumpulan mujahidin yang berperang menentang rejim Bashar Assad merupakan pihak utama yang mewakili aspirasi umat Islam Syria, bukannya SNC mahupun FSA. Oleh sebab itu, apabila SNC dan FSA telah gagal dipergunakan oleh kuasa-kuasa kuffar barat untuk membentuk kerajaan baharu bagi mengantikan rejim Bashar Assad, maka sekutu-sekutu kufar barat daripada kalangan negara umat Islam sendiri seperti Arab Saudi, Turki dan Qatar telah mengambil langkah menyalurkan bantuan kewangan dan persenjataan kepada beberapa kumpulan mujahidin. Langkah tersebut dilalukan dengan tujuan untuk mempengaruhi kumpulan-kumpulan mujahidin yang berperang menentang rejim Bashar Assad. Pengaruh yang cuba ditanamkan oleh Arab Saudi, Turki dan Qatar dalam beberapa kumpulan mujahidin bukan sahaja bertujuan untuk membina kekuatan dalam kumpulan mujahidin yang akan membawa percaturan mereka tetapi juga bertujuan untuk memecah belahkan fokus perjuangan kumpulan-kumpulan mujahidin.

Keadaan ini bukan sahaja telah menyebabkan kumpulan-kumpulan mujahidin terpaksa disibukkan dengan konflik dalaman sehingga membawa kepada proses reform dan regroup yang sangat kerap tetapi juga telah memberi ruang kepada rejim Bashar Assad untuk mengatur dan membentuk semula kekuatan tenteranya. Pada masa yang sama, kewujudan ISIS telah menyebabkan keadaan kumpulan-kumpulan mujahidin menjadi semakin tersepit. Sepanjang kewujudan ISIS dalam konflik di Syria, ia telah memberi banyak keuntungan kepada rejim Bashar Assad dan memberikan banyak masalah kepada kumpulan-kumpulan mujahidin yang menentang rejim Bashar Assad. Tindak-tanduk ISIS yang sangat teruja menayangkan kepada dunia sikap anarkis dan pembunuhan yang mereka lakukan ke atas orang awam, telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Bashar Assad dan Rusia untuk melakukan pengeboman secara besar-besaran di kawasan yang dikuasai oleh kumpulan-kumpuan mujahidin khususnya di Aleppo Timur. Ironinya, kawasan yang dikuasai ISIS di sempadan Syria-Iraq tidak menjadi sasaran pengeboman Rejim Bashar Assad dan Rusia.

Kejayaan strategi Arab Saudi, Turki dan Qatar menanamkan pengaruh dalam kumpulan-kumpulan mujahidin merupakan antara sebab Aleppo yang menjadi kubu kuat kumpulan-kumpulan mujahidin dapat ditawan oleh rejim Bashar Assad. Selain daripada pengeboman besar-besaran yang dilakukan oleh rejim Bashar Assad dan Rusia ke atas Aleppo, Operation Euphrates Shield yang direncanakan oleh Presiden Turki iaitu Erdogan telah membantu memudahkan rejim Bashar Assad menawan Aleppo. Hal ini demikian kerana, Operation Euphrates Shield telah menyebabkan pertahanan kumpulan-kumpulan mujahidin di Aleppo menjadi lemah ekoran kumpulan-kumpulan mujahidin yang dipengaruhi oleh Turki telah meninggalkan Aleppo untuk membantu pasukan tentera Turki dalam Operation Euphrates Shield bagi menentang ISIS dan Kurdis. Operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh Presiden Erdorgan pada ketika rejim Bashar Assad sedang melancarkan operasi bagi menawan bandar Aleppo.

Harus difahami bahawa walaupun Aleppo telah ditawan oleh rejim Bashar Assad dan ramai tentera kumpulan-kumpulan mujahidin yang telah terkorban, namun ia bukanlah pengakhiran kepada kebangkitan umat Islam Syria, sebaliknya ia merupakan satu fasa baru dalam perjuangan menjatuhkan rejim Bashar Assad dan seterusnya membangunkan semula Syria dengan sistem pentadbiran Islam. Peristiwa kejatuhan Aleppo telah membuktikan bahawa umat Islam Syria sebenarnya sedang diperangi oleh kuasa-kuasa kuffar barat khususnya Amerika Syarikat, Rusia dan Eropah. Kuasa-kuasa kuffar barat akan melakukan apa sahaja termasuklah membantu rejim Bashar Assad melakukan pembunuhan besar-besaran dan memusnahkan harta benda bagi menghalang kebangkitan umat Islam. Selain itu, peristiwa kejatuhan Aleppo juga telah mendedahkan wajah sebenar pemimpin Turki, Arab Saudi dan Qatar yang sebenarnya merupakan tali barut kepada kuasa-kuasa kuffar barat.

Peperangan di Syria akan terus berlanjutan sehinggalah salah satu pihak berjaya mencapai kemenangan. Jika kuasa-kuasa kuffar barat yang dibantu oleh Turki, Arab Saudi dan Qatar berjaya menamatkan peperangan di Syria dengan membentuk kerajaan berdasarkan acuan mereka, ini bererti aspirasi umat Islam Syria untuk membangunkan semua Syria berdasarkan pemerintahan Islam gagal dikecapi. Bagi umat Islam yang berada di luar Syria termasuklah di Malaysia perlu menyedari bahawa kemenangan umat Islam Syria membangunkan semula Syria berdasarkan sistem pemerintahan Islam adalah merupakan kemenangan bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia. Sebaliknya, jika kuasa-kuasa kuffar barat berjaya mengakhiri peperangan di Syria berdasarkan acuan mereka, maka ia bukan hanya merupakan kekalahan kepada umat Islam Syria, tetapi juga merupakan kekalahan kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Artikel Ini Diterbitkan Dalam Buletin Khairu Ummah Keluaran Jan 2017

Anda Mungkin Juga Meminati

1. Rundingan Geneva II : Apa Yang Perlu Di Fahami  

No comments:

Post a Comment