Tuesday, 24 December 2019

Apakah yang dimaksudkan dengan sabar?



Dalam surah Al-Muddaththir ayat ke 7 Allah SWT berfirman :

وَ لِرَبِّكَ فَاصۡبِرۡؕ                                           ‏

Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!” (Al-Muddaththir 74:7).

Perkataan sabar yang digunakan dalam bahasa melayu merupakan perkataan yang diambil dari perkataan arab iaitu sabar. Perkataan sabar yang digunakan dalam bahasa melayu sering merujuk kepada keadaan seseorang perlu bertenang, jangan bertindak terburu-buru atau tidak bertindak balas terhadap sesuatu tindakan yang dilakukan terhadap dirinya. Dalam kontek ayat tersebut, adakah sabar membawa maksud sedemikian? 

Dalam surah Al-Muddaththir disebutkan  وَ لِرَبِّكَ فَاصۡبِرۡؕ manakala dalam surah Al- Muzammil disebutkan


وَاصۡبِرۡ عَلٰى مَا يَقُوۡلُوۡنَ وَاهۡجُرۡهُمۡ هَجۡرًا جَمِيۡلًا                    ‏ 

Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik. (Al-Muzzammil 73:10).

Dalam ayat  وَ لِرَبِّكَ فَاصۡبِرۡؕ  perkataan sabar sebenarnya membawa maksud konsisten dengan apa yang sedang dilakukan atau dengan tegas melakukan secara berterusan dan konsisten apa yang sedang dilakukan. Dengan kata lain, sabar ialah melakukan apa yang Allah SWT perintahkan secara berterusan tanpa putus asa. Ketika Rasulullah SAW menyampaikan Islam kepada penduduk Quraisy Makkah, ada dikalangan mereka yang menutup telinga dengan jari-jari mereka kerana tidak ingin mendengar ayat-ayat al-quran yang dibacakan oleh Rasulullah SAW, mereka menutup telinga mereka sambil berlalu pergi. Namun, kenapa Rasulullah terus menerus menyampaikan Islam dan membacakan ayat-ayat al-quran pada mereka walaupun secara jelas dan nyata mereka tidak ingin mendengarkannya? Jawapannya ialah kerana Rasulullah SAW melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah, semata-mata kerana perintah daripada Allah SWT. Melaksanakan secara berterusan dan konsisten apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Dalam urusan kehidupan kita misalnya, jika kita melakukan melakukan sesuatu perkara kerana inginkan kejayaan atau mencapai objektif tertentu, maka secara rationalnya kita pasti tidak akan melakukan perkara tersebut jika kita menyakini secara pasti bahawa kita akan gagal. Contonya seseorang yang ingin melakukan perniagaan tertentu, dia tentu akan bersungguh-sungguh berusaha menjalankan perniagaannya dan bersedia menghadapai sebarang cabaran yang ada jika dia meyakini kejayaan dapat dikecapi. Namun, jika berdasarkan pertimbangannya tidak nampak perniagaan tersebut akan berjaya, maka sudah tentu dia tidak akan meneruskan perniagaan tersebut.

Namun sabar dalam dakwah tidak begitu. Tiada istilah melakukan apa yang Allah SWT perintahkan hanya apabila meyakini akan memperolehi kemenangan dan sebaliknya putus asa atau tidak melakukan dakwah apabila melihat tidak akan memperolehi kejayaan. Tiada istilah berhenti atau putus asa dalam melaksanakan perintah Allah SWT walau gagal beberapa kali sekali pun dakwah mesti terus dilakukan secara konsisten. Kerana apa? Kerana dakwah  dilakukan semata-mata menyahut perintah daripada Allah SWT, bukan kerana yang lain. Oleh itu, sabar dalam melakukan dakwah menegakkan Khilafah bermaksud terus konsisten melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT walaupun bermacam-macam cabaran dan tuduhan yang dilemparkan untuk memesongkan daripada melakukan dakwah, tiada istilah putus asa dalam melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT itulah yang dimaksudkan dengan sabar.

Dalam surah Al-Muzammil ayat 10 Allah SWT menerangkan “Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik”. Walaupun dalam dakwah dileparkan dengan bermacam-macam tuduhan dan dilebel dengan bermacam-macam gelaran, Allah memerintahkan agar bersabar yakni tetap teruskan melakukan apa yang Allah perintahkan secara konsisten. Dilebel ataupun dituduh sebagai sesat, gila, penipu, pengganas, perjuagan khayalan, perjuangan kembali ke zaman silam dan bermacam-macam lagi lebel atau tuduhan yang dilemparkan dalam melaksanakan tugas dakwah.  Sabar, terus lakukan secara konsisten kewajipan dakwah yang Allah perintahkan. Pastikan sentiasa berada dijalan yang benar dan lakukan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah secara konsisten, kejayaan adalah anugerah daripada Allah SWT.
 
Secara keseluruhan terdapat tiga perkara yang perlu difahami berkaitan dengan sabar. Pertama, sabar semata-mata kerana Allah, kedua, sabar walau apapun tuduhan yang dilemparkan dan ketiga terus sabar sehingga kemenangan diberikan oleh Allah SWT. Wallahu a’lam.


No comments:

Post a Comment