Friday 23 May 2014

Kejatuhan Bandar Homs

Terjemahan Daripada Artikel :  The Homs Surrender oleh Adnan Khan

Genjatan senjata yang telah membawa kepada pengunduran pasukan penentang daripada bandar Homs yang merupakan bandar ketiga terbesar selepas Damsyik dan Aleppo disifatkan oleh Iran sebagai kejayaan rejim apabila bandar tersebut jatuh semula ketangan rejim Bashar Assad. Alaeddin Borujerdi orang berpengaruh dalam kerajaan Iran telah berkata “ Kami telah menang di Syria, rejim akan kekal. Amerika telah kalah.”


Bandar Hom yang telah menjadi pusat kebangkitan rakyat Syria turut menjadi saksi beberapa pertempuran yang paling sengit dalam tempoh tiga tahun kebangkitan. Kedudukan bandar Homs yang berdekatan dengan sempadan Lubnan telah menyebabkan pasukan penentang turut bertempur dengan pejuang Hizbullah dalam usaha memastikan bandar Homs tidak jatuh ke tangan Rejim Bashar. Oleh itu, pengunduran pasukan penentang dari bandar Homs telah menyelamatkan laluan daripada Damsyik ke Latakia yang sangat penting bagi pihak Rejim Bashar. Kejatuhan bandar Homs ke tangan rejim merupakan kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh kumpulan penentang.

Terdapat empat punca utama yang menyebabkan kejatuhan Bandar Homs ke tangan Pihak Rejim.

Pertama, bandar Homs telah dikepung secara ketat selama tiga tahun.  Homs yang terletak di baratdaya Syria dan berjiranan dengan wilayah Baba Amr adalah kawasan yang didiami oleh majoriti berfahaman Sunni menjadi halangan utama bagi pihak rejim untuk menamatkan kebangkitan rakyat Syria. Homs telah diserang dengan operasi ketenteraan sebanyak tiga kali yang turut disertai dengan operasi pengeboman selama berbulan-bulan. Jet pejuang, kereta kebal, meriam dan juga mortar telah digunakan secara berleluasa untuk mematahkan semangat perjuangan pihak penentang. Bahkan, senjata kimia turut digunakan oleh rejim demi untuk mematahkan penentangan. Rejim Bashar telah menggunakan gas sarin terhadap rakyat tidak berdosa di daerah Bayada yang telah mengorbankan banyak nyawa dan turut mencederakan ramai lagi. Perkara tersebut telah disahkan sendiri oleh Mejar Jeneral Abdul Aziz Jassem al-Shallal, bekas Ketua Tentera Syria yang telah berpaling tadah kepada pihak penentang pada 26 Dis 2012.

Kedua, selain daripada melakukan pembunuhan secara berleluasa, rejim Bashar juga turut mensasarkan kepada orang awam dengan melancarkan Kempen Kebulur Sehingga Menyerah. Dengan kempen tersebut, bekalan makanan dan ubat-ubatan dihalang daripada memasuki bandar Homs. Orang ramai juga turut dihalang daripada meninggalkan bandar Homs yang telah dikepung. Selain menggunakan tektik  mengepung bandar-bandar, tektik terbaru yang dilakukan oleh pihak rejim ialah membuat sekatan di kawasan-kawasan yang penting dengan mensasarkan orang awam. Strategi ini bertujuan untuk menghukum secara menyeluruh penduduk di kawasan yang dikuasai oleh pihak Penentang. Bandar Homs telah mengalami situasi tersebut sejak enam bulan yang lepas. Suruhanjaya Siasatan Bebas PBB telah mengesahkan pada Mac 2014 bahawa rakyat Syria sedang diperlakukan dengan ‘dinafikan bantuan kemanusiaan, makanan dan keperluan asas seperti rawatan perubatan, dan perlu memilih antara menyerah atau kebulur’. Laporan tersebut mengesahkan bahawa ‘Rakyat tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan, sehinggakan terpaksa memakan daun tumbuhan apabila kehabisan bekalan’. Maka sebab itu pemimpin penentang yang bercakap dari bandar Homs mengatakan bahawa mereka mempunyai pilihan tetapi untuk menyerah selepas enam bulan usaha berterusan untuk melemahkan mereka dan sebilangan kecil keluarga yang masih berada di bandar tua tersebut diancam kebuluran.

Ketiga, walaupun pihak rejim telah gagal melaksanakan serangan yang berterusan ke dalam kawasan yang Utara yang kuasai oleh penentang, namun pihak rejim telah berjaya merampas kembali kebanyakkan kawasan dibahagian utara dan telah memfokuskan pemotongan saluran bekalan antara Damsyik dan Latakia. Tindakan tersebut dimulakan dengan serangan ke atas Qalamoun yang menyaksikan kemasukkan  pejuang Hizbullah dengan skala yang besar serta menggunakan senjata kimia di pinggir bandar Damsyik. Bandar Homs yang kedudukannya berada di tengah-tengah laluan merupakan bahagian yang sangat penting untuk menyeimbangkan kuasa di Syria. Pihak rejim telah melancarkan serangan selama bertahun-tahun keatas bahagian utara dengan memfokuskan kepada mempertahankan kawasan-kawasan yang berdekatan dengan pusat utama bagi negara Syria, ianya sekarang perlu dibayar dengan harga yang mahal oleh pihak rejim apabila mengentikan serangan.

Keempat, Negara Islam dan Sham (ISIS) turut memainkan peranan dalam penyerahan bandar Homs dan kekalahan pihak penentang. Banyak kekuatan dan sumber pihak penentang telah digunakan untuk menentang ISIS berbanding pihak rejim, dimana ianya telah menyebabkan  terhalangnya bekalan dan sumber-sumber lain sampai ke bandar Homs. Banyak perbalahan tercetus adalah akibat daripada tindakan pihak ISIS sendiri. Apabila ISIS meningkatkan serangan keatas  kumpulan-kumpulan penentang sejak dari hujung tahun 2013, pihak-pihak penentang telah banyak mencurahkan tumpuan penentangan terhadap ISIS. Pertempuran antara kumpulan penentang dengan ISIS telah memberi  keuntungan kepada pihak rejim untuk mengukuhkan kedudukannya dengan memutuskan bekalan pihak penentang di bandar-bandar lain seperti Aleppo, Deir el-Zour dan Latakia selain daripada bandar Homs. Jika pertempuran antara kumpulan penentang dengan ISIS terus merebak di serata Syria, maka usaha kumpulan penentang untuk menjatuhkan Rejim akan terhalang.

Walaupun kejatuhan bandar Homs dikatakan oleh pihak rejim sebagai permulaan kepada berakhirnya kebangkitan rakyat Syria. Namun, Rejim Assad hakikatnya tidak dapat mengawal kawasan-kawasan strategik yang lain serta dalam pada masa yang sama sedang berjuang untuk mengawal kesemua kawasan tersebut. Kumpulan penentang masih dapat memasuki kawasan-kawasan penting di sekitar bandar-bandar utama untuk melemahkan penguasaan sepenuhnya pihak rejim ke atas Syria. Apa yang terus berlaku dalam  konflik di Syria ialah perjuangan untuk merebut wilayah-wilayah dan masih belum dapat dipastikan jika pihak rejim dapat mengulangi kejayaan menawan bandar Homs di bandar-bandar yang lain.


No comments:

Post a Comment