Sunday, 25 May 2014

Apabila Wanita Muslim mewakili DAP dalam PRK Parlimen Teluk Intan

Keputusan kepimpinan DAP memilih wanita muslim sebagai calon mereka bagi mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan yang mereka menangi sejak PRU yang ke-12, bukan sahaja merupakan satu strategi politik yang sangat berani tetapi juga membawa message yang tersendiri. Pemilihan yang penuh dengan strategi oleh DAP bukan sahaja kerana Dyana Sofya adalah perempuan melayu Islam, tetapi lebih daripada itu.


Pertama, Dyana Sofya adalah graduan UiTM yang baru berusia 27 tahun merupakan salah seorang daripada populasi golongan muda di negara yang kini sangat signifikan menentukan masa depan politik negara. Signifikannya bukan sahaja daripada populasinya yang paling banyak tetapi juga merupakan golongan yang sangat berani untuk membuat keputusan dan eager dengan perubahan. 

Kedua, pengundi Parlimen Teluk Intan majoritinya adalah pengundi Cina (41.9%), diikuti oleh pengundi Melayu (38.6%) dan pengundi India (19%). Secara tradisinya, Parlimen Teluk Intan merupakan kerusi untuk Ahli Parlimen bukan melayu sama ada kerusi Parlimen tersebut dimenangi oleh Barisan Nasional ataupun pembangkang. 

Ketiga, pertandingan PKR Teluk Intan umpama pesilat sekolah menengah menentang pesilat kebangsaan, di mana lawan kepada Dyana Sofya iaitu  Datuk Mah Siew adalah bekas Ahli Parlimen Teluk Intan selama dua penggal dan juga merupakan Presiden Parti Gerakan sendiri. Perbandingan secara individu ternyata ianya bukan satu pertandingan yang seimbang. Namun, DAP sudah tentu mempunyai matlamat dan percaturannya yang tersendiri.

Sebenarnya pencalonan Dyana Sofya sahaja sudah dapat sedikit sebanyak telah membentuk momentum yang dapat memecahkan tembok yang menghalang golongan muda-mudi Islam daripada mendekati perjuangan yang dibawa oleh DAP. Apatah lagi jika kemenangan memihak kepada Dyana Sofya sudah tentu ianya akan membuka laluan yang sangat luas untuk idealisme perjuangan DAP menyerap masuk ke dalam pemikiran golongan muda-mudi Islam. DAP sebagai sebuah parti politik yang sangat kukuh dan konsisten dalam perjuangan mereka sudah tentu telah mempunyai perancangan yang tersusun untuk menjadikan Dyana Sofya  sebagai Ikon kepada generasi muda khususnya melayu Islam untuk menyertai perjuangan yang dibawa oleh DAP.

Selain itu, jika Dyana Sofya yang masih terlalu mentah dalam arena politik berjaya mengalahkan Presiden Gerakan selaku tokoh politik yang berpengalaman. Maka, itu adalah message yang menunjukkan bahawa jenama DAP terlalu kuat walaupun meletakkan calon melayu yang masih mentah. Pada masa yang sama ianya dapat membuktikan bahawa momentum sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat khususnya terhadap Parti DAP tidak pernah surut walaupun bermacam-macam usaha telah dilakukan oleh Barisan Nasional untuk menawan semula hati para pengundi. Oleh itu,  dari segi phisokologinya, tekanan sudah tentu lebih dirasai oleh Parti Gerakan apatah lagi yang bertanding adalah Presiden Parti sendiri di kawasan majoriti penduduk cina.

Hakikatnya pencalonan Dyana Sofya dalam PRK Teluk Intan sebagai calon DAP bukan sahaja telah menimbulkan fenomenanya yang tersendiri tetapi yang lebih penting ianya telah memperlihatkan bagaimana sikap dan tolok ukur umat Islam khususnya para pemimpin dalam menilai situasi tersebut. Ternyata sikap dan tolok ukur mereka tidak boleh lari daripada pemikiran berasaskan kerangka politik perebutan kuasa dalam sistem demokrasi. Segala-galanya adalah demi undi.  Pendirian, ketidaksetujuan, usaha dan sebagainya semuanya berpaksikan bagaimana undi itu harus dijaga dan ditingkatkan agar seteru politik dapat dikalahkan.

Akhirnya, ianya telah menimbulkan kesamaran dan kekeliruan antara yang hak dengan yang batil, antara yang halal dengan yang haram, antara islam dengan bukan islam, antara hukum Allah dengan hukum ciptaan manusia. Parti politik berasaskan Islam dengan parti politik yang berasaskan sekularisme dan sosialisme sudah seperti sudah tidak nampak lagi perbezaannya. Maka sebab itu, adalah sesuatu yang tidak menghairankan jika golongan muda-mudi Islam yang  berpendidikan seperti Dyana Sofya menyertai Parti Politik seperti DAP. Bahkan, tidak menghairankan jika ada ramai lagi golongan muda-mudi muslim yang berfikiran seperti Dyana Sofya dan adalah sesuatu tidak mustahil jika bilangannya akan semakin bertambah. 

Ini kerana perjuangan Dyana Sofya bersama-sama DAP jelas mendapat sokongan yang padu daripada Parti Politik berasaskan Islam. Jika perjuangannya bersama Parti DAP sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam, mengapa Parti Politik Islam sendiri yang memberikan sokongan padu kepadanya? Kefahaman sebegini sudah tentu akan menyerap masuk ke pemikiran muda-mudi Islam yang lain. Adakah ianya sesuatu yang positif kerana melambangkan sikap keterbukaan dan kematangan golongan muda-mudi Islam pada masa kini ?


2 comments:

  1. Tak lari gunung dikejar, Takkan lari prinsip selagi ada Quran dan Sunnah, selagi ulama' yang memimpin parti Islam..ayat "mengapa Parti Politik Islam sendiri yang memberikan sokongan padu kepadanya?" itu perlu disemak supaya tidak menimbulkan kecelaruan dan menyebarkan kefahaman jika ianya betul, kenapa tidak sebut sahaja Parti Islam se-Malaysia(PAS) , Perjuangan yang dibawa oleh PAS takkan lari kerana mengikut al-Quran dan Sunnah..

    Dalam kes PRK..mereka (PAS) mengambil mudharat yang kecil untuk mengelak daripada mudharat yang besar...kalaulah suatu hari nanti DAP menerima Islam yang dibawa , semua pihak terkunci mulut termasuk yang suka mengkritik ,daripada umno yg bertahun lama memrintah sikit pun takda nak laksana hudud...hipokrit dalam politik, bertalamkan dua muka...Sekian, Waallahualam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insyaallah perjuagan mana-mana Jemaah/Parti Islam akan sentiasa berada dlm landasan yg benar jika sentiasa bersikap terbuka menerima kritikan/muhasabah drpd pihak lain... Apa yg penting ialah jika muhasabah/kritikan yang diberikan merupakan suatu KEBENARAN , maka, itu merupakan satu nikmat drpd Allah SWT yang harus disyukuri

      Delete