Thursday, 5 June 2014

Keinsafan yang Seharusnya Muncul di Sebalik Isu Coklat Cadbury



Kenyataan akhbar oleh Ketua Pengarah Kementerian Malaysia (KKM) pada 24 Mei 2014 mengenai penemuan DNA babi dalam dua produk coklat Cadbury telah menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia. Kemarahan yang dizahirkan dengan gesaan memboikot secara besar-besaran segala produk keluaran Cadbury. Bahkan lebih daripada itu, ada pihak yang menuntut Cadbury membiayai kos untuk umat Islam menyucikan darah yang telah tercemar akibat memakan coklat keluaran cadbury. Liputan media, khususnya media sosial mengenai isu ini serta luahan kemarahan daripada umat Islam turut menyebabkan Ketua Pengarah JAKIM menggantung sijil halal coklat yang berkenaan dan bertindak memulakan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

Setelah lebih daripada seminggu umat Islam bercakap tentang keharaman memakan coklat cadbury selain turut melahirkan kemarahan khususnya kepada pihak JAKIM yang didakwa tidak peka dan tidak bertanggungjawab dalam soal menjaga halal haram makanan umat Islam. Akhirnya, pada  2 Jun 2014 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui kenyataan media yang dilakukan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir mengesahkan bahawa tiada DNA babi dikesan dalam dua sampel coklat cadbury yang diambil terus dari kilang produk tenusu berkenaan.

Maka, kesimpulannya coklat cadbury tidak haram seperti yang didakwa seperti sebelum ini dan lahirlah ungkapan dikalangan orang ramai ‘coklat cadbury dah halal semula’. Tidak kurang juga yang melahirkan kemarahan berikutan pengumuman terbaru oleh JAKIM kerana merasakan seolah-olah sensitiviti umat Islam diperkotak-katikan. Persoalannya adakah pengumuman JAKIM tersebut dapat mengembalikan semula keyakinan umat Islam terhadap status halal Coklat Cadbury?. Tidak semudah itu, sudah tentu sikap was-was sudah tertanam dalam diri umat Islam untuk memakan semula coklat cadbury dan juga secara tidak langsung turut mencalar kredibiliti JAKIM dalam menjaga hal ehwal makanan halal di Malaysia.  

Oleh itu, tidak mustahil selepas ini akan muncul pula bermacam-macam bentuk alternatif kepada umat Islam yang sudah tentu melibatkan perbelanjaan wang ringgit untuk mendapatkan makanan yang dijamin status halalannya. Dengan kata lain, kena berbelanja lebih sedikit jika inginkan makanan yang dijamin status halalannya. Sebagai contoh yang sedang berlaku pada hari ini iaitu dalam soal pendidikan anak-anak. Oleh kerana persekitaran sekolah kerajaan pada ketika ini dihambat dengan pelbagai macam masalah sosial yang sangat membimbangkan, maka bagi ibubapa yang memandang berat soal pembentukan sakhsiah anak-anak mereka, sekolah-sekolah swasta yang mempunyai persekitaran yang Islami menjadi alternatif untuk pendidikan anak-anak mereka, walaupun terpaksa membayar yuran bulanan yang mahal. Mereka sanggup berbelanja lebih akibat ketidakyakinan terhadap persekitaran sekolah-sekolah kerajaan yang ada pada hari ini. Namun, tidak semua ibubapa yang mampu berbuat demikian walaupun turut ingin melakukan perkara yang sama iaitu inginkan persekitaran yang baik untuk anak-anak mereka. Apa pilihan yang mereka ada??. Apakah hanya orang-orang yang berkemampuan berhak untuk mendapatkan persekitaran pendidikan yang baik untuk anak-anak mereka??

Adakah selepas ini akan terjadi perkara yang sama untuk mendapatkan makanan yang terjamin status halalnya? Jika tidak mampu, maka terpaksalah tutup mata dan telan sahajalah apa yang ada kerana tidak mampu untuk membeli makanan-makanan yang dijamin status halalannya.

Begitu juga apabila bercakap tentang soal kediaman. Hendak tinggal di persekitaran kediaman yang selamat dan kondusif untuk anak-anak membesar tanpa terdedah dengan pelbagai macam bentuk jenayah dan pengaruh negatif juga perlukan biaya yang mahal untuk menyewa ataupun membeli rumah. Mahu tidak mahu bagi yang tidak berkemampuan terpaksalah tinggal dikawasan perumahan yang sebaliknya. Pendek kata, umat Islam harus menginsafi bahawa sistem ekonomi  berasaskan kapitalis yang diterapkan dalam kehidupan pada hari telah melahirkan suasana kehidupan yang penuh dengan ketidakadilan dan telah menimbulkan pelbagai macam kerosakan. Inginkan suasana pendidikan yang baik untuk anak-anak, perlu duit! Inginkan persekitaran tempat tinggal yang selamat, perlu duit! Inginkan perkhidmatan rawatan yang islamik untuk isteri dan anak-anak perempuan, perlu duit! Inginkan makanan yang dijamin status halalnya juga perlu duit, duit! duit! duit!.Begitulah sengsara dan sempitnya apabila hidup dalam aturan yang bukan datangnya daripada Allah SWT.
وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta". 
(QS : Thaahaa :124)

Selain itu,  keinsafan lain yang seharusnya wujud didalam diri umat Islam adalah berkaitan usaha yang dilakukan oleh perlbagai pihak termasuklah golongan ilmuan Islam yang menyeruh agar umat Islam meletakkan keyakinan kepada kredibiliti pihak JAKIM. Ini kerana, menurut mereka JAKIM merupakan pihak yang mempunyai autoriti serta mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi dalam mengendalikan pengurusan makanan halal di Malaysia. Oleh itu, kredibiliti yang dimiliki oleh pihak JAKIM dalam pengurusan makanan halal di Malaysia tidak seharusnya diragui. JAKIM kata halal, maka halal lah, jangan was-was, makan.

Jika kredibiliti JAKIM tidak harus diragui kerana kepakaran dan profesionalisme yang mereka miliki. Sedarkah kita wahai umat Islam pada hari ini, siapa  yang mempunyai autoriti dan kepakaran untuk mengatur kehidupan manusia seluruhnya, jika bukan pencipta keseluruhan makhluk dan alam semesta yakni Allah SWT. Dengan hanya memperhatikan penciptaan manusia sahaja sudah cukup untuk membuktikan betapa maha hebatnya kuasa dan ilmu yang dimiliki oleh Allah SWT. Namun, berapa ramai umat Islam yang lebih menyakini undang-undang ciptaan manusia berbanding dengan undang-undang yang diturunkan oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman :

إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ لِلَّهِ يَقُصُّ الْحَقَّ وَهُوَ خَيْرُ الْفَاصِلِينَ
“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah. Dia menerangkan yang sebenarnya dan Dia Pemberi keputusan yang paling baik. ” (QS: Al Maidah, 57)

Berbagai-bagai dolak-dalih yang diberikan apabila bercakap tentang pelaksanaan undang-undang yang diturunkan Allah SWT. Kena buat itu dululah, kena buat ini dululah, kena tunggu sampai itulah, kena tunggu sampai inilah dan macam-macam lagi. Undang-undang ciptaan manusia boleh pula terus dilaksanakan tanpa perlu buat itu ini dan sebagainya. Walau apapun alasan yang diberikan, yang pasti, di Malaysia pada ketika ini adalah undang-undang yang diturunkan oleh Allah SWT tidak dilaksanakan tetapi memilih untuk melaksanakan undang-undang ciptaan manusia. Hukum hudud yang diturunkan oleh Allah SWT ditolak ketepi, common law menjadi pilihan.
Jika umat Islam ingin keluar ( bahkan wajib sebenarnya) daripada kehidupan yang penuh dengan ketidakadilan dan dibelenggu dengan undang-undang ciptaan manusia sehinggakan mengenepikan undang-undang yang diturunkan oleh Allah SWT. Maka, jalan keluarnya adalah mengembalikan semula kehidupan Islam dengan menegakkan semula Daulah Khilafah.

No comments:

Post a Comment