Thursday 4 February 2016

TPPA : MADU ATAU RACUN BUAT MALAYSIA?

Persoalan adakah TPPA akan memberikan kebaikan atau keburukan kepada Malaysia merupakan persoalan utama yang melingkari perbahasan sama ada Malaysia perlu menyertai TPP atau tidak. Ketika pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta pihak-pihak lain yang bersetuju Malaysia menyertai TPP berusaha dengan giat memberikan kefahaman tentang kebaikan TPP, pihak-pihak yang tidak setuju dengan penyertaan Malaysia dalam TPP juga turut sama bergerak aktif melakukan pelbagai aktiviti bagi menjelaskan keburukan-keburukan yang bakal menimpa Malaysia jika bersetuju menyertai TPP.

Antara hujah yang diberikan oleh pihak yang bersetuju untuk Malaysia menyertai TPP ialah TPP akan merangsang akitivi perdangangan antrabangsa Malaysia melalui peluang menerokai pasaran yang lebih luas dengan anggaran pengguna sebanyak 800 juta orang serta menggalakkan kemasukkan pelaburan asing ke dalam ekonomi negara. Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa adalah sangat tidak wajar untuk menolak peluang sedemikian. Disamping itu, mereka juga berhujah bahawa penyertaan Malaysia dalam TTP ketika ini akan memberikan peluang kepada Malaysia untuk terlibat sekali dalam rundingan memuktamatkan terma-terma perjanjian TTP. Dengan itu, Malaysia dapat berperanan melakukan sesuatu untuk melindungi kepentingannya sebelum TPPA dapat dilaksanakan.

Manakala bagi pihak yang menentang penyertaan Malaysia dalam TPP, mereka berhujah bahawa TPPA adalah satu bentuk penjajahan  moden melalui dominasi ekonomi oleh negara besar seperti Amerika Syarikat terhadap ekonomi negara-negara kecil seperti Malaysia. Selain itu, TPPA juga dikatakan akan membawa banyak keburukan kepada negara seperti dasar dan polisi ekonomi negara boleh dicabar oleh syarikat-syarikat asing melalui tribunal antarabangsa ISDS (Investor-state dispute settlement). Pihak yang menentang penyertaan  Malaysia dalam TPPA juga berhujah bahawa Malaysia akan mengalami defisit fiskal yang teruk akibat nilai eksport berkurang sebaliknya nilai import akan meningkat, disamping syarikat-syarikat tempatan khususnya syarikat yang dimiliki oleh kaum bumiputera tidak akan mampu bersaing dengan syarikat-syarikat asing.

Dalam mencermati isu TPPA ini, satu perkara yang perlu disedari ialah bahawa ekonomi dunia ketika ini secara keseluruhannya diurus dan dikembangkan berasaskan sistem ekonomi kapitalis. Oleh itu, sebarang penyelesaian masalah ataupun langkah prodaktif untuk mengembangkan ekonomi dunia ketika ini adalah berpaksikan kepada prinsip-prinsip yang terkandung sistem ekonomi kapitalis ( kebebasan memiliki harta, bebas mentadbir dan menggunakan sumber-sumber ekonomi, kebebasan mendapatkan keuntungan secara maksimum, wujudnya mekanisma pasaran untuk mengatur kebebasan dan persaingan). TPPA hakikatnya ialah sebuah perjanjian perdagangan antarabangsa yang lahir daripada penyelesaian dan pengembangan ekonomi berasaskan kepada sistem ekonomi kapitalis.

Sepanjang sejarah sistem kapitalis menguasai ekonomi dunia, sudah berkali-kali dunia mengalami krisis ekonomi yang menyebabkan kehidupan umat manusia secara keseluruhannya menjadi semakin terhimpit. Krisis ekonomi yang berlaku hakikatnya adalah disebabkan oleh kelemahan yang datang daripada sistem ekonomi kapitalis itu sendiri, bukannya disebabkan oleh faktor luaran seperti ketidakcekapan urus tadbir. Oleh itu, walaupun individu yang mentadbir sesebuah ekonomi adalah individu yang sangat hebat serta mempunyai integriti yang tinggi, namun dia tetap sahaja tidak akan dapat menghalang kerosakan yang dihasilkan oleh sistem ekonomi kapitalis. Dengan kata lain, kerosakan yang dihasilkan oleh sistem ekonomi kapitalis adalah kerosakan yang berlaku secara sistemik.  Semakin laju sistem ekonomi kapitalis itu berputar, maka semakin banyaklah kerosakan yang akan dihasilkan.

Disamping itu,banyak penyelesaian ekonomi yang dihasilkan hanya menjurus kepada  menambah-besarkan lagi  bubble economy yang telah sedia dihasilkan oleh sistem ekonomi kapitalis . Sebagai contoh, apabila sektor hartanah, pembinaan, insurans dan perbankkan di Amerika Syarikat terjejas akibat daripada ramai rakyat Amerika tidak mampu untuk membuat pinjaman (Sub Prime) bagi membeli rumah, maka penyelesaian terbaik yang boleh diambil dari sudut kapitalis ialah membenarkan golongan Sub Prime tersebut membuat pinjaman dengan kadar faedah pinjaman dan premium insurans yang tinggi. Kesannya bubble economy semakin membesar dan akhirnya meletop pada tahun 2008 yang dikenali sebagai Credit Crunch.

Walaupun ianya berlaku di Amerika Syarikat, namun seluruh dunia turut merasakan kesannya sehingga ke saat ini. Bahkan kuasa ekonomi Asia iaitu Jepun dan negara-negara maju di Eropah turut menggunakan penyelesaian yang sama seperti Amerika Syarikat dalam merangsang aktiviti ekonomi mereka. Tidak dapat dibayangkan sudah berapa banyak bubble economy yang telah dihasilkan oleh sistem ekonomi kapitalis di seluruh dunia ketika ini. Setiap kali bubble economy yang dihasilkan oleh sistem kapitalis meletup, maka setiap kali itu jugalah ianya memberikan kesengsaraan kepada kehidupan manusia.

Oleh yang demikian, apabila TPPA benar-benar dilaksanakan di Malaysia, maka sudah tentu putaran ekonomi yang digerakkan berasaskan kepada sistem ekonomi kapitalis akan berputar dengan lebih laju. Natijahnya, rakyat Malaysia akan terpaksa menanggung kerosakan-kerosakan yang dihasilkan secara sistemik oleh sistem ekonomi kapitalis. Dimana, kehidupan menjadi semakin terhimpit dan kosong disebalik kepesatan pembangunan dan kemodenan dunia.

Anda Mungkin Juga Meminati:

No comments:

Post a Comment