Thursday 17 March 2016

Deklarasi Rakyat : Dapatkah Menjatuhkan Najib ?

Selain daripada melalui PRU dan undi tidak percaya di dewan Rakyat, terdapat satu lagi  kaedah untuk menukar ataupun menjatuhkan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia. Kaedah tersebut ialah melalui proses pentadbiran dalaman parti UMNO sendiri. Dengan pentadbiran dalaman parti, Najib boleh dijatuhkan melalui proses pemilihan UMNO dalam Perhimpunan Agung ataupun penolakan beliau sebagai Presiden parti oleh ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam suatu  mesyuarat tergempar.


Berdasarkan perkembangan semasa, daripada beberapa kaedah atau cara yang boleh digunakan untuk menjatuhkan Najib, hanya tinggal satu sahaja cara yang berpotensi untuk menjatuhkan Najib sebelum PRU14 diadakan pada tahun 2018. Cara tersebut ialah penolakan Najib sebagai Presiden parti oleh ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam satu mesyuarat tergempar. Ini kerana, usul undi tidak percaya bukan sahaja perlu mendapat sokongan semua MP pembangkang dan sokongan daripada beberapa orang MP Barisan Nasional untuk mendapatkan suara majoriti tetapi juga usul yang dibawa perlu mendapat kelulusan daripada Speaker Dewan Rakyat, suatu yang sangat sukar untuk berlaku. Manakala pemilihan UMNO pula telah ditangguhkan dan hanya akan diadakan selepas PRU14, maka kedudukan Najib sebagai Presiden tidak akan dapat dicabar sehingga PRU14.


Jika demikian, mengapa Tun Dr Mahathir bersama-sama barisan pemimpin pembangkang serta para ketua NGO dan aktivis politik melancarkan Deklarasi Rakyat bagi mendesak Najib berundur sebagai Perdana Menteri Malaysia ??? Bukankah dengan mendesak Najib berundur melalui Deklarasi Rakyat bukan merupakan cara atau kaedah yang diperuntukkan dalam undang-undang Malaysia??? Jadi kemana sebenarnya hala tuju Deklarasi Rakyat, adakah jika ianya mendapat sokongan yang padu daripada semua rakyat Malaysia maka ianya akan dapat digunakan untuk mendesak Najib berundur ? Tentang desakan agar Najib berundur telah pun beliau nyatakan berulang kali bahawa beliau tidak akan tunduk dengan sebarang usaha yang mendesak beliau untuk berundur sebagai Perdana Menteri bak baris Deklamasi Coretan Empat Dekad Dalam Politik yang beliau bacakan ‘.... Sekali layar sudah dikembangkan, pabila sauh sudah diangkat, berpantang ajal berbalik haluan. Begitula tegasnya pendirian Najib dalam mempertahankan jawatan Perdana Menteri yang beliau sandang.


Walaupun Najib masih boleh dijatuhkan melalui penolakkan beliau sebagai Presiden oleh MT UMNO,  namun ianya sangat bergantung kepada pendirian atau sokongan secara majoriti daripada MT UMNO. Berdasarkan apa yang sering paparkan dalam media, Najib masih mendapat sokongan yang sangat kuat daripada  MT UMNO kerana kebanyakkan ahli MT adalah ‘orang-orang’ Najib sendiri. Jadi, adakah terdapat sebarang tindakan politik atau desakan-desakan tertentu yang dapat menggugat kesetiaan ahli-ahli MT UMNO terhadap Najib? Dan yang penting juga ialah sejauh mana Najib akan  terus dapat menjaga dan mengekalkan kesetiaan MT UMNO terhadap beliau. Ini kerana, harus diakui bahawa dalam dunia politik sekuler-demokrasi yang diamalkan hampir di seluruh dunia termasuklah Malaysia tidak ada istilah kawan ataupun lawan abadi, yang ada hanyalah kepentingan abadi. Dengan kata lain, secara asasnya para MT UMNO akan terus setia membela dan mempertahankan Najib selagi mana kepentingan mereka terjaga. Cash Is King.


Ini bermakna, kesetiaan ahli MT UMNO terhadap Najib bukanlah kesetiaan yang berkekalan dan tidak boleh dilunturkan. Hakikatnya para ahli MT UMNO dan sesiapa sahaja yang ketika ini bersungguh-sungguh mempertahankan Najib akan meninggalkan Najib jika mereka sudah tidak lagi melihat sebarang kepentingan yang mereka perolehi dengan mempertahankan Najib. Tanpa rasa malu, kesetiaan mereka akan dicurahkan pula kepada pihak lain yang dapat memberikan manfaat kepada mereka, walaupun sebelumnya mereka begitu lantang mengkritik pihak tersebut. Inilah sifir politik Malaysia yang berlaku dengan jelas di depan mata.




Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dan mempunyai kefahaman yang begitu dalam terhadap asam garam dan sepak terajang politik Malaysia, Tun Mahathir tentunya mempunyai cara yang tersendiri untuk menggugat kesetiaan para MT UMNO terhadap Najib. Apa yang penting ialah bagaimana Tun Mahathir harus menunjukkan kepada MT UMNO bahawa Najib sudah tidak dapat lagi memberikan manfaat di atas kesetiaan mereka. Maka sebab itu tidak hairan, mengapa baharu selepas lebih kurang seminggu Deklarasi Rakyat dilancarkan, Tun Mahathir sekali lagi membuat kejutan apabila mencadangkan agar diadakan referendum atau pungutan suara. Referendum tersebut dicadangkan untuk mengetahui sama ada rakyat Malaysia menyokong Najib atau menyokong usaha yang dibuat oleh Mahathir bagi menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia.


Jelas sekali bahawa selepas ini akan ada lagi kejutan yang bakal dilakukan oleh Tun Mahathir bagi meningkatkan momentum mendiskreditkan Najib agar para MT UMNO hilang keyakinan terhadap kemampuan Najib memberikan manfaat kepada mereka. Namun begitu, Najib tentunya akan sentiasa mematahkan setiap percaturan yang dilakukan oleh Tun Mahathir, memegang tampuk kekuasaan sebagai Perdana Menteri Malaysia adalah hidup mati bagi Najib. Oleh itu, semakin kuat Tun Mahathir menyerang Najib, maka semakin kuat jugalah Najib akan bertindak mematahkan serangan Tun Mahadir ke atas beliau. Pertembungan inilah yang akan menghiasi perjalanan politik Malaysia setiap hari sehingga ada ‘pemenangnya’. Apa kebaikannya kepada rakyat ??? Fikir-fikirkanlah.

Anda Mungkin Juga Meminati :



No comments:

Post a Comment