Berdasarkan Perlembagaan
Malaysia, mandat Barisan Nasional yang diketuai oleh Dato Seri Najib sebagai
Kerajaan Persekutuan hanya akan berakhir pada bulan Jun 2018. Manakala PRU14
perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas Parlimen bubar secara sendirinya.
Oleh itu, secara teknikalnya PRU14 boleh diheret sehingga ke bulan Ogos 2018.
Namun, perkara sedemikian belum pernah terjadi dalam sepanjang proses PRU di
Malaysia sejak mencapai kemerdekaan. Sudah menjadi amalan kepada Perdana
Menteri yang mengetuai kerajaan Persekutuan akan mengistiharkan pembubaran
parlimen lebih awal bagi membuka laluan kepada PRU diadakan. Ini kerana,
perlembagaan juga memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk berbuat demikian.
Kelebihan ini sudah tentu
akan digunakan dengan sebaiknya oleh Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen
pada masa yang dirasakan akan memberikan kelebihan kepada partinya untuk
memenangi semula PRU. Ini menyebabkan PRU dalam politik Malaysia menjadi ‘unik’
dengan terdapatnya unsur-unsur surprise dan suspense yang disulami dengan bermacam-macam
gosip mengenai bilakah PRU akan diadakan. Namun secara umumnya pihak-pihak yang
berkepentingan khususnya parti pembangkang akan berusaha sedaya upaya untuk
mendapatkan maklumat bagi mengetahui jarak waktu PRU diadakan. Mereka tentu
sahaja akan sentiasa memantau gerak kerja agensi yang berkaitan khususnya SPR
kerana daripada situ petunjuk PRU dapat diketahui.
Sebagai parti pemerintah
yang ingin mengekalkan tampuk pemerintahan, sudah tentu Dato Seri Najib akan
memilih untuk diadakan PRU pada masa potensi kemenangan berpihak kepadanya.
Dalam konteks pilihanraya demokrasi, potensi kemenangan banyak bergantung kepada
kekuatan parti politik membawa isu yang dapat menawan hati para pengundi. Tidak
kira dimana pun pilihanraya demokrasi diadakan termasuklah di negara -negara
maju yang menjadi contoh amalan demokrasi seperti Amerika Syarikat, Britain,
Perancis dan negara-negara eropah yang lain, senjata utama yang akan dijadikan
isu dalam kempen ialah menyerang kelemahan pihak lawan.
Selain itu, sentiman
wujudnya ancaman juga merupakan salah satu senjata yang sangat berkesan
memberikan potensi kemenangan. Di barat, golongan imigran khususnya umat Islam
sering dijadikan sebagai kelompok yang dipropagandakan memberikan ancaman
kepada rakyat kehidupan masyarakat barat bagi mendapatkan undi daripada
majoriti rakyat tempatan. Begitu juga dengan setiap kali PRU diadakan di India,
kemarahan dan kebencian masyarakat hindu terhadap umat Islam sering di kobarkan
bagi mendapatkan sokongan pengundi-pengundi hindu yang merupakan golongan
majoriti di India.
Berdasarkan realiti
semasa, banyak isu yang sedang berlaku dalam negara khususnya yang berkaitan
dengan skandal 1MDB yang telah mencipta banyak isu hiliran seperti peningkatan
hutang negara, kemasukkan pelaburan berskala besar dari negara China serta
wujudnya persepsi yang kuat campurtangan politik terhadap institusi-institusi
penting negara telah memberikan disadvantage kepada pentadbiran Dato Seri
Najib. Perkara ini tentu sahaja telah menyempitkan potensi kemenangan
bagi Barisan Nasional pimpinan Dato Seri Najib. Selain itu, mencipta
persengketaan dengan pemimpin yang sangat berpengalaman dan berpengaruh di
negeri Sabah iaitu Dato Seri Shafie Apdal merupakan satu kesilapan besar.
Pengaruh dan pengalaman yang dimiliki oleh Dato Seri Shafie Apdal terhadap
selok belok politik di Sabah telah menjadikan Sabah bukan lagi negeri yang
menjadi fixed deposit kepada Barisan Nasional.
Jika sebelum ini, Barisan
Nasional boleh memberikan fokus yang banyak untuk menawan negeri-negeri di
semenanjung kerana tidak perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk
mengekalkan cengkamannya terhadap Sabah. Kini keadaannya telah berubah dengan
adanya gelombang politik baru yang dibawah oleh Parti Warisan pimpinan Dato
Seri Shafie Apdal. Satu lagi cabaran baru yang menyempitkan lagi potensi
kemenangan Barisan Nasional. Dalam masa yang sama, krisis yang menimpa
organisasi yang sangat dekat dengan orang melayu iaitu FELDA telah membuka
peluang kepada Parti Bersatu Pribumi meluaskan pengaruhnya ke dalam FELDA yang
selama ini menjadi kubuh kuat UMNO.
Memang dapat dilihat
dengan jelas bahawa Dato Seri Najib berusaha dengan bersungguh-sungguh
melakukan bermacam-macam perkara agar Barisan Nasional dapat memenangi PRU14.
Boleh dikatakan susuk tubuh Dato Seri Najib sentiasa ada di mana-mana, tanpa
mengira siang atau malam, ada sahaja program atau aktiviti yang dihadiri
beliau. Kesungguhan Dato Seri Najib berkerja siang dan malam, berkejar ke sana
ke sini tentu sahaja kerana beliau sedar, beliau tidak boleh kalah dalam PRU14.
Ada banyak konsekuensi yang tidak baik akan menimpa dirinya jika beliau hilang
kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia. Beliau tidak mempunyai pilihan lain
selain perlu kekal sebagai Perdana Menteri.
Berdasarkan perkembangan
semasa, melambat-lambatkan PRU14 sebenarnya lebih banyak menguntungkan pihak
pembangkang yang kini diketuai oleh Tun Mahadhir. Masa yang ada bukan sahaja
dapat digunakan oleh pembangkang termasuklah gelombang politik baru di Sabah
terus menerus menyerang pentadbiran Dato Seri Najib, tetapi juga telah memberi
masa kepada parti-parti pembangkang mengukuhkan kesatuan mereka. Sebaliknya,
semakin banyak pula kelemahan Barisan Nasional khususnya oleh pimpinan UMNO
yang di perlihatkan kepada rakyat Malaysia. Persoalannya, jika demikian
keadaannya mengapa Dato Seri Najib tidak membubarkan parlimen lebih awal?.
Apa yang pasti Dato Seri
Najib hanya akan memberi ruang kepada PRU14 diadakan jika beliau merasakan
beliau dapat mengekalkan kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dato Seri
Najib tentu sahaja akan menggunakan apa sahaja peluang atau cara agar beliau
kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia. Itulah keutamaan beliau, kekal sebagai
Perdana Menteri Malaysia.
Anda Mungkin Meminati :
No comments:
Post a Comment