Wednesday, 30 August 2017

Malaysia Menuju PRU14: Bersendirian Atau Bekerjasama ?


Jika pertandingan tiga penjuru terjadi dalam PRU14, ianya sudah pasti akan memberikan sedikit kelebihan kepada Barisan Nasional (BN). Perkara ini merupakan satu hakikat yang memang disedari oleh kedua-dua pihak sama ada pihak Barisan Nasional sebagai parti yang ingin mengekalkan kuasa mahupun pihak pembangkang. Oleh itu, BN yang kini diketuai oleh Dato Seri Najib sudah tentu sangat menginginkan agar pertandingan tiga penjuru benar-benar terjadi dalam PRU14 yang akan datang. Ini kerana, berlakunya pertandingan tiga penjuru merupakan petunjuk bahawa pakatan pembangkang tidak bersatu secara kukuh dan ianya sudah tentu akan memberikan kelebihan kepada BN.


Halangan utama untuk barisan pembangkang membentuk pakatan yang kukuh bagi menghadapi BN dalam PRU14 adalah kerana parti PAS ketika ini tidak berada dalam pakatan yang sama dengan pembangkang. PAS masih lagi mengambil sikap untuk bersendirian, tidak bersama BN dan tidak juga bersama Pakatan Harapan (PH). Namun, PAS juga sedar bahawa bersendirian dalam mengahadapi PRU14 bukanlah strategi yang tepat. Oleh itu, dapat diperhatikan masih ada usaha-usaha yang lakukan oleh kepimpinan PAS untuk menetapkan posisi mereka, sama ada akan bersama BN ataupun PH. Jika PAS berada bersama-sama dengan PH sehingga wujud kesepakatan satu lawan satu di antara  PH dengan BN, maka sudah tentu peluang kemenangan akan berpihak kepada PH.


Oleh itu, Dato Seri Najib dan para pemimpin BN sudah tentu akan berusaha untuk menghalang PAS daripada menyertai atau bekerjasama dengan PH. Namun begitu, BN juga pada hakikatnya tidak ingin PAS bergabung menyertai BN kerana akan menimbulkan masalah besar dari segi pembahagian kerusi dan juga adanya perbezaan ideologi perjuangan. Secara idealnya, BN akan mendapat kelebihan yang besar dalam PRU14 jika PAS kekal dengan pendirian sekarang iaitu bersendirian agar pertembungan tiga penjuru akan terjadi dalam PRU14. Dengan kata lain, BN hanya memerlukan PAS untuk melemahkan barisan pembangkang bukan untuk menguatkan BN.  


Sebelum ini, masih ada usaha yang dilakukan oleh pimpinan PKR untuk mendekati PAS agar kerjasamsa bagi menghadapi PRU14 dapat dilakukan. Namun baru-baru ini, pimpinan PH termasuklah pimpinan PKR akhirnya telah membuat keputusan sebulat suara untuk tidak bekerjasama dengan PAS dan bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru dalamPRU14. Pendirian tersebut terpaksa diambil mungkin kerana pimpinan PH menjangkakan PRU14 sudah semakin hampir dan perlu ada satu halatuju yang jelas bagi mudahkan strategi dapat disusun dengan lebih berkesan. Dengan kata lain, Pakatan Harapan sudah membuat keputusan untuk menghadapi kemungkinan berlakunya pertandingan 3 penjuru diantara 3 pihak yang berpengaruh iaitu BN, PH dan PAS.


Dalam keadaan sedemikian, PAS sudah tentu tidak ingin hanya menjadi pihak yang berperanan sebagai pemecah undi, sebaliknya PAS juga inginkan kemenangan. Namun ianya tentu sahaja  sukar dan mencabar kerana taburan pengundi hampir di setiap kerusi sama ada DUN mahupun Parlimen terdiri daripada pelbagai pengundi yang mempunyai sokongan politik yang berbeza-beza. Maka sebab itu, sejak PRU yang pertama lagi pada tahun 1955, parti yang berjaya meraih menang kebanyakkannya adalah parti yang mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain. Berdasarkan rekod sepanjang PRU sebelum ini, PAS  mencapai kemenangan yang lebih baik apabila menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain berbanding bertanding secara bersendirian. Inilah hakikatnya lanskap politik demokrasi di Malaysia yang mesti diakui jika ingin mencapai kemenangan dalam PRU.


Oleh sebab itu, mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk memegang tampuk pemerintahan tidak boleh berkeras atau bertegas dengan prinsip perjuangan parti masing-masing, mesti ada sikap tolak ansur dan membuat keputusan bersama-sama secara konsensus. Sikap sedemikianlah yang selama ini diamalkan dalam BN dan begitu jugalah apa yang sedang diamalkan dalam PH ketika ini. Parti Amanah Negara (PAN) walaupun terdiri daripada ramai pemimpinya yang mempunyai latar belakang sebagai pejuang Islam, namun mereka harus mengikut rentak perjuangan yang di persetujui secara bersama-sama oleh PKR, DAP dan PBBM. Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan lain melainkan perlu mengkompromikan Islam yang ingin mereka perjuangkan dengan perjuangan yang dibawah oleh PKR, DAP dan PBBM.


Maka, bagi PAS, pilihan yang ada adalah sama ada berjuang secara bersendirian atau berkejasama dengan parti-parti yang lain bergantung kepada risiko mana yang ingin diambil. Jika bertanding secara bersendirian, risikonya adalah akan kalah dikebanyakkan kerusi yang telah dimenangi sebelum ini bahkan cengkaman ke atas negeri Kelantan juga berisiko untuk terlepas. Sebaliknya, menjalinkan kerjasama dengan parti-parti politik lain, maka mesti bersedia untuk bertolak ansur dengan prinsip perjuangan. Itu sahajalah pilihan yang ada dalam lanskap politik pilihanraya-demokrasi di Malaysia.


Anda Mungkin Juga Meminati :

No comments:

Post a Comment