Friday, 2 July 2021

Mampukah Malaysia Menyelamatkan Ekonomi Tanpa Menggunakan Pendekatan Wang Helikopter Dan Pelonggaran Kuantitatif ?

Ramai ahli ekonomi yang menyimpulkan bahawa impak pandemik COVID-19 kepada ekonomi dunia adalah lebih teruk berbanding dengan impak Great Depression yang berlaku pada tahun 1930. Tambahan pula, great depression yang terjadi ketika itu adalah disebabkan oleh kejatuhan pasaran saham di Amerika Syarikat. Berbeza hal nya dengan impak pandemik COVID19 ketika ini, di mana seluruh dunia sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang teruk disebabkan banyak sektor real economy yang telah lumpuh. Sifat virus COVID-19 yang mudah merebak menyebabkan semua negara di dunia terpaksa mengambil langkah-langkah pencegahan yang sangat drastik. Kawalan pergerakan, penutupan sempadan dan penguatkuasakan penjarakan fizikal telah memaksa kebanyakkan sektor ekonomi dan sektor sosial tidak dapat beroperasi. Kesannya tentu sahaja telah menampah parahkan krisis ekonomi yang telah sedia terjadi sebelum pandemik COVID-19 bermula.

Sebelum bermulanya pandemik COVID-19, Malaysia hakikatnya telah sedia terhimpit dengan tekanan kelembapan ekonomi dan  hutang negara yang semakin meningkat. Isu seperti kenaikkan kos sara hidup, kadar pengangguran yang tinggi, kejatuhan harga minyak mentah dunia, nilai ringgit yang merudum dan banyak lagi isu yang menggambarkan betapa Malaysia sedang berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang kurang sihat. Pelbagai pelan pembangunan dan pemulihan telah dilancarkan dengan harapan dapat memacu ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih baik. Selain itu, pihak kerajaan juga hampir setiap tahun telah melancarkan pelbagai pakej bantuan ekonomi bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Tidak sukar untuk difahami bahawa pakej bantuan ekonomi terpaksa dilancarkan kerana pelan pembangunan dan pemulihan ekonomi telah gagal mencapai matlamatnya. Jika pelan pembangunan dan pemulihan ekonomi berjaya mencapai matlamatnya iaitu meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat, maka tidak perlu dilancarkan pakej bantuan ekonomi. Namun apa yang berlaku ialah kehidupan rakyat semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, bahkan semakin ramai bergantung kepada sumbagan orang ramai dan foodbank untuk melangsungkan kehidupan. Lebih menyedihkan ada yang memilih jalan singkat untuk lari dari tekanan hidup dengan cara membunuh diri. Begitulah keadaan kehidupan manusia ketika ini yang diatur dengan sistem ekonomi kapitalis.  Matlamat utama sistem ekonomi iaitu memberikan kesejahteraan dan keadilan kepada semua manusia ternyata gagal dicapai oleh sistem Ekonomi Kapitalis. Kita dapat menyaksikan dengan jelas, bukan hanya di Malaysia tetapi juga negara-negara lain, kehidupan rakyatnya semakin terhimpit dengan perlbagai macam masalah kehidupan. Keadilan? di mana keadilan jika 95% kekayaan dunia hanya dikongsi oleh sebilangan kecil manusia yang mempunyai kekayaan yang sangat luar biasa. Manakalah sebahagian besar manusia di seluruh pelosok dunia hidup dalam kemiskinan, serba kekurangan dan kelaparan.

Disebalik komitmen tinggi yang sering diberikan oleh para pemimpin negara untuk memulihkan ekonomi dan membantu menggurangkan beban hidup rakyat, hakikatnya dengan kebergantungan yang tinggi kepada perdangangan dunia dan keterbatasan sumber kewangan yang ada, tidak banyak yang mampu dilakukan oleh kerajaan bagi memenuhi komitmen yang telah diberikan. Defisit fiskal setiap tahun sejak berlakunya krisis kewangan asia pada tahun 1997/8 merupakan satu petunjuk bahawa impaknya terhadap ekonomi Malaysia masih belum pulih sehingga ke hari ini. Keadaan ekonomi Malaysia  diburukkan lagi dengan pelbagai pergolakan ekonomi global seperti krisis kewangan global 2008, kejatuhan harga minyak dunia, perang dagang US-China dan lain-lain lagi. Malaysia sebagai sebuah negara dagang yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka sangat terkesan dengan keadaan ekonomi global yang tidak stabil. Hakikatnya impak pandemik COVID-19 kepada ekonomi Malaysia adalah jauh lebih teruk berbanding impak krisis 1997/8.

Jika impak krisis 1997/8 terhadap ekonomi Malaysia tidak dapat dipulihkan sepenuhnya, ditambah pula dengan persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar, bagaimanakah ekonomi Malaysia dapat bangkit semula setelah dilumpuhkan oleh pandemik COVID-19? Benar, bukan hanya Malaysia, tetapi hampir seluruh negara menghadapi masalah yang sama termasuklah negara kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Impak pandemik COVID-19 terhadap ekonomi dunia menjadi lebih parah kerana lebih daripada separuh kekayaan ekonomi dunia ketika ini yang didominasi oleh sistem Kapitalis adalah  dijana daripada pasaran kewangan. Maka, terdapat banyak gelembung – gelembung ekonomi yang telah dihasilkan dalam kitaran ekonomi. Kesannya, pandemik COVID-19 telah menyebabkan gelembung-gelembung ekonomi tersebut pecah sehingga menyebabkan pasaran kewangan mengalami kerugian yang sangat besar. Maka, dunia ketika ini sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang berganda-ganda.

Penyelesaian yang sangat diperlukan bagi mengatasi krisis ekonomi ketika ini adalah dengan cara meningkatkan penawaran wang dalam ekonomi agar dapat mencipta kuasa beli isi rumah mahupun firma terhadap barang dan perkhidmatan. Terdapat dua cara dalam sistem kapitalis untuk meningkatkan penawaran wang dalam ekonomi iaitu, pertama menggunakan kaedah wang helikopter dan kedua menggunakan kaedah pelonggaran kuantitatif. Wang helikopter adalah kaedah dimana bank negara mencetak duit dan mengedarkannya secara langsung kepada isi rumah. Manakalah pelonggaran kuantitatif pula, wang dicetak dengan cara bank negara membeli bon kerajaan yang dimiliki oleh institusi kewangan agar institusi kewangan mempunyai kecairan untuk dipinjamkan kepada isi rumah. Tujuannya  sama sahaja iaitu mencetak wang untuk dipam ke dalam kitaran ekonomi agar rakyat dapat berbelanja dan membuat pelaburan. Dengan jangkaan ekonomi akan bergerak dan pasaran kewangan akan kembali aktif. 

Mencetak wang sama ada dengan kaedah wang helikopter atau pelonggaran kuantitatif akan memberikan kesan yang sama iaitu ekonomi akan mengalami inflasi yang tinggi, tekanan kepada peningkatan kadar bunga nominal dan nilai mata wang akan merudum. Namun, tidak pada Amerika Syarikat, dolar tetap kukuh walaupun dicetak dengan banyak sejak sekian lama dan seluruh dunia mengetahuinya dengan jelas. Ini kerana, semua negara di dunia masih mempercayai dolar Amerika sebagai matawang antarabangsa dan sentiasa dahagakan dolar Amerika, menyebabkan permintaannya sentiasa tinggi. Tidak bagi negara seperti Malaysia, mencetak wang tanpa kawalan yang ketat akan menjerumuskan Malaysia ke kancah krisis ekonomi yang teruk.

Ketika ini, Malaysia telah pun menggunakan banyak sumber kewangan yang ada untuk mempertahankan ekonominya daripada dilumpuhkan oleh pandemik COVID-19 serta memberi bantuan kepada rakyatnya. Namun sejauh manakah Malaysia mampu bertahan dengan sumber kewangan yang ada dan adakah Malaysia mempunyai keupayaan kewangan untuk membangkitkan semula ekonomi yang telah dilumpuhkan oleh pendemik COVID19? Jika tidak,  adakah Malaysia sebagai negara yang turut mengamalkan sistem ekonomi kapitalis mempunyai pilihan lain selain daripada mencetak duit?


Anda Mungkin Meminati:


1. WE HAVE TO FREE OURSELVES FROM THE UNITED NATIONS BEFORE WE CAN TRULY LIBERATING PALESTINE

2. Virus COVID-19

 

 


No comments:

Post a Comment