Berdasarkan sidangan
khas parlimen yang telah berlangsung sejak 26/07/21 terdapat tiga perkara yang
boleh disimpulkan:
1. Proses membahaskan atau membincangkan masalah yang sangat
kritikal yang sedang dihadapi oleh negara iaitu masalah yang berkait dengan
COVID-19 tidak dibahaskan secara rasional dan ilmiah, tetapi dipenuhi dengan
luahan emosi dan maki memaki. Tindakan sedemikian bukanlah sesuatu yang
mengejutkan bahkan ianya merupakan satu sifat atau budaya dalam mana-mana
negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Dalam sesebuah negara
yang mengamalkan sistem demokrasi, parlimen adalah tempat yang dianggap mulia
kerana disitulah perkara yang sangat penting diadakan iaitu proses menggubal
undang-undang. Proses menggubal undang-undang secara asasnya dilakukan dengan
cara usul dibentangkan, kemudian dibahaskan sebelum pengundian dijalankan.
Proses tersebut juga sudah tentu mempunyai tatacara pelaksanaannya yang telah
ditetapkan berdasarkan peruntukan perlembagaan. Antara tatacara yang biasa
diperlihatkan kepada rakyat ialah peranan speaker parlimen dalam
mengawal proses perjalanan sidang parlimen. Umum mengetahui speaker yang
dilantik sudah tentu akan memihak kepada pihak kerajaan kerana pelantikan speaker
dipilih secara langsung oleh pihak kerajaan. Mengharapkan agar speaker
dapat berlaku neutral kepada pihak kerajaan dan pembangkang dalam
persidangan parlimen sudah tentu tidak mungkin akan berlaku. Maka, perasaan
tidak puas hati sering dizahirkan oleh pihak pembangkang setiap kali
persidangan parlimen diadakan. Bermacam-macam aturan persidangan dipertikaikan
sehingga sering berlaku semasa persidangan adalah perbahasan tentang aturan
mesyuarat yang berlaku disusuli dengan
kata-kata kesat yang penuh emosi, mempersenda, menghina dan sebagainya.
Ahli parlimen di pihak kerajaan sudah tentu turut memberikan tindak balas yang
serupa. Akhirnya, berlakulah seperti apa yang biasa kita saksikan setiap kali
parlimen bersidang. Pertengkaran, saling menghina, saling mencabar sesama
ahli-ahli parlimen menjadi amalan biasa semasa persidangan parlimen
berlangsung. Adakah dengan amalan sedemikian yang hakikatnya merupakan
sebahagian daripada tubuh demokrasi dapat menghasilkan undang-undang atau
aturan hidup yang baik untuk manusia?
2. Kematangan berpolitik, menggarap idea dan pemikiran yang bernas
adalah satu fantasi dalam demokrasi. Walaupun ada beberapa orang ahli parlimen
yang bersifat berkecuali ataupun independent namun bilangannya adalah
sangat sedikit, suara atau sokongan terhadap sesuatu usul yang ingin digubal
ditentukan oleh blok kerajaan dan blok pembangkang. Prinsip semak dan imbang
melalui sesi perbahasan dianggap satu pendekatan yang dapat menghasilkan satu
keputusan yang terbaik. Dalam sesi perbahasan para ahli parlimen diberi ruang
untuk mengemukakan hujah dan idea terhadap sesuatu isu yang dibincangkan.
Namun, secara amalannya ianya tidak membawa apa-apa makna walaupun ahli
parlimen yang telah berbahas secara ilmiah dan mengemukakan pandangan bernas
dengan hujah dan fakta. Namun, blok kerajaan atau blok pembangkang yang akan
menentukan sokongan usul yang dibahaskan berdasarkan blok masing-masing bukan
berdasarkan hujah yang bernas. Dengan kata lain, tidak kira betapa bernas pun
hujah yang disampaikan oleh pihak kerajaan, blok pembangkang tetap tidak akan
menyokong dan begitulah sebaliknya. Maka, hakikatnya nature dalam
demokrasi kebenaran bukan ditentukan oleh idea atau pandangan yang bernas, tetapi
kebenaran ditentukan berdasarkan blok atau kelompok yang majoriti. Jika
golongan liberal anti Islam yang memegang suara majoriti, maka merekalah yang
akan memegang cop kebenaran.
3. Perlembagaan persekutuan adalah undang-udang tertinggi, semua
permasalahan kenegaraan mesti diselesaikan berdasarkan peruntukan perlembagaan.
Walaupun British tidak lagi menentukan bagaimana permasalahan kehidupan rakyat
dinegara ini diuruskan sebagaimana yang telah mereka lakukan semasa menjajah
tanah melayu, tetapi dengan meninggalkan Perlembagaan Persekutuan kepada Tanah
Melayu (kini Malaysia) yang merdeka sudah cukup untuk memastikan segala aspek
kehidupan kita diuruskan seperti mana yang mereka kehendaki. Misalnya, mereka
(British) mengkehendaki agar orang Islam menjalankan udang-udang Islam hanya
dalam urusan ibadah dan kekeluargaan sahaja, maka perkara tersebut telah
dipatri oleh mereka dalam perlembagaan. Dan ternyata sehingga kini ianya
dipatuhi dan diamalkan dengan penuh keyakinan seolah–olah ianya ketetapan yang
mutlak. Mungkin sukar untuk diakui oleh sesetengah pihak jika disimpulkan
bahawa kita sehingga hari ini mengamalkan ajaran Islam seperti yang dikehendari
oleh kafir barat British, bukan seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Allah
SWT memerintahkan kita agar berhukum dengan hukum Allah dalam setiap aspek
kehidupan, tetapi British mengkehendaki kita berhukum dengan hukum Islam hanya
dalam soal ibadah dan kekeluargan itupun dengan syarat ianya mestilah tidak
bercanggah dengan perlembagaan yang telah ditetapkan oleh British. Itulah
hakikat kehidupan yang sedang kita lalui ketika ini, mengenepikan perintah
Allah SWT dan patuh pada ketetapan kafir barat British.
Berdasarkan tiga
perkara diatas, perkara penting yang harus difahami ialah kemelut politik yang
sedang berlaku di Malaysia ketika ini adalah hasil daripada sistem pemerintahan
dan perundangan yang diamalkan. Demokrasi memberikan kebebasan kepada manusia
untuk menentukan apa yang baik untuk dirinya dan bagaimana cara yang terbaik
mencapainya. Manusia sebagai mahluk ciptaan Allah SWT sangat tidak layak untuk
menentukan apa yang terbaik untuk dirinya sedangkan Penciptanya yakni Allah SWT
telah menentukannya dalam al-Quran dan mengutuskan baginda Rasulullah SAW untuk
menunjukkan kepada umat Islam bagaimana untuk menguruskan kehidupan manusia
dengan ajaran Islam yang serba lengkap. Maka, tiada cara lain yang terbaik bagi
umat Islam dalam menguruskan kehidupan melainkan kembali berhukum dengan hukum
Allah SWT dalam segenap aspek kehidupan. Ianya akan dapat direalisasikan jika
sistem pemerintahan Islam iaitu sistem Khilafah kembali ditegakkan. Nampak
seperti ianya seruan yang mudah untuk disahut, tetapi tidak pada mereka yang
mindanya masih lagi dijajah.
Artikel Lain:
1. A Stark Glimpse of Mental Health Problem in Malaysia
2. Mampukah Malaysia Menyelamatkan Ekonomi Tanpa Menggunakan Pendekatan Wang Helikopter Dan Pelonggaran Kuantitatif ?
No comments:
Post a Comment