Wednesday, 25 January 2023

Kebergantungan Ekonomi Malaysia Terhadap Ekonomi Dunia

Malaysia merupakan sebuah negara dagang yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka. Kesejahteraan ekonominya sangat bergantung kepada kesejahteraan ekonomi dunia. Jika ekonomi dunia berkembang dengan pesat, maka limpahannya akan turut mengalir ke Malaysia, dan sebaliknya jika ekonomi dunia mengalami kelembapan maka Malaysia akan turut sama merasai impaknya. Hal ini kerana kebergantungan ekonomi Malaysia yang sangat tinggi terhadap perdagangan import-eksport dan pelaburan langsung asing sangat dipengaruhi oleh keadaan ekonomi dunia. Oleh itu, ekonomi Malaysia hanya akan berpotensi untuk berkembang jika ekonomi dunia yang dikuasai oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, China dan Eropah berkembang dengan pesat.

Dengan kata lain, untuk mengetahui sama ada ekonomi Malaysia akan berkembang dengan baik pada tahun 2023, sifirnya cukup mudah, lihat sahaja bagaimana keadaan ekonomi dunia khususnya keadaan ekonomi di negara kuasa ekonomi dunia ketika ini iaitu Amerika Syarikat, China dan Eropah. Pada tahun 2021, 42% GDP dunia datangnya daripada dua negara sahaja iaitu Amerika Syarikat dan China. Angka ini secara jelas menunjukkan betapa tingginya kepergantungan ekonomi dunia terhadap pertumbuhan ekonomi di dua negara ini iaitu Amerika Syarikat dan China. Jika negara-negara lain termasuk Malaysia ingin mencapai pertumbuhan ekonomi yang positif, maka ekonomi di kedua-dua negara tersebut dan Eropah perlu berkembang terlebih dahulu agar limbahan ekonominya akan mengalir ke negara-negara lain.

    Oleh itu, walau apa pun perancangan ekonomi yang cuba dilakukan oleh kerajaan Malaysia bagi meningkatkan pertumbuhan ekonominya, rancangan tersebut tidak akan berhasil jika ekonomi di Amerika Syarikat, China dan Eropah tidak berkembang maju. Kunci kejayaan yang paling penting kepada pertumbuhan ekonomi disemua negara ketika ini bergantung kepada pertumbuhan ekonomi oleh tiga kuasa ekonomi tersebut. Itulah sifir ekonomi dunia ketika ini.

Keadaan semasa ekonomi di ketiga-tiga kuasa ekonomi tersebut sedang mengalami kelembapan dan dijangkakan akan mengalami keadaan yang lebih suram pada tahun 2023. Selain daripada kerosakan sistemik yang telah sekian lama membentuk begitu banyak bubble ekonomi yang sudah tidak terkawal sehingga sering mencetuskan krisis ekonomi yang semakin lama semakin kecil kitarannya. Faktor-faktor lain seperti Brexit, perang tarif AS-China, pendemik COVID-19 dan perang Rusia-Ukraine menambahkan lagi masalah ekonomi  yang sedia ada. Brexit yang telah dimulakan sejak tahun 2016 tenyata telah menjerumuskan Britain dan Eropah ke kanca ekonomi yang tidak menentu. Brixit telah melalui beberapa fasa siri rundingan yang mengambil masa yang sangat lama dan beberapa kali telah ditangguhkan kerana gagal mencapai kata sepakat terhadap terma-terma perdagangan antara Britain dan Eropah. Setakat ini Brexit telah mendatangkan kesan yang negatif terhadap ekonomi  Eropah.

Meletusnya perang tarif antara AS dan China semasa Donald Trump menjadi Presiden AS telah menyebabkan banyak sektor ekonomi di AS yang terjejas teruk sehingga terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kenaikan kos bahan mentah. Akibatnya ramai rakyat AS yang telah kehilangan pekerjaan, yang seterusnya mencetuskan rantaian krisis lain seperti krisis hutang isi rumah, gelandangan, masalah mental, pembunuhan rambang dan sebagainya. Masalah penganguran yang serious di AS telah menjadi salah satu isu utama dalam kempen pilihanraya Presiden antara Biden dan Trump. Masing-masing memberikan jaminan untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan jika dipilih menjadi Presiden, janji yang perlu ditabur untuk mendapatkan undi. Namun, belum pun sempat kerajaan AS menyelesaikan masalah pengangguran dan masalah-masalah ekonomi yang lain, dunia tiba-tiba dikejutkan dengan pendemik COVID19.

Pandemik COVID19 jelas sekali telah memberikan kesan yang sangat serious kepada ekonomi dunia, ada laporan yang menyebutkan bahawa kerugian yang dialami disebabkan oleh COVID19 adalah lebih besar berbanding dengan kerugian semasa perang dunia kedua. Penutupan hampir semua sektor ekonomi diseluruh dunia bagi mengekang penyebaran virus COVID19 benar-benar telah memberikan kesan negatif terhadap rantaian penawaran di seluruh dunia. China selama tiga tahun telah melaksanakan dasar-dasar yang sangat ketat seperti dasar ‘Zero COVID19’ bagi mengekang penularan virus COVID19. Kesannya, ekonomi mereka terjejas dengan teruk sehingga mencetuskan protes rakyat di seluruh China. Susulan protes tersebut, China telah mula melonggarkan pendekatan mereka dalam berhadapan dengan COVID19 kerana dasar mereka sebelum ini telah memberikan kesan yang sangat negatif terhadap ekonomi mereka. Mereka sedar bukan mudah untuk kembali pulih jika dasar yang mereka laksanankan menyebabkan ‘kecederaan’ yang sangat serious terhadap ekonomi mereka.

Begitu juga dengan pengalaman yang pernah dilalui oleh  Malaysia ketika ekonominya mengalami ‘kecederaan’ yang sangat serious impak daripada krisis Kewangan ASIA 1997/98. Impak  negatif Krisis Kewangan ASIA 1997/98 keatas ekonomi negara masih terasa walaupun sudah hampir 25 tahun berlalu. Kesejahteraan ekonomi yang dinikmati ketika itu sehingga di gelar sebagai ASEAN Tigers, sehingga kini masih tidak dapat dipulihkan. Bahkan terus menerus ditekan  dengan bermacam-macam masalah ekonomi global.

Tidak cukup dengan krisis yang sedia meruncing, ekonomi dunia kini pula ditekan oleh perang Rusia-Ukraine. Perang tersebut telah menyebabkan ekonomi Eropah terjejas teruk, inflasi melambung tinggi sehingga menyebabkan ramai rakyat eropah dibebani dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi. Sehingga kini masih belum ada tanda-tanda yang jelas bahawa perang yang telah berlangsung selama hampir setahun akan berakhir dalam masa yang terdekat. Ini kerana, perang Rusia- Ukraine merupakan perang yang melibatkan persaingan strategik geopolitik kuasa-kuasa besar dunia. Momentumnya sangat besar, tidak mudah untuk dihentikan kerana ianya turut berkaitan dengan banyak elemen-elemen yang lain. Maka boleh dirumuskan bahawa tahun 2023 ekonomi eropah akan berada dalam keadaan yang sangat suram.

Jika demikian keadaan ekonomi di seluruh dunia, maka tidak mungkin ekonomi Malaysia akan dapat melalui fasa-fasa pemulihan ekonomi seperti yang diharapkan. Pemulihan yang dimaksudkan ini ialah mengembalikan semula ekonomi Malaysia ke landasan sebelum dunia dikejutkan dengan pandemik COVID19. Kita sudah sedia maklum, ekonomi Malaysia sebelum COVID19 sudah pun sedia berada dalam keadaan yang sukar. Penganguran dan kenaikan kos sara hidup sudah menjadi topik perbincangan yang bersifat spiral, tidak Nampak jalan bagaimana ianya akan dapat diselesaikan.

Hakikatnya, dunia yang kini dikuasai oleh sistem ekonomi kapitalis adalah punca utama kepada segala masalah ekonomi yang dunia sedang hadapi ketika ini. Ironinya, penyelesaian yang dihasilkan oleh sistem kapitalis hanya menambah parahkan masalah yang sedia ada. Umat Islam perlu menyedari bahawa Islam sebagai agama yang lengkap menpunyai sistem ekonominya tersendiri. Ianya perna dilaksanakan dan memberikan kesejahteraan hidup kepada manusia yang hidup dibawah naugannya.

 

No comments:

Post a Comment