Saturday, 30 August 2014

Kemerdekaan Hakiki Yang Mesti Diperjuangkan

Walaupun setelah lebih daripada 50 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan daripada penjajahan British, namun ramai pihak khususnya umat Islam masih tercari-cari erti kemerdekaan yang sebenar. Pencarian tersebut ada asasnya yang sangat kukuh memandangkan disebalik kemerdekaan yang telah dikecapi, hakikat kehidupan sebenar tidak menunjukkan rakyat negara ini merupakan bangsa yang benar-benar merdeka. Kemerdekaan apa yang ingin dirayakan apabila hari demi hari kehidupan rakyat di negara ini semakin jauh daripada kehidupan yang manusiawi. Bermacam-macam masalah yang sedang melanda dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir bahkan semakin lama menjadi semakin bertambah parah.



Golongan muda-mudi misalnya yang menjadi tunjang masa depan negara sedang parah dilanda dengan pelbagai masalah sosial seperti penzinaan, pembuangan bayi, penagihan dadah dan lain-lain lagi. Berdasarkan statistik pendaftaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, dalam tempoh 2006 hingga 2010 daripada 2,481,276 jumlah kelahiran yang didaftarkan, sebanyak 234,647 atau 9 peratus merupakan anak luar nikah (80,979 atau 34.5 peratus adalah ibu kandung yang beragama Islam). Secara puratanya dalam tempoh tersebut seramai 129 anak luar nikah yang didaftarkan dalam sehari. Daripada angka-angka tersebut dapat dibayangkan betapa parahnya amalan penzinaan yang sedang berlaku di negara ‘Merdeka’ ini.

Selain itu, rakyat di bumi yang ‘Merdeka’ ini turut bergelut dengan kepayahan kehidupan yang semakin hari semakin menekan akibat kos hidup yang semakin tinggi dan hutang di sana, hutang di sini. Berbagai-bagai masalah lain seperti peningkatan kadar jenayah, keruntuhan institusi kekeluargaan, kerapuhan semangat kemasyarakatan, pecah amanah, rasuah dan seumpamanya turut mengundang akibat daripada tuntutan hidup yang semakin menekan. Ditambah pula, akibat daripada sistem hidup yang mendorong budaya hidenisme dan materialisme, maka  terbentuklah keinginan yang sangat kuat untuk mengejar keindahan dan kemewahan dunia. Keindahan dan kemewahan dunia dikejar dengan bersungguh-sungguh seolah-olah akan hidup kekal selama-lamanya di dunia ini.  Inilah antara bahana apabila kehidupan manusia dijajah dengan aturan hidup ciptaan manusia sendiri.

Sebenarnya manusia yang Merdeka adalah manusia yang menghambakan dirinya hanya kepada Allah SWT. Seluruh aspek kehidupannya diatur berdasarkan kepada perintah dan larangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ini kerana, itulah tujuan Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini. Allah SWT menciptakan manusia beserta dengan aturan/sistem hidup yang dapat membimbing manusia agar dapat memperolehi kejayaan dan kebahagiaan yang hakiki di dunia ini, yang paling utama adalah memperolehi kejayaan di akhirat kelak.


Oleh itu, untuk mendapatkan kemerdekaan yang hakiki, kehidupan manusia khususnya umat Islam pada hari ini mesti dibebaskan daripada penjajahan pemikiran dan aturan/sistem hidup ciptaan manusia sendiri. Demokrasi, kapitalis, sosialis, kebebasan, hak asasi manusia dan lain-lain seumpamanya merupakan pemikiran dan aturan/sistem hidup yang sedang menjajah kehidupan umat Islam di seluruh dunia. Allah SWT telah memerintahkan atau mewajibkan umat Islam agar menerapkan segala hukum-hakam dan aturan/sistem hidup dalam mengatur kehidupan manusia. Namun, akibat daripada penjajahan pemikiran dan aturan/sistem hidup ciptaan manusia sendiri, maka, bermacam-macam alasan dan helah diberikan untuk tidak melaksanakan perintah Allah SWT tersebut.

Ketika Rabi’ bin Amir ditanyakan oleh panglima perang Parsi yang bernama Rustum tentang tujuan kedatangan pasukan Islam ke wilayahnya. Dengan lantang Rabi’ menjawab:
Kami datang untuk membebaskan manusia daripada penghambaan terhadap sesama manusia kepada penghambaan kepada Allah Yang Maha Esa, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, serta dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam”.

Maka, umat Islam yang inginkan kemerdekaan yang hakiki mestilah berjuang terlebih dahulu untuk membebaskan segala bentuk pemikiran dan aturan/sistem hidup yang sedang menjajah kehidupan umat Islam ketika ini. Kemudian, berjuang untuk menerapkan segala aturan/sistem hidup yang diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia dengan berusaha untuk menegakkan semula Daulah Khilafah ala minhaj nubuwwah.  

Anda Juga Mungkin Meminati :

No comments:

Post a Comment