Sunday, 16 November 2014

Pemikiran Yang Merosakkan Umat Islam

Pemikiran atau fahaman seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, feminisme dan lain-lain yang semisalnya adalah pemikiran yang lahir daripada masyarakat barat berdasarkan pandangan hidup yang tertentu. Pemikiran liberalisme misalnya lahir berdasarkan pandangan hidup bahawa MANUSIA BERHAK MENENTUKAN APA YANG TERBAIK UNTUK DIRINYA SERTA MENOLAK SEBARANG PEMAKSAAN OLEH MANA-MANA AGAMA/IDEOLOGI KEATAS MANUSIA. Oleh itu, membebaskan diri daripada sebarang keterikatan dengan norma hidup masyarakat atau ajaran agama/ideologi adalah unsur kebebasan  intelektual yang  sangat penting dalam fahaman liberalisme. Bahkan ianya dianggap sebagai tindakan manusia berakal dan progresif serta merupakan unsur penting untuk mencapai kemajuan.

Lahirnya pemikiran liberalisme, sekularisme dan lain-lain semisalnya dalam tamadun barat merupakan perkara yang wajar akibat daripada kemunduran sedang mereka alami ketika itu. Masyarakat barat ketika era kemunduran mereka (Zaman Dark Ages)  mengalami kemunduran hampir dalam seluruh aspek kehidupan sama ada dari segi sains dan teknologi, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Hal ini terjadi kerana segala pemikiran mahupun keputusan pemerintahan negara dikawal dan dikongkong sepenuhnya oleh para ahli agama/golongan gereja. Golongan gereja yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan pihak istana telah bersama-sama mempergunakan ajaran agama kristian untuk mengongkong kehidupan masyarakat barat demi kepentingan mereka. Begitulah keadaan kehidupan masyarakat barat selama lebih kurang seribu tahun lamanya.

Apabila zaman pencerahan (renaissance) berlaku akibat daripada perkembangan intelektual di barat, maka lahirlah pemikiran-pemikiran seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, feminisme dan lain-lain yang semisalnya. Dengan berpaksikan pemikiran tersebut golongan cerdik pandai barat telah bangkit mempertikaikan manipulasi ajaran agama kristian oleh golongan gereja yang dikatakan menjadi penghalang kepada kemajuan dan kebebasan intelektual manusia. Selain itu, perkembangan intelektual dalam masyarakat barat juga telah membangkitkan perjuangan untuk menentang pemerintahan secara beraja (monarki) kerana dianggap sebagai sistem yang bersifat autokrasi dan penghalang kepada  pembentukan pemerintahan yang kuat.

Tidak dapat dinafikan bahawa pembentukan sebuah kerajaan yang kuat dan kemajuan lahiriah yang dikecapi oleh masyarakat barat pada ketika ini adalah kesan langsung daripada perkembangan intelektual yang telah melahirkan pemikiran-pemikiran seperti yang disebutkan diatas. Maka atas sebab itu,  ramai umat Islam ketika ini yang telah terpengaruh dengan pemikiran-pemikiran barat seperti yang disebutkan diatas apabila bercakap tentang kemunduran dan kelemahan yang dihadapi oleh umat Islam ketika ini. Bahkan sudah semakin ramai umat Islam termasuklah di Malaysia yang secara indirect(tidak langsung) mula mempertikaikan ajaran Islam dengan cara yang sangat halus. Misalnya mereka mempersoalkan tentang methodology keilmuan Islam yang berasaskan kepada ijtihad dan panduan yang telah gariskan oleh ulama-ulama silam.

Menurut mereka Islam perlu ditafsirkan semula berdasarkan perubahan dan perkembangan semasa, tidak boleh lagi terikat dengan panduan dan penafsiran yang diberikan oleh ulama-ulama silam. Ini kerana, mereka berhujah bahawa panduan dan penafsiran oleh ulama-ulama silam adalah bersesuaian untuk zaman mereka, bukan untuk zaman sekarang. Bagi umat Islam yang kurang memahami tentang methodology keilmuan Islam khususnya golongan bijak pandai daripada golongan muda mudi sudah tentu dengan mudah terpengaruh dengan idea tersebut. Walhal, idea tersebut merupakan cara untuk membuka ruang agar ajaran Islam dapat difahami dan ditafsirkan secara liberal, yang akhirnya terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar. Hakikatnya pelbagai cabang ilmu yang telah diasaskan oleh para ulama silam merupakan khazanah ilmuan yang sangat penting untuk membimbing umat Islam dalam memahami dan melaksanakan ajaran Islam seperti yang diturunkan oleh Allah melalui Rasulullah SAW.

Sebenarnya apa yang paling penting untuk umat Islam fahami dan sedari ialah kemunduran dan kelemahan yang dihadapi oleh umat Islam ketika ini adalah  kerana umat Islam tidak menerapkan ajaran Islam secara keseluruhan dalam kehidupan. Umat Islam sama sekali tidak memerlukan pemikiran dan tidak perlu mencontohi pengalaman yang telah dilalui oleh barat untuk bangkit daripada kemunduran. Apatah lagi kemajuan yang sedang dikecapi oleh barat ketika ini merupakan kemajuan yang sangat mengerikan dan menakutkan. Ini kerana di sebalik kemajuan yang sedang mereka kecapi, masyarakat mereka menjadi semakin rosak dan semakin kosong dengan nilai-nilai hidup kemanusian. 
Umat Islam mesti meyakini dengan sepenuh hati bahawa Islam adalah ajaran wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT lengkap dari segenap aspek pemikiran (fikrah) mahupun tatacara pelaksanaannya (tariqah). Umat Islam hanya perlu mengkaji dan memahaminya kemudian berusaha untuk menerapkkan seluruh kandungan ajaran Islam dalam kehidupan. Inilah yang menjadi kunci kepada kegemilangan umat Islam suatu ketika dahulu, yakni Islam diterapkan secara keseluruhan dalam segenap aspek kehidupan. 

Anda Juga Mungkin Meminati

1. Teras Perjuangan Gerakan Islam  
2.Kebongkakan Dan Kejahilan Golongan Anti Hadith  
3.Hudud : Landasan untuk Diterapkan Secara Sempurna 

 

No comments:

Post a Comment