Saturday, 7 March 2015

Perbalahan Yang Hanya Merugikan Umat Islam

Sekali lagi umat Islam di Malaysia disajikan dengan pertelingkahan sesama tokoh agama yang berpunca ‘dakwaan atas dakwaan’.  Pertelingkahan ‘dakwaan atas dakwaan’ tersebut kemudiannya berkembang pula kepada siri penerangan menjawab ‘fitnah atas fitnah’. Umat islam yang disajikan dengan pertelingkahan sebegini secara tidak langsung akan menjadi keliru bahkan boleh menyebabkan berlaku perpecahan sesama umat Islam. Sebenarnya, banyak pertelingkahan sesama umat Islam dapat dielakkan jika tidak menghukum atau menilai seseorang hanya berdasarkan dakwaan yang kurang jelas. Bukankah Islam mengajarkan agar melakukan penelitian terlebih dahulu bagi memastikan apa yang didakwa itu benar-benar berlaku. Jika memang benar ianya berlaku, maka Islam mengajarkan agar dilakukan muhasabah dengan cara yang baik.

Sebenarnya, sikap menghukum seseorang atau kelompok lain tanpa etika seperti yang digariskan oleh ajaran Islam akhirnya membawa kepada ‘perang merebut kelompok yang paling Islam’. Senjata utamanya ialah menyesatkan atau memburuk-burukkan kelompok lain yang tidak sealiran mereka. Perkara ini boleh dilihat dalam realiti di Malaysia, dimana terdapat sesetengah pihak menghasilkan penulisan dan berceramah dari masjid ke masjid semata-mata untuk kononnya menyampaikan kepada umat Islam tentang kesalahan dan kesesatan yang dilakukan oleh kelompok lain.  

Mereka begitu confident dan bersemangat membuktikan pihak lain tersasar daripada ajaran Islam dan mengingatkan kepada umat Islam tentang bahayanya kelompok-kelompok yang tidak sehaluan dengan mereka. Al-Quran, hadis dan kitab-kitab ulama silam dikaji dan disarah secara selective agar digunakan sebagai hujah untuk  membuktikan kebenaran dakwaan mereka terhadap mana-mana kelompok yang mereka inginkan buktikan telah tersasar daripada ajaran Islam.

Walhal apa yang diperhatikan, banyak hujah atau bukti  yang mereka  kemukakan dengan menggunakan Al-Quran, hadis dan kitab-kitab ulama silam sebenarnya, dipengaruhi oleh unsur KECENDERUNGAN untuk membuktikan kesalahan kelompok yang ingin mereka sesatkan. Kitab-kitab atau penulisan daripada kelompok yang ingin mereka sesatkan ditafsir dengan sesuka hati agar selari dengan kecenderungan mereka untuk menyesatkan kelompok tersebut. Penafsiran yang begitu kuat didorongi oleh kecenderungan akhirnya menghasilkan penafsiran yang pelik-pelik dan melampau-lampau yang hakikatnya bukanlah kefahaman atau amalan kelompok yang ingin mereka sesatkan. Tetapi itu adalah penafsiran mereka sendiri yang memandai-mandai.

Jadi, sebenarnya, apa yang mereka lakukan adalah umpama mereka berimaginasi menghasilkan watak jahat seperti yang mereka kehendaki kemudian diterangkan watak jahat yang mereka imaginasikan tersebut sebagai kelompok yang sangat berbahaya kepada umat Islam. Tindakan atau cara sebegini jelas sekali bercanggah dengan disiplin keilmuan di dalam Islam.

Lagi memburukkan keadaan apabila terdapat juga kelompok lain yang ingin menunjukkan bahawa merekalah golongan yang paling benar dan merupakan golongan yang akan masuk surga dengan cara membuktikan kelompok lain yang tidak sealiran mereka merupakan kelompok yang tersasar daripada ajaran Islam. Mereka juga dengan tegas dan bersungguh-sungguh membuktikan kelompok lain termasuk kelompok yang menyesatkan mereka merupakan kelompok yang telah terasar daripada ajaran Islam. Caranya juga tetap sama menghukum kelompok yang tidak sealiran dengan mereka berdasarkan kecenderungan dan penafsiran.

Kemudian, masing-masing kelompok pula menjawab setiap tuduhan yang dilemparkan kepada mereka untuk membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepada mereka adalah fitnah semata-mata. Akhirnya timbul pula medan yang baru iaitu, medan menjawab fitnah. Dalam medan ini, satu persatu, fitnah yang dilemparkan dijawab dengan teliti dengan hujah-hujah yang ilmiah yang akhirnya meletakkan umat berada dalam keadaan kekeliruan untuk membezakan golongan mana yang benar.

Medan menjawab fitnah yang akhirnya menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam pada hari ini tidak akan berlaku sekiranya budaya memburuk-burukan kelompok lain tidak dilakukan. Apatah lagi, budaya tersebut didorongi dengan kecenderungan dan penafsiran sesuka hati semata-mata untuk memburukkan atau menyalahkan kelompok lain. Keadaan sebegini hakikatnya telah menyebabkan umat Islam semakin berpecah dan juga menyebabkan sebahagian umat Islam hilang kepercayaan atau keyakinan kepada mana-mana kelompok atau jemaah Islam.

Apa yang lebih merisaukan ialah, perbalahan seperti ini telah menyebabkan banyak permasalahan yang sedang menimpa umat Islam tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Malah umat secara tidak langsung turut sama disibukkan dengan perbalahan tersebut yang akhirnya banyak permasalahan yang sedang berlaku disekeliling seperti gejala sosial,murtad, penularan fahaman liberal dan lain-lain lagi tidak diberikan perhatian yang  serius. Begitu juga dengan kewajipan utama umat Islam ketika ini iaitu mengembalikan semula institusi pemerintahan umat Islam turut terabai.

Anda Mungkin Juga Meminati :

No comments:

Post a Comment