Saturday 2 May 2015

PRK Parlimen Rompin Dan Permatang Pauh:Adakah Kemenangan Yang Dicari ?

Rompin merupakan kubu kuat UMNO,begitu juga Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Masing-masing telah memegang parlimen tersebut sejak sekian lama dengan majoriti undi yang sangat  besar, kecuali pada tahun 2004 Datin Seri Wan Azizah hanya menang dengan majoriti 590 menewaskan calon Barisan Nasional iaitu Dato' Pirdaus Ismail yang merupakan bekas Imam Negara.
Kemenangan Datin Seri Wan Azizah menewaskan Dato' Pirdaus Ismail pada Pilihanraya Umum tahun 2004 merupakan bukti yang paling nyata bahawa Permatang Pauh merupakan kawasan keramat bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana, dalam Pilihan Raya Umum Tahun 2004 Barisan Nasional yang ketika itu diterajui oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sedang berada di puncak prestasi, manakala PKR pula ketika itu berada dalam keadaan yang lemah. Namun, Permatang Pauh yang telah diwakili oleh Anwar Ibrahim  sejak tahun 1982 lagi tetap berjaya dipertahankan oleh Datin Seri Wan Azizah daripada jatuh ke tangan Barisan Nasional.

Manakala, Rompin merupakan salah satu daripada kubu kuat UMNO yang telah diwakili oleh Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis sejak tahun 1990 lagi. Pada PRU 13 yang lepas Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis telah berjaya mempertahankan Parlimen Rompin setelah mengalahkan calon daripada PAS iaitu bekas Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi. Namun, Parlimen Rompin tidaklah begitu terkenal berbanding dengan Parlimen Permatang Pauh yang sering kali menjadi perhatian setiap kali adanya pilihan raya. Walaupun bilangan kerusinya tetap sama iaitu satu kerusi parlimen, tetapi kerusi Parlimen Permatang Pauh sangat ‘Istimewa’ kerana ianya adalah kawasan keramat bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR. Maka atas sebab itu, PRK Permatang Permatang Pauh mendapat perhatian yang lebih daripada semua pihak berbanding dengan PRK Parlimen Rompin.

Berdasarkan sejarah dan realiti beberapa pilihan raya sebelumnya serta keadaan politik semasa, Parlimen Rompin akan kekal di tangan UMNO dan Parlimen Permatang Pauh pula akan kekal di tangan PKR.

Dan sebenarnya, PRK Rompin dan PRK Permatang Pauh kali ini bukan pentas politik semata-mata untuk menguji pertembungan di antara UMNO dengan PAS atau UMNO dengan PKR. Tetapi yang lebih utama, PRK Rompin dan PRK Permatang Pauh kali ini adalah pentas untuk menguji keutuhan tahaluf siyasi diantara PAS, PKR dan DAP. Begitu juga dengan UMNO, PRK di kedua-dua parlimen tersebut adalah pentas untuk menguji sejauh mana kesan tentangan Tun Mahathir terhadap Dato Seri Najib ke atas prestasi UMNO khususnya di Parlimen Rompin. Jadi, dalam kedua-dua PRK tersebut keputusan penting yang sangat dinantikan oleh kedua-dua pihak bukanlah kemenangan semata-mata, tetapi yang lebih utama ialah keputusan mengenai statistik peratus keluar mengundi dan juga jumlah kemenangan majoriti yang diperolehi. Ini kerana, statistik peratus keluar mengundi dan jumlah kemenangan majoriti dapat memberikan jawapan terhadap krisis dalaman masing-masing.

Bagi Pakatan Rakyat, sudah tentunya mereka ini melihat sejauh mana sokongan ahli-ahli PAS terhadap Datin Seri Wan Azizah dalam PRK Permatang Pauh kali ini. Sokongan dan undi daripada ahli-ahli PAS yang dianggarkan berjumlah 10 ribu tentunya sangat signifikan menentukan kemenangan Datin Seri Wan Azizah dengan majoriti yang besar. Sokongan dan undi daripada ahli-ahli PAS juga bakal memberikan jawapan terhadap komitmen tahaluf siyasi PAS bersama PKR dan DAP. Selain itu, ianya akan turut menjadi petunjuk kepada pergelutan dalam PAS, sama cenderung untuk mempertahankan kepimpinan Haji Hadi atau cenderung kepada usaha perubahan untuk menggantikan Haji Hadi sebagai Presiden PAS.

Bagi UMNO pula, tentunya statistik peratus keluar mengundi dan jumlah kemenangan majoriti di Parlimen Rompin akan memberikan jawapan mengenai sokongan terhadap kepimpinan Dato Seri  Najib. Jika statistik peratus keluar mengundi dan jumlah kemenangan majoriti jauh merosot, maka itu adalah petunjuk bahawa sokongan ahli-ahli UMNO terhadap Dato Seri  Najib semakin merosot. Dan, tentunya ianya juga adalah pentada kejayaan usaha Tun Mahathir yang inginkan Dato Seri  Najib berundur sebagai Perdana Menteri Malaysia. Namun, jika sebaliknya maka itu adalah salah satu petanda bahawa kemimpinan Dato Seri  Najib masih kuat dan tidak terjejas teruk dengan usaha Tun Mahathir untuk menjatuhkan beliau.

Jadi dengan pertarungan yang agak berbeza dalam pilihan raya Permatang Pauh dan Rompin pada kali ini, maka selain daripada kempen memburuk-burukkan parti lawan. Pilihan raya di kedua-dua parlimen tersebut kali ini juga akan lebih banyak usaha dilakukan untuk menyeru ahli masing-masing agar keluar membuang undi. Berdasarkan kemelut politik yang sedang dihadapi oleh kedua-dua pihak, undi protes dengan cara memangkah parti lawan bukanlah perkara yang membimbangkan. Tetapi yang lebih dibimbangkan oleh kedua-dua pihak ialah kemorosotan peratus keluar mengundi ataupun protes dengan undi rosak kerana ianya boleh menjejaskan jumlah kemenangan majoriti. Apatah lagi sudah ada suara-suara yang menyeru agar memboikot pilihan raya tersebut. Satu tindakan yang sangat pelik bagi mereka yang mempercayai perjuangan dengan cara pilihan raya - demokrasi.

Apa sekali pun, bagi umat Islam yang masih percaya kepada perjuangan menegakkan hukum-hakam Islam dengan cara pilihan raya demokrasi sehingga ada yang percaya bahawa mengundi itu adalah satu kewajipan/jihad untuk menentang kemungkaran. Peristiwa-peristiwa politik dalam acuan demokrasi yang banyak berlaku di negara kita, diharapkan dapat membuka mata setiap umat Islam khususnya para pemimpin gerakan/parti politik Islam agar dapat melihat akan kepalsuan kemenangan yang dijanjikan oleh pilihan raya - demokrasi.  

Anda Mungkin Juga Meminati :

No comments:

Post a Comment