Wednesday 22 April 2015

Konflik Yaman : Apakah Kesudahannya ?



Yaman merupakan salah satu negeri umat Islam yang sering dilanda dengan konflik peperangan. Selain sering berlaku perang saudara diantara puak yang bertelagah, Yaman juga sering menjadi sasaran serangan oleh kuasa asing khususnya Amerika Syarikat atas dakwaan Yaman dijadikan sebagai tempat persembunyian anggota Al-Qaeda. Kali ini Yaman menjadi mangsa serangan udara oleh gabungan 10 negara (Maghribi, UAE, Kuwait, Bahrain, Jordan, Qatar, Pakistan, Egypt, Sudan, dan Saudi Arabia) yang dikenali sebagai  Gulf Cooperation Council (GCC). Serangan oleh Pakatan GCC yang diketuai oleh Arab Saudi terhadap kumpulan Houthi di Yemen dilancarkan setelah mendapat keizinan daripada ‘tuan’ mereka iaitu Amerika Syarikat. Serangan udara oleh GCC terhadap kumpulan Houthi di Yemen diisytiharkan sendiri dari Washington oleh Duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat iaitu Adel al-Jubier.

Mengetahui pembentukan negara Yaman yang ada pada hari ini merupakan satu perkara yang sangat penting bagi memahami konflik yang sedang berlaku di bumi Yaman ketika ini. Negara Yaman yang ada pada hari ini dikenali sebagai Republik Yaman adalah hasil daripada gabungan Negara Yaman Utara dengan Negara Yaman Selatan. Kedua-dua negara tersebut bergabung membentuk Negara Republik Yaman pada tahun 1990 selepas kejatuhan Soviet Union. Sebelum terbentuknya Negara Republik Yaman, Yaman Utara dan Yaman Selatan merupakan dua negara yang berlainan.


Dari segi sejarah, Yaman Utara merupakan antara negara bangsa yang terbentuk selepas kekalahan Daulah Turki Uthmaniyyah kepada Tentera Berikat dalam Perang Dunia Pertama. Yahya Muhammad Hamid ed-Din (Juga dikenali sebagai Imam Yahya) menjadi Raja Negara Yaman Utara yang pertama. Manakala, dibahagian selatan Yaman khususnya Pelabuhan Aden telah dikuasai oleh British. British telah menjadikan wilayah di sekitar Pelabuhan Aden sebagai Negeri-negeri Naungan British. Namun akibat daripada perjuangan National Liberation Front yang berhaluan komunis serta pemberontakan daripada penduduk tempatan yang dibantu oleh Kerajaan Mesir, maka pada tahun 1967 British telah berundur dari wilayah yang dikuasainya di sekitar Pelabuhan Aden dan sejak itu terbentuklah negara Yaman Selatan yang juga dikenali sebagai Republik Rakyat Demokratik Yaman.

Yaman Utara sebenarnya pernah dikuasai oleh Imam Yahya yang bermazhab Syiah. Namun telah digulingkan melalui rampasan kuasa oleh tentera pada tahun 1962. Selepas itu Yaman Utara dikenali sebagai Republik Arab Yaman dan Abdullah as-Sallal dilantik menjadi Presiden yang pertama. Ali Abdullah Saleh pula telah mengambil alih jawatan Presiden Yaman Utara tahun 1978. Apabila Yaman Utara bergabung dengan Yaman Selatan membentuk Negara Republik Yaman pada tahun 1990, Ali Abdullah Saleh telah dilantik menjadi Presiden Republik Yaman yang pertama. Manakala, bekas Presiden Yaman Selatan dari Parti Sosialis Yaman iaitu Ali Salim Beidh dilantik sebagai Wakil Presiden. Hanya selepas 4 tahun terbentuknya Republik Yaman, pada tahun 1994 perang saudara yang dikenali sebagai “Perang Musim Panas 94” telah tercetus diantara kerajaan Republik Yaman pimpinan Ali Abdullah Saleh dengan anggota Parti Sosialis Yaman di wilayah Selatan Yaman. Parti Sosialis Yaman menuntut untuk membentuk kembali Negara Yaman Selatan, namun usaha mereka berjaya dikalahkan oleh Presiden Ali Abdullah Salleh dengan bantuan Kerajaan Arab Saudi dan Parti Islah/Ikhwanul Muslimin.


Tidak lama selepas itu Yaman kembali bergolak semula pada tahun 2009 apabila wujud pemberontakan di wilayah utara iaitu di bahagian Sa’adah. Sa’adah merupakan kawasan yang bersempadan dengan Negara Arab Saudi. Pemberontakan di Sa’adah diketuai oleh kumpulan Houthi yang bermazhab Syiah Zaydi. Kumpulan Houthi ingin mengembalikan semula kepimpinan Imamah Syiah yang telah digulingkan dalam rampasan kuasa oleh tentera pada tahun 1962. Sekali lagi Presiden Ali Abdullah Salleh telah mendapat bantuan daripada Kerajaan Arab Saudi bagi mematahkan pemberontakan oleh kumpulan Houthi. Ini kerana Kerajaan Arab Saudi sering menghadapi masalah yang ditimbulkan oleh kumpulan Houthi di kawasan sempadannya dengan Negara Yaman.

Selain daripada sering menghadapi masalah perang saudara di bahagian selatan oleh ‘gerakan selatan’ dan kumpulan Houthi di bahagia Utara, kerajaan Yaman pimpinan Presiden Ali Abdullah Salleh juga berhadapan dengan masalah dengan kumpulan mujahidin Afghanistan yang berperang menentang Soviet Union. Selain daripada menjadikan Yaman sebagai kem latihan ketika berperang menentang Soviet, ramai juga kumpulan mujahidin yang menjadikan Yaman sebagai tempat tinggal mereka setelah perang menentang Soviet tamat. Ini menjadikan Yaman turut menjadi tempat buruan oleh Amerika Syarikat bagi menangkap anggota Al-Qaedah. Dalam hal ini, Presiden Ali Abdullah Salleh sering memberikan bantuan kepada Amerika Syarikat kerana mengharapkan bantuan kewangan daripada Amerika. Amerika Syarikat sudah beberapa kali melancarkan peluru berpandu ke atas Yaman dengan alasan untuk memusnahkan kawasan perlindungan rangkaian Al-Qaedah.

Ini menunjukkan bahawa sebenarnya Yaman merupakan antara negara umat Islam yang tidak pernah sunyi daripada pergolakan. Yaman merupakan negara yang tidak stabil dan terlalu mudah untuk berlaku sebarang pergolakan. Pemerintah Yaman yang ada tidak mampu untuk mengawal dan mewujudkan kestabilan di bumi Yaman. Ketidakstabilan di mana-mana negara Timur Tengah merupakan perkara yang sangat penting kepada kuasa-kuasa barat khususnya Amerika bagi mengekalkan dan meluaskan pengaruhnya di Timur Tengah.

Bagi Amerika Syarikat, Teluk Aden yang berada di selatan Yaman merupakan kawasan strategik yang sangat penting bagi Amerika untuk mengawal laluan kapal dari Terusan Suez ke Laut Merah. Laluan kapal tersebut merupakan antara laluan yang terpenting di dunia apabila lebih daripada 30% minyak mentah dan lebih daripada 10% perdagangan di dunia melalui laluan tersebut. Oleh itu, merupakan satu perkara yang biasa jika Amerika sengaja menimpulkan ketidakstabilan di bumi Yaman bagi tujuan menguasai laluan tersebut. Namun demikian, British walaupun tidak setanding dengan kekuatan yang dimiliki oleh Amerika, namun British masih tetap mempunyai pengaruh di Negara-negara Teluk dan beberapa buah negara Arab yang lain termasuklah Yaman. Kebanyakkan Pemerintah Negara-negara Teluk ketika sebenarnya masih setia kepada British, cuma mereka turut menggunakan pendekatan yang sama dilakukan oleh ‘tuan’ mereka iaitu British dalam berhadapan dengan Amerika.

British walaupun berusaha untuk menjatuhkan Amerika sebagai kuasa nombor satu, namun British tidak akan menentang Amerika secara berhadapan malahan akan sentiasa mengekori dan menyokong Amerika daripada belakang. Inilah pendekatan yang digunakan oleh British sejak Amerika muncul sebagai negara Super Power selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Amerika juga sedar akan perkara ini dan Amerika turut mempunyai cita-cita untuk menghapuskan pengaruh British di keseluruhan rantau Timur Tengah. Oleh itu Amerika perlu meningkatkan lagi ‘Ancaman’ dan ‘Ketidakstabilan’ dengan cara membiarkan Iran memberikan sokongan kepada Kumpulan Houthi di Utara Yaman. Ancaman dan Ketidakstabilan yang dilakukan oleh kumpulan Houthi di bumi Yaman akan dapat membantu Amerika Syarikat melakukan percaturan politik bagi menguasai Teluk Aden dan mencabut pengaruh British Negara-negara Teluk.

Kesimpulannya krisis yang sedang berlaku di Yaman ketika ini merupakan asam-garam yang terpaksa dilalui oleh rakyat Yaman. Ini kerana, dengan keadaan politik antarabagsa ketika ini yang dikuasai oleh kuasa-kuasa barat khususnya Amerika, Yaman tidak akan dapat melepaskan diri daripada menjadi mangsa percaturan oleh persaingan kuasa-kuasa barat untuk menguasai minyak dan laluan penting di Rantau Timur Tengah. Oleh itu, jika wujud keamanan atau kestabilan di Yaman dalam masa terdekat ini, ianya hanya bersifat sementara sahaja. Peperangan dan ketidakstabilan akan muncul semula apabila kuasa-kuasa barat perlu melakukan percaturan yang lain.

Anda Mungkin Juga Meminati :

1 comment:

  1. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    An Thái Sơn chia sẻ trẻ sơ sinh nằm nôi điện có tốt không hay võng điện có tốt không và giải đáp cục điện đưa võng giá bao nhiêu cũng như địa chỉ bán máy đưa võng ở đâu uy tín.

    ReplyDelete