Berdasarkan sistem pilihanraya-demokrasi yang diamalkan dalam pemerintahan Malaysia, tiada satu pun parti politik yang ada ketika ini mampu untuk menerajui pemerintahan negara tanpa perlu bersekutu atau bekerjasama dengan parti politik yang lain. Ini kerana bilangan parti politik di Malaysia adalah terlalu banyak dan hampir kesemuanya ditubuhkan berteraskan kepada perjuangan menjaga kepentingan kaum masing-masing. Walaupun terdapat usaha daripada parti politik tertentu yang cuba untuk membentuk imej sebagai parti politik pelbagai kaum, namun hakikatnya tidak mudah menghilangkan sikap kecurigaan antara kaum yang telah ditanamkan dalam diri rakyat Malaysia sejak sekian lama.
Sikap kecurigaan ini bukannya wujud secara spontan atau semulajadi, tetapi telah ditanamkan secara sistematik melalui sistem pendidikan, penempatan, pekerjaan dan lain-lain sejak British menjajah Tanah Melayu lagi. Dan hakikat ini masih berterusan sehingga kini. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan mahupun pihak NGO tertentu untuk merobohkan tembok perkauman di Malaysia, namun ianya sehingga kini masih belum berjaya. Bahkan secara umumnya, dapat dirasakan bahawa racial tension di Malaysia semakin meningkat ekoran daripada mainan politik daripada pemimpin – pemimpin politik itu sendiri.
Maka sebab itu, sekuat manapun parti politik yang ada di Malaysia, ianya tidak akan dapat menerajui pemerintahan negara jika tidak membentuk kerjasama politik dengan parti-parti politik yang lain. Oleh itu membentuk kerjasama politik yang merangkumi pelbagai kaum sudah seolah-olah menjadi syarat ‘wajib’ kepada semua parti politik di Malaysia jika ingin menerajui pemerintahan negara. Tanpa melakukan kerjasama politik dengan parti daripada kaum-kaum lain, bermakna secara teknikalnya tiada cita-cita atau impian untuk menerajui pemerintahan negara.
Hakikat ini tentunya difahami dengan jelas oleh kesemua kompenen parti Barisan Nasional dan juga parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Oleh yang demikian, berdasarkan situasi politik semasa di Malaysia ketika ini, dimana kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat yang kedua-duanya sedang sama-sama mengalami krisis dalaman yang sangat serious, kedua-duanya jelas sekali sedang berlumpa-lumpa untuk memulihkan dan memperkukuhkan kerjasama politik mereka. Pihak mana yang lebih cepat dan berjaya melakukan percaturan membentuk kerjasama politik yang kuat bersama dengan parti-parti lain, maka potensi untuk menerajui pentadbiran Putrajaya selepas PRU14 adalah sangat cerah.
Perlumbaan dan percaturan membentuk kerjasama politik dalam konteks Malaysia secara tidak langsung turut mengheret gerakan-gerakan Islam mahupun individu-individu muslim yang menjadikan demokrasi-pilihanraya sebagai tareqah untuk meraih kekuasaan. Dalam hal membentuk kerjasama politik dalam realiti Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan idealisme tentunya memerlukan ‘tawar-menawar’ dan kompromi prinsip perjuangan yang dapat dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat. Bukan itu sahaja, aspirasi masyarakat Malaysia secara keseluruhannya juga perlu dipenuhi agar sokongan secara majoriti dapat diperolehi.
Maka sebab itu, bertegas dengan prinsip perjuangan Islam dalam manhaj demokrasi-pilihanraya merupakan sikap yang dianggap sebagai tidak progresif dan tidak memahami waqi’. Pada masa yang sama pula, ketegasan dengan prinsip perjuangan Islam yang tidak konsisten atau bermusim turut mengundang persepsi yang negatif terhadap perjuangan gerakan Islam. Semua ini kerana design tareqah/manhaj perjuangan dalam demokrasi-pilihanraya. Design pilihanraya-demokrasi hakikatnya menuntut keinginan majoriti manusia itu dipenuhi, apa yang terbaik adalah berdasarkan kepada kehendak manusia secara majoriti. Segala apa yang dilarang dan diperintahkan oleh Allah SWT kedudukannya dalam pilihanraya-demokrasi adalah lebih rendah berbanding dengan kehendak majoriti manusia.
Maka tidak menghairankan, design pilihanraya-demokrasi akhirnya telah berjaya memerangkap banyak gerakan-gerakan Islam yang ada di seluruh dunia. Bukan sahaja tidak memperolehi kejayaan yang diharapkan, malahan pengaruh dan kredibilitinya sebagai gerakan Islam menjadi semakin lemah. Apa yang telah berlaku ke atas Freedom and Justice Party pimpinan Dr. Morsi di Mesir dan apa yang sedang menimpa Justice and Development Party pimpinan Recep Tayyip Erdogan ketika ini seharusnya dapat membuka mata akan kepalsuan kemenangan untuk Islam yang ditawarkan oleh pilihanraya-demokrasi.
Anda Mungkin Juga Meminati :
No comments:
Post a Comment