Sangat penting bagi pihak pembangkang khususnya DAP, PKR dan GHB mengambil peluang daripada krisis yang sedang melanda pentadbiran Dato’ Sri Najib untuk mengadakan event besar seperti Himpunan Bersih 4.0. Event sebegini bukan sahaja akan dapat menambahkan sokongan rakyat kepada mereka, tetapi juga akan dapat mengukuhkan lagi kerjasama politik yang sedia terjalin sesama mereka. Selain itu, ianya tentu juga akan dapat mengalihkan tumpuan mereka daripada krisis dalaman yang sedang melanda Pakatan Rakyat kepada isu yang membolehkan mereka untuk saling bekerjasama dan berganding bahu. Dengan kata lain, event seperti Bersih 4.0 sedikit sebanyak akan dapat mengelakkan parti-parti pembangkang daripada disibukkan dengan konflik dalaman yang boleh melemahkan lagi kerjasama politik mereka.
Dalam suasana politik dan ekonomi Malaysia ketika ini, serta isu-isu panas yang melibatkan Dato’ Sri Najib sendiri, hakikatnya adalah benar seperti apa yang telah diperkatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ‘Kalau esok pilihanraya, BN akan kalah’. Ini kerana kegagalan pentadbiran Dato Sri Najib menguruskan dengan baik banyak isu penting yang wujud di dalam negara seperti isu 1MDB, kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit serta isu-isu yang melibatkan diri beliau sendiri seperti kes Altantuya, kehidupan mewah Datin Sri Rosmah dan juga wang derma bernilai RM2.6 billion yang dimasukkan dalam akaun peribadi beliau semakin menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional. Situasi ini tentunya akan memberikan kelebihan serta peluang yang lebih cerah kepada parti-parti Pembangkang untuk memenangi pilihanraya pada PRU14 akan datang.
Oleh itu, tentunya parti-parti pembangkang inginkan agar kemarahan dan kebencian rakyat Malaysia terhadap Barisan Nasional berterusan sehingga ke PRU14 akan datang. Maka, bagi parti-parti pembangkang, jika Dato’ Sri Najib berundur sekarang sudah pasti ianya akan dapat mengurangkan kelebihan mereka untuk menggalahkan BN pada PRU14. Apatah lagi jika pemimpin yang dinaikkan bagi menggantikan Dato’ Sri Najib adalah seorang pemimpin yang dapat bertindak tegas terhadap ‘kesalahan’ yang telah dilakukan oleh pentadbiran Dato’ Sri Najib. Ini kerana, tindakan sedemikian akan dapat meredakan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional dan seterusnya akan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional.
Maka dengan itu, usul undi tidak percaya yang disuarakan bagi menurunkan Dato’ Sri Najib sebenarnya adalah satu strategi politik yang boleh dilihat daripada dua perspektif yang berbeza. Pertama, bagi Barisan Nasional khususnya UMNO, sama ada usul undi tidak percaya akan dapat menurunkan Najib atau tidak, kedua-duanya sebenarnya akan merugikan UMNO. Ini kerana usul undi tidak percaya terhadap Dato’ Sri Najib akan menambah parahkan lagi perpecahan dalam UMNO. Bukan mudah untuk mencapai satu kesepakatan ahli-ahli Parlimen UMNO yang mewakili 88 kerusi daripada 133 kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Barisan Nasional pada PRU13 yang lepas. Realiti sekarang jelas menunjukkan masih ramai ahli-ahli Parlimen UMNO yang begitu kuat mempertahankan Dato’ Sri Najib. Ditambah pula tiada jaminan yang jelas daripada pihak pembangkang bahawa mereka akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Dato’ Sri Najib.
Manakala, dari perspektif pembangkang pula asasnya ialah perpecahan yang berlaku dalam Barisan Nasional serta kekalnya Dato’ Sri Najib sebagai Perdana Menteri sehingga ke PRU14 adalah satu kelebihan kepada mereka. Oleh itu, dari segi strategi politik pihak pembangkang tentunya lebih mengharapkan agar Dato’ Sri Najib akan terus kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia sehingga PRU14. Ini kerana, tanpa perlu menyokong undi tidak percaya tetapi hanya membiarkan orang-orang penting dalam UMNO terus menerus mendesak agar Dato’ Sri Najib berundur sudah cukup untuk menyebabkan UMNO semakin berpecah.
Sebenarnya bagi pihak UMNO cara yang paling ideal untuk menyelesaikan masalah mereka ialah dengan cara Dato’ Sri Najib meletakkan jawatan secara ‘paksa-rela’ tanpa perlu melakukan undi tidak percaya di parlimen. Cara ini bukan sahaja dapat menggelakkan perpecahan menjadi semakin bertambah parah dalam UMNO tetapi juga akan memudahkan penganti Dato’ Sri Najib merangka strategi bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional. Inilah sebenarnya yang sedang dilakukan oleh Tun Mahathir dan pemimpin-pemimpin UMNO sependapat dengan beliau. Cadangan undi tidak percaya yang turut disuarakan oleh Tun Mahathir hanyalah merupakan antara cara yang dilakukan oleh beliau untuk terus memberikan tekanan kepada Dato’ Sri Najib agar meletakkan jawatan secara ‘paksa-rela’.
Anda Mungkin Juga Meminati :