Wednesday 8 April 2020

Daya Tahan Ekonomi Malaysia: Faktor Luaran


Daya Tahan Ekonomi Malaysia: Faktor Luaran

Impak COVID-19 merupakan satu ujian yang sangat signifikan bagi menguji daya tahan ekonomi seluruh negara di dunia ketika ini termasuklah Malaysia. Petunjuk awal yang boleh digunakan untuk mendiagnos daya tahan tersebut ialah dengan melihat pada kesannya terhadap KDNK negara. Baru-baru ini Bank Dunia menjangkakan KDNK Malaysia pada tahun 2020 akan mengucup pada kadar – 0.1% berbanding sasaran pertumbuhan 4.5 peratus sebelum ini, pengucupan 1%  membawa maksud saiz ekonomi Malaysia akan mengecil pada kadar 0.1% kesan daripada COVID-19.

Pada peringkat awal, pengucupan ini tentu sahaja didorong oleh faktor luaran khususnya langkah lockdown yang diambil oleh kerajaan China dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negara mereka. Langkah tersebut secara langsung menjejaskan industri penting seperti pelancongan dan perhotelan, pembuatan serta pengangkutan. Industri-industri tersebut merupakan antara penyumbang yang besar terhadap KDNK negara. Tahun 2020 telah disasarkan sebagai  Tahun Melawat Malaysia (TM 2020) agar dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, khususnya bagi industri pelancongan. China bukan sahaja merupakan antara rakan dagang terbesar bagi Malaysia tetapi juga rakyat China merupakan sasaran utama (jangkaan 4 juta) untuk menjayakan sasaran penjanaan pendapatan sebanyak RM100 bilion daripada Tahun Melawat Malaysia 2020.          

Kelembapan ekonomi global yang sememangnya telah terjadi sebelum wabak COVID-19 tercetus akibat daripada perang dagang antara US dan China juga sedikit sebanyak telah memberi kesan pada pertumbuhan ekonomi negara. Pertumbuhan ekonomi merupakan petunjuk yang sangat penting bagi menarik masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara. Sebagai sebuah negara yang yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, Malaysia sangat bergantung pada FDI untuk memacu pertumbuhan ekonomi. Keyakinan para pelabur untuk membawa FDI ke negara ini dapat ditingkatkan dengan petunjuk prospek pertumbuhan ekonomi yang positif.

Ini menunjukkan bahawa KDNK Malaysia sangat bergantung dan dipengaruhi oleh faktor luaran. Sebaik mana strategi ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi, ianya tidak akan mampu bertahan daripada kesan-kesan luaran yang mendorong kepada pengucupan pertumbuhan. Kesimpulannya wabak COVID-19 menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia tidak mempunyai daya tahan yang kuat terhadap faktor-faktor luaran.



No comments:

Post a Comment