Dalam sistem ekonomi Islam, putaran kekayaan merupakan elemen yang
sangat penting untuk mengerakkan ekonomi secara produktif. Menimbunkan harta (Kanzul Mal) merupakan perkara yang
diharamkan. Menimbunkan harta bermaksud mengumpul kekayaan tanpa ada tujuan
yang khusus melainkan hanya untuk mengumpulkan kekayaan. Dari segi ekonomi, Kanzul Mal membawa maksud menarik
kekayaan (wang) dari dalam pasaran, yang menyebabkan aktiviti ekonomi terganggu
atau menjadi perlahan. Kanzul Mal
berbeza dengan menabung, menabung bererti menyimpan harta atau duit untuk
tujuan dibelanjakan pada tujuan yang tertentu seperti ingin membina rumah,
menikah, membiayai pengajian anak-anak dan seumpamanya, hukumnya adalah mubah.
Hasil tabungan akhirnya akan dibelanjakan semula dalam ekonomi. Pada masa yang
sama Islam membenarkan untuk membuat simpanan atau tabungan bagi menjamin
keperluan kehidupan (Nafkah) selama setahun. Negara sudah tentu perlu
mengariskan jumlah harta yang wajar untuk disimpan oleh setiap individu yang
tentu sahaja berbeza-beza tanggungjawab dan keperluannya.
Islam menggariskan, bagi mereka yang dikurniakan oleh Allah SWT
dengan harta yang melebihi daripada keperluan untuk memenuhi nafkah dirinya dan
orang-orang lain yang berada dibawah tanggungjawabnya maka dia boleh melakukan
dua perkara. Pertama, membuat pelaburan dalam perniagaan atau yang kedua
membuat amal jariah dengan bersedekah. Kedua-dua cara ini akan memastikan
kekayaan akan sentiasa berputar dalam kitaran ekonomi. Negara berhak untuk
merampas harta mereka yang melebihi daripada jumlah yang wajar untuk disimpan
bagi memenuhi nafkah selama setahun. Peraturan ini secara langgsung akan
memastikan harta akan sentiasa diputarkan dalam ekonomi samada dengan cara
dilaburkan atau disedekahkan.
Harta yang dilaburkan berdasarkan akad muamalah yang telah
ditetapkan oleh Islam kedalam sektor-sektor perniagaan yang halal dan baik
seperti perindustrian, perdagangan, pertanian, perkhidmatan dan sebagainya akan
menghasilkan rantaian ekonomi yang produktif. Ini kerana kekayaan sentiasa
berputar secara produktif dalam rantaian ekonomi. Akad muamalah yang ditetapkan
oleh Islam mengariskan peranan dan tanggungjawab setiap individu yang terlibat
dalam muamalah yang dijalankan sehingga masing-masing (pemberi modal dan
pengusaha) berperanan secara aktif dalam perniagaan yang dijalankan. Kaedah ini
mendorong umat Islam untuk sentiasa bersifat produktif dalam mengembangkan
kekayaan yang secara langsung akan merancakkan putaran ekonomi, menggalakkan
inovasi perniagaan, menggalakkan penghasilan produk-produk baru dan tentu
sahaja akan membuka banyak peluang pekerjaan. Kaedah ekonomi ini berbeza sama
sekali dengan pengurusan ekonomi (politik ekonomi) dalam sistem kapitalis yang
diamalkan di negara kita ketika ini. Dorongan untuk memulakan perniagaan dan
mengembangkan perniagaan adalah dengan industri hutang berasaskan riba. Pada
masa yang sama, tiada peraturan untuk menghalang agar kekayaan dikeluarkan dari
putaran ekonomi, sehingga mana-mana individu bebas untuk memperlahankan putaran
ekonomi dengan tabiat menimbunkan harta (Kanzul
Mal). Satu tabiat yang dari segi ekonominya akan merosakkan putaran ekonomi
dan satu tabiat yang tidak produktif. Manakala dari segi roh keislaman, tabiat
sedemikian menghasilkan manusia-manusia yang tamak dengan kekayaan dunia, leka
dengan kekayaan yang dikumpulkan, yang pada hakikatnya harta-harta tersebut
akan ditinggalkan apabila maut datang menjemput.
Bagi yang tidak berminat melaburkan lebihan kekayaan yang dimiliki
atau selepas membuat pelaburan masih terdapat lebihan, maka bersedekah atau
menginfakkan harta tersebut merupakan pilihan yang sangat baik. Satu amalan
yang sangat dianjurkan oleh ajaran Islam dan dijanjikan dengan ganjaran pahala
yang sangat banyak. Bersedekah terhadap golongan fakir miskin, anak-anak yatim,
pemuda-pemudi yang ingin bernikah tapi tidak mempunyai kemampuan, dan banyak
lagi pintu-pintu kebaikan termasuklah berwakaf. Ianya bukan sahaja dapat
melapangkan kesusahan mereka yang memerlukan malah secara tidak langsung
harta-harta tersebut dapat dipusingkan secara produktif dalam ekonomi.
Masyaallah, begitulah keunggulan politik ekonomi dalam sistem pemerintahan
Islam, menghasilkan kesejahteraan yang hakiki di dunia dan yang paling penting
ianya menyiapkan umatnya untuk mengumpul amal kebaikan untuk dibawa ke alam
akhirat.
Jika dikaitkan dengan usaha-usaha pemulihan ekonomi yang sedang
dilakukan oleh pihak kerajaan kesan daripada impak COVID-19, dapat dirumuskan
bahawa ianya tidak menjurus kepada usaha memastikan kekayaan dapat diputarkan
dalam ekonomi seperti mana pengurusan ekonomi Islam (politik ekonomi Islam).
Tetapi ianya lebih kepada usaha untuk survive
agar ekonomi dapat kembali pulih dan dapat dikembangkan semula berdasarkan
pengurusan ekonomi kapitalis.
No comments:
Post a Comment