Thursday, 12 December 2013

Siri 2 : Polemik Hudud Dalam Demokrasi


2. Hudud tidak dapat dijalankan di Malaysia kerana rakyat Malaysia tidak mengetahui tentang hudud.

Pihak yang perlu mengetahui dengan terperinci tentang segala perkara-perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang hudud ialah para pemerintah dan hakim serta para ulama/ilmuan Islam. Rakyat biasa cukup sekadar mengetahui  bahawa murtad, zina , mencuri, minum arak itu adalah haram. Apa yang dimaksudkan dengan mengetahui bukannya seseorang itu perlu tahu perkara-perkara yang berkaitan rukun dan syarat potong tangan atau sebat, tetapi cukup sekadar tahu keharaman perbuatan tersebut.

Dalam hal ini, sekali lagi kita lihat sikap hipokrasi dan penolakan secara ‘halus dan ilmiah’ oleh golongan yang mempertahankan pemerintah yang tidak menerapkan hudud dengan alasan ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui tentang hudud. Apakah mereka tidak menyedari bahawa kebanyakkan rakyat Malaysia sendiri tidak mengetahui dengan terperinci tentang undang-undang berdasarkan Comman Law yang sedang dilaksanakan dalam kehidupan kita? Namun undang-undang berdasarkan Comman Law tersebut tetap juga dilaksanakan. Bahkan hakikatnya tokoh agama yang membawa hujah sedemikan, juga akan memerlukan khidmat peguam jika mereka terbabit dengan sebarang kes sama ada kes sivil ataupun jenayah, ini sesuatu yang normal dalam mana-mana tamadun manusia.
  
Dalam sejarah Islam sendiri jelas menunjukkan undang-undang Islam akan terus diterapkan di wilayah-wilayah yang baru dibuka sama ada melalui jihad atau pun tanpa melalui jihad. Tidak timbul soal rakyat dalam wilayah yang baru dibuka perlu mengetahui terlebih dahulu tentang hudud sebelum boleh diterapkan undang-undang hudud. Dapat diperhatikan bahawa tokoh-tokoh agama yang membawa hujah seperti di atas, berhujah dengan cara asal dapat membela pemerintah yang tidak menerapkan hudud tanpa memahami apa yang mereka sendiri perkatakan. Ini kerana mereka berhujah dalam kerangka ingin mempertahankan kemungkaran yang sedang dilakukan oleh pemerintah bukannya dalam kerangka bagaimana pemerintah harus untuk melaksanakan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Maka sebab itulah keluar bermacam-macam hujah yang tidak konsisten dan tidak kena pada tempatnya. Sedangkan, Islam datang untuk membimbing atau memandu bagaimana untuk kita bertindak atau bertingkah laku. Dengan kata lain, sebelum melakukan sesuatu perkara perlu difahami terlebih dahulu hukum-hakamnya di dalam Islam dan bukannya menggunakan Islam untuk menjustifikasikan segala tindakan yang telah atau sedang dilakukan.

Bagi pihak yang tengelam timbul - tengelam timbul dalam memperjuangkan hudud, harus memuhasabah diri tentang bagaimana hudud dapat dilaksanakan secara sempurna seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ini kerana, hudud adalah salah satu daripada undang-undang di dalam Islam, undang-undang lain seperti takzir dan qisas juga wajib diperjuangkan sama seperti hudud. Apa yang perlu difikirkan ialah jika diandaikan seperti sebuah tiang, sistem perundangan Islam (hudud, qisas, takzir) adalah salah satu tiang-tiang yang mesti ditegakkan bersama-sama dengan tiang-tiang yang lain seperti sistem ekonomi, sistem pendidikan, sistem pergaulan dan lain-lain lagi.

Uniknya sistem-sistem tersebut, ianya tiada yang lebih tinggi atau lebih rendah berbanding dengan yang lain tetapi ianya saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain. Mengabaikan salah satu daripadanya akan mencacatkan atau merosakkan keseluruhan sistem Islam. Maka, sistem Islam itu harus ditegakkan secara keseluruhan tanpa memilih-milihnya mengikut kehendak hawa nafsu dengan alasan sistem Islam harus ditegakkan secara bertahap-tahap (taddaruj) Baca : Tadarruj: Dalih untuk menuruti hawa nafsu


Akhir sekali, tiang-tiang tersebut hanya dapat ditegakkan pada tapak yang telah ditetapkan oleh Allah iaitu Negara Islam. Tanpa Negara Islam, hudud dan sistem-sistem Islam yang lain tidak akan dapat ditegakkan secara sempurna. Oleh itu, laksanakanlah kewajipan menegakkan segala sistem yang telah diperintahkan oleh Allah SWT dengan menegakkan semula Negara Islam yang telah diruntuhkan pada 3 Mac 1924.


No comments:

Post a Comment