Thursday, 5 December 2013

Siri 1 : Polemik Hudud Dalam Demokrasi


Melaksanakan hudud dalam perundangan bernegara umat Islam merupakan kewajipan yang telah dijelaskan dengan nas yang qath’ie (muktamad). Kewajipan melaksanakannya adalah sama seperti kewajipan solat, puasa, membayar zakat dan lain-lain lagi. Tidak melaksanakan hudud hukumnya adalah berdosa sama seperti berdosannya meninggalkan kewajipan mendirikan solat, puasa dan membayar zakat.

Namun, perlu difahami bahawa hudud adalah undang-undang yang mesti dilaksanakan dalam bentuk bernegara bukannya secara berkelompok atau per individu. Negaralah yang berkewajipan untuk menerapkannya sebagai sebuah undang-undang negara. Umat Islam pada hari ini harus menyedari bahawa pelaksanaan hukuman hudud secara sempurna seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT tidak  mungkin akan dapat dilaksanakan dalam sebuah pemerintahan yang bukan Islam, hanya dengan sebuah sistem pemerintahan Islam hudud dapat dilaksanakan secara sempurna seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Oleh itu, adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila pada hari in tokoh-tokoh agama termasuk yang berada di Malaysia memberi bermacam-macam justifikasi ‘ilmiah’ mengapa hudud tidak dapat dilaksanakan, kerana asas mereka berfikir atau berhujah adalah bagaimana untuk melaksanakan hudud dalam konteks pemerintahan demokrasi. Sesiapa pun yang mengkaji struktur pemerintahan dan perundangan di Malaysia, sudah pasti akan dapat memahami dengan jelas bahawa, dengan struktur pemerintahan dan perundangan yang sedia ada di Malaysia adalah sesuatu yang mustahil untuk hudud diterapkan secara sempurna sebagai undang-undang negara seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT, sama seperti mereka melihat adalah mustahil untuk menanam buah epal di Dataran Kelantan. Namun, pada masa yang sama, tokoh-tokoh agama tersebut juga mengetahui bahawa melaksanakan hudud adalah merupakan kewajipan yang  sangat jelas di dalam Islam.

Oleh itu, lahirlah bermacam-macam justifikasi ‘licik’ untuk mengkompromikan pelaksanaan hudud yang telah diwajipkan oleh Allah dengan sebuah pemerintahan demokrasi yang tidak memungkinkan terlaksananya penerapan hukuman hudud secara sempurna. Antaranya :

1.     Hudud tidak boleh dibuat kerana keadaan tidak kondusif.

Mereka berhujah bahawa, suasana atau keadaan yang kondusif perlu dipersiapkan sebelum hudud dapat dilaksanakan. Hujahnya adalah berdasarkan ketika tindakan Khalifah Umar Al-Khattab yang tidak menghudud pencuri ketika berlaku musim kemarau. 

Ada banyak persoalan yang perlu dibahaskan daripada hujah tersebut, antaranya ialah apakah ukuran yang mereka gunakan untuk mengukur keadaan atau suasana yang kondusif? Kedua, sebenarnya undang-undanglah yang mengubah suasana, sama ada menjadi suasana yang baik atau tidak bergantung kepada keberkesanan undang-undang yang diterapkan. Misalnya jika undang-undang di Malaysia memberi pengiktirafan kepada golongan LGBT seperti yang dituntut oleh COMANGO, maka, semakin berleluasalah aktiviti-aktiviti golongan tersebut di Malaysia. Untuk mencegah dan menghapuskan terus golongan tersebut perlu ada undang-undang yang berkesan. Oleh itu, sebenarnya hujah yang menyatakan perlu ada suasana yang kondusif sebelum diterapkan hudud adalah hujah yang berdasarkan khayalan semata, yang tidak ada asas langsung.

Berbalik kepada peristiwa zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Perlu difahami dengan jelas bahawa, pertama, pencuri tidak dihudud dalam peristiwa tersebut bermaksud pencuri tersebut  tidak dihukum dengan apa-apa hukum yang lain. Bukannya oleh kerana keadaan tidak kondusif maka pencuri tidak dihudud dan Khalifah Umar menghukum pencuri tersebut dengan hukuman lain. Pencuri tersebut tidak dihudud bermakna dia tidak dikenakan dengan apa-apa hukuman.

Berbeza dengan realiti pada hari ini, hudud tidak boleh dilaksanakan dengan alasan keadaan tidak kondusif tetapi pencuri dikenakan dengan hukuman yang lain,  iaitu hukuman berdasarkan Common Law. Sepatutnya, jika tokoh agama tersebut benar-benar ingin menggunakan alasan seperti peristiwa zaman Khalifah Umar, maka tokoh agama tersebut perlu menjelaskan kepada pemerintah pada hari ini, jangan dihukum para pencuri kerana keadaan keadaan dan suasana sekarang tidak kondusif.


Kedua, bagaimana dengan kesalahan-kesalahan hudud yang lain seperti zina, minum arak, murtad dan yang lain-lain, apa ukuran kondusif nya ? bersambung……..

No comments:

Post a Comment