Tuesday, 30 September 2014

EIDUL ADHA WAJIB IKUT MAKKAH AL-MUKARRAMAH

Disunting Daripada :www.mykhilafah.com


Kerajaan Malaysia telah menetapkan Hari Raya Korban (Eidul Adha) pada tahun ini jatuh pada hari Ahad 5hb Oktober 2014. Manakala  kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan bahawa wukuf atau Hari Arafah (9 Zulhijjah) adalah pada hari Jumaat bersamaan 3hb Oktober 2014, maka hari korban (yaum al-nahr) atau Hari Raya Korban di Makkah adalah pada hari Sabtu 10 Zulhijjah, bersamaan 4hb Oktober 2014.


Perbezaan ini akan mengundang beberapa persoalan kerana ia melibatkan beberapa masalah hukum lain yang terkait dengan ibadah haji. Misalnya, umat Islam disunatkan berpuasa pada Hari Arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat (3hb Oktober) Jadi, bilakah sepatutnya umat Islam di Malaysia boleh berpuasa sunat Arafah? Adakah pada hari Jumaat (3hb Oktober) yakni hari ketika jemaah haji sedang wukuf di Arafah, atau pada hari Sabtu (4hb Oktober) sesuai dengan ketetapan pemerintah Malaysia? Sedangkan jika berpuasa pada hari Sabtu (4hb Oktober), masalahnya adalah hari itu bukan lagi hari Arafah, kerana jemaah haji di Makkah pada hari itu  sudah memasuki yaum nahr atau dengan kata lain mereka sedang menyambut Hari Raya Korban. Jadi, sesiapa yang berpuasa pada hari Sabtu bermakna dia berpuasa pada Hari Raya Korban, yakni hari yang diharamkan untuk berpuasa.

Oleh itu, apabila kerajaan Malaysia mengistiharkan Hari Raya Korban jatuh pada hari Ahad (5hb Okt), sedangkan umat Islam ditanah suci Makkah merayakannya pada hari Sabtu (4hb Okt) iaitu sehari selepas wukuf di Arafah (Jumaat, 3hb Okt), maka sebenarnya umat Islam di Malaysia sedang merayakan Hari Raya Korban apa?. Ini kerana hari raya korban sepatutnya dirayakan sehari selepas Jemaah haji wukuf di Arafah. jemaah hari wukuf di Arafah pada hari jumaat (3hb Okt), hari dimana umat Islam disunnatkan berpuasa. Manakalah hari sabtu adalah hari Raya Korban, hari dimana umat Islam diharamkan berpuasa. Jadi, jika Kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa hari Raya Korban jatuh pada hari Ahad, maka umat Islam di Malaysia akan berpuasa sunat pada hari yang diharamkan untuk berpuasa. Macam mana tu ???

Memang terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan 1 Ramadhan dan 1 Syawal dikalangan para ulama. Namun tidak ada perbezaan pendapat dikalangan ulama (Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali) dalam menentukan awal Zulhijjah, ianya WAJIB berdasarkan rukyah penduduk Makkah. Umat Islam seluruh dunia wajib mengikuti rukyah penduduk Makkah, tidak boleh melakukan rukyah sendiri.

Oleh sebab itu, kaum Muslimin dalam sejarahnya senantiasa menyambut Hari Raya Korban pada hari yang sama. Fakta ini dapat dilihat sejak masa Rasulullah SAW lagi dan dilanjutkan pada masa Khulafa’ al-Rasyidin seterusnya Khilafah Bani Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah.   Sesungguhnya kewajipan kaum Muslimin untuk menyambut Hari Raya Korban ini secara bersama-sama (serentak) telah ditunjukkan oleh banyak nas syarak. Antaranya ialah:

(1) Hadis A’isyah RA, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda,

“Eidul Fitri adalah hari orang-orang (kaum Muslimin) berbuka (selesai Ramadhan) dan Eidul Adha adalah hari orang-orang (kaum Muslimin) menyembelih korban” [HR al-Tirmizi – lihat Imam Syaukani, Nailul Authar, Beirut: Dar Ibn Hazm, 2000, hlm 697, hadis No. 1305].

Imam al-Tirmizi juga meriwayatkan hadis yang serupa dari Abu Hurairah RA dengan lafaz:

“Bulan puasa adalah bulan mereka (kaum Muslimin) berpuasa. Eidul Fitri adalah hari mereka berbuka. Eidul Adha adalah hari mereka menyembelih korban” [Nailul Authar, hlm 697 hadis No. 1306].

Imam al-Tirmizi seterusnya berkata, “Sebahagian ahlul ‘ilmi (ulama) menafsirkan hadis ini dengan menyatakan, ‘Sesungguhnya makna puasa dan Eidul Fitri ini adalah yang dilakukan bersama jemaah (keseluruhan masyarakat Islam) dan sebahagian besar manusia”.

Hadis di atas secara jelas menunjukkan kewajipan berpuasa Ramadhan, ber-Eidul Fitri dan ber-Eidul Adha bersama-sama orang ramai, iaitu maksudnya bersama kaum Muslimin keseluruhannya dan langsung tidak timbul soal batas sempadan negara.

(2) Dari Husain Ibn al-Harits al-Jadali, ia berkata:

“Sesungguhnya Amir (Wali) Makkah pernah berkhutbah dan berkata, ‘Rasulullah SAW mengamanahkan kepada kami untuk melaksanakan manasik haji berdasarkan rukyah. Jika kami tidak dapat merukyah tetapi ada dua saksi adil yang berjaya merukyah, maka kami melaksanakan manasik haji berdasarkan kesaksian keduanya” [HR Abu Daud dan al-Daruquthni].

Imam al-Daruquthni berkata, “Isnadnya bersambung (muttasil) dan sahih” [Lihat Imam Syaukani, Nailul Authar hlm 841 hadis No. 1629]. Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa penentuan hari Arafah dan hari-hari pelaksanaan manasik haji, telah dilaksanakan pada saat adanya Daulah Islamiyyah dengan ketetapan rukyah oleh pihak Wali Makkah atau penduduk Makkah. Hal ini berlandaskan perintah Nabi SAW kepada Amir (Wali) Makkah untuk menetapkan hari dimulainya manasik haji berdasarkan rukyah. Di samping itu, Rasulullah SAW juga telah menetapkan bahawa pelaksanaan manasik haji (seperti wukuf di Arafah, tawaf ifadhah, bermalam di Muzdalifah, melempar jamrah dan sebagainya) harus ditetapkan berdasarkan rukyah penduduk Makkah sendiri, bukan berdasarkan rukyah penduduk Madinah, penduduk Najd atau penduduk negeri-negeri Islam lainnya.

(3) Dari Abu Hurairah ra, ia berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melarang puasa pada Hari Arafah, di Arafah” [HR Abu Daud, An Nasa’i – lihat Imam Syaukani, Nailul Authar hlm 875, hadis No. 1709].

Berdasarkan hadis ini, Imam al-Syafi’i berkata, “Di sunatkan berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah) bagi mereka yang bukan jemaah haji”. Hadis di atas merupakan dalil yang jelas dan terang mengenai kewajiban merayakan Hari Raya Korban pada hari yang sama atas seluruh kaum Muslimin. Sebab, jika disyari’atkan berpuasa bagi selain jemaah haji pada Hari Arafah, maka ini bermakna, puasa sunat bagi kaum Muslimin (selain jemaah haji) juga akan berlaku pada hari yang sama. Jadi, apabila hari Arafah telah ditetapkan oleh pemerintah Makkah pada hari Jumaat 3 Oktober, maka inilah harinya (3 Oktober) untuk umat Islam diseluruh dunia (selain jemaah haji) untuk menunaikan puasa sunat Arafah.

Langsung tidak timbul soal perbezaan hari/waktu di antara Arab Saudi dan Malaysia, mahupun lain-lain negara di dunia. Malaysia hanya berbeza 5 jam sahaja dengan Arab Saudi. Bagaimanakah perbezaan 5 jam ini tiba-tiba menyebabkan hari Arafah atau Hari Raya Korban menjadi berbeza lebih dari sehari (24 jam)? Justeru, benar-benar menyalahi nas sekiranya umat Islam di Malaysia berpuasa sunat pada hari Sabtu (4 Oktober) kerena ketika itu merupakan hari penyembelihan korban di Makkah atau dengan kata lain Hari Raya Korban. Sesungguhnya berpuasa pada Hari Raya Korban adalah perbuatan yang jelas-jelas diharamkan oleh Rasulullah.

Terdapat sebahagian daripada kaum Muslimin yang membolehkan perbezaan Hari Raya Korban beristidlal (menyandarkan dalil) dengan hadis:

“Berpuasalah kalian apabila melihat (rukyah) hilal, dan berbukalah kalian (ber-Eidul Fitri) apabila melihat hilal. Dan jika mendung/awan menghalang (pandangan) kalian, maka perkirakanlah”.

Beristidlal dengan hadis ini untuk membolehkan perbezaan hari raya (termasuk Hari Raya Korban) di antara negeri-negeri umat Islam dan untuk membolehkan penggunaan kaedah hisab adalah istidlal yang sangat keliru. Kekeliruannya dapat ditinjau dari beberapa aspek:

Pertama; Hadis tersebut tidak menyentuh Hari Raya Korban baik secara langsung mahupun tidak langsung. Hadis itu hanya menjelaskan tentang Eidul Fitri, bukannya Eidul Adha (Hari Raya Korban). Maka dari itu, tidaklah tepat beristidlal dengan hadis tersebut untuk membolehkan perbezaan Hari Raya Korban berdasarkan perbezaan mathla’ (tempat terbit hilal), di antara negeri-negeri umat Islam.

Kedua; Hadis tersebut telah menetapkan awal puasa Ramadhan dan Eidul Fitri berdasarkan rukyatul hilal, bukan berdasarkan kaedah hisab. Pada hadis tersebut tak terdapat sedikit pun dalalah (pemahaman) yang membolehkan kaedah hisab untuk menetapkan awal bulan Ramadhan dan hari raya Eidul Fitri. Ada pun perkataan Nabi yang berbunyi, “...jika mendung/awan menghalang (pandangan) kalian, maka perkirakanlah” maksudnya bukanlah perkiraan berdasarkan kaedah hisab, tetapi bermaksud sempurnakan bilangan (bulan) Sya’ban atau Ramadhan kepada 30 hari, (bila hilal tidak kelihatan). Jadi, adalah teramat keliru jika menggunakan hadis ini dan menetapkan tarikh Hari Raya Korban berdasarkan kaedah hisab.

Ketiga; Andaikata kita terima bahawa hadis tersebut juga berlaku untuk Hari Raya Korban dengan jalan Qiyas (padahal Qiyas tidak berlaku dalam hal ibadah yang bersifat tauqifiyah) maka hadis tersebut justeru akan bertentangan dengan hadis dari Husain Ibn al-Harits al-Jadali di atas, yang bersifat khusus untuk Eidul Adha dan manasik haji. Dalam hadis penetapan Ramadhan dan Eidul Fitri, Rasulullah SAW memberi autoriti kepada mana-mana orang Islam di seluruh dunia untuk melihat hilal. Manakala dalam hadis penetapan Hari Raya Korban, Nabi SAW hanya memberikan autoriti kepada kaum Muslimin/Amir/Wali Makkah untuk menetapkan rukyah bagi bulan Zulhijjah dan untuk menetapkan waktu manasik haji khusus, berdasarkan rukyah penduduk Makkah (bukan rukyah kaum Muslimin di negeri-negeri yang lain).

Walaupun Rasulullah telah membuat ketetapan tentang hari Hari Raya Korban bagi seluruh kaum Muslimin berdasarkan rukyah penduduk Makkah, malangnya sebahagian besar kaum Muslimin hari ini lebih mengikut ‘ketetapan’ yang dibuat oleh pemerintah negara masing-masing yang justeru bertentangan dengan apa yang Rasulullah telah tetapkan. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah membuat ketetapan Hari Raya Korban berdasarkan wahyu dan hal ini telah menyatukan kaum Muslimin di seluruh dunia.

Anda Juga Mungkin Meminati :


No comments:

Post a Comment