Monday, 13 October 2014

Apakah Keistimewaan Pembentangan Budget Kepada Rakyat ?




Tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa kos sara hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa telah memberikan tekanan kepada kebanyakkan rakyat Malaysia ketika ini. Purchasing power atau kuasa beli semakin lama semakin menurun kesan daripada inflasi yang berlaku. Dengan kata lain, setiap ringgit pendapatan semakin lama semakin sedikit barang atau perkhidmatan yang mampu dibeli berbanding sebelumnya. Pada masa yang sama, perubahan corak kehidupan yang semakin moden pula memerlukan banyak perbelanjaan tambahan.



Bukan itu sahaja, untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak  juga memerlukan perbelanjaan yang cukup tinggi. Maka sebab itu tidak menghairankan jika anak-anak yang telah berjaya dalam pelajaran dan kerjaya ketika ini hanya mampu untuk menampung keperluan diri sendiri atau keperluan anak bini sendiri sahaja, itu pun kadang-kadang tidak mencukupi.  Emak ayah yang sepatutnya dibantu oleh anak-anak, terpaksa berusaha sendiri mencari pendapatan untuk menampung keperluan hidup.

Maka sebab itu, di dalam kemodenan dan kemajuan yang sedang dikecapi ketika ini, sudah menjadi perkara biasa bagi rakyat Malaysia melakukan kerja-kerja sambilan atau berhutang sana sini semata-mata untuk mencari wang tambahan bagi menampung atau memenuhi keperluan kehidupan sehari-hari. Berhutang puluhan ribu untuk melanjutkan pelajaran atau untuk mendirikan rumah tangga juga sudah menjadi sebahagian daripada pilihan yang terpaksa diambil untuk meneruskan kehidupan. Hutang rumah dan hutang kenderaan pula sudah menjadi perkara ‘wajib’ bagi kebanyakkan rakyat Malaysia ketika ini.

Oleh itu, apabila budget dibentangkan oleh Menteri Kewangan, pelbagai golongan masyarakat sama ada daripada golongan rakyat biasa, ahli korporat, ahli politik, dan termasuklah golongan yang buta ilmu ekonomi akan tertunggu-tunggu ‘sesuatu’ daripada peruntukan budget yang diumumkan. Bagi golongan majoriti iaitu rakyat biasa daripada golongan berpendapatan pertengahan dan ke bawah sudah tentu akan meletakkan harapan tinggi menggunung agar ada peruntukan-peruntukan yang akan dapat  membantu menambahkan sumber pendapatan dan juga peruntukan-peruntukan yang dapat memberikan lebih banyak kemudahan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Seperti selalunya, setiap kali budget dibentangkan, harapan menggunung tinggi golongan majoriti rakyat biasa tidak pernah dihampakan, bahkan sering kali ada ‘ hadiah - hadiah istimewa’ yang akan diberikan kepada golongan ini. Sama ada sedar atau tidak begitulah skripnya apabila setiap kali budget dibentangkan pada setiap tahun atau ketika budget tambahan dibentangkan, ‘rakyat majoriti yang menjadi keutamaan’.

Namun, seperti yang diterangkan diatas walaupun bermacam-macam peruntukan dan ‘hadiah istimewa’ yang diumumkan setiap kali budget dibentangkan, hakikatnya kehidupan rakyat dari tahun ke tahun semakin bertambah sempit dan menekan. Belanja bulanan selalu tidak cukup (defisit), dapat gaji untuk bayar hutang. Menurut Laporan dan statistik dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia secara purata seramai 41 individu yang berumur dibawah 35 tahun  muflis setiap hari akibat kegagalan menjelaskan bebanan hutang. Masalah kewangan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri juga merupakan antara faktor utama kepada peningkatan kadar perceraian yang sedang sedang berlaku ketika ini. Tidak kurang juga ibubapa yang telah tua terpaksa dihantar ke rumah orang-orang tua akibat daripada ketidakmampuan anak-anak untuk menjaga mereka. Begitulah realiti yang sedang menimpa kebanyakkan rakyat Malaysia ketika ini walaupun saban tahun ada sahaja peruntukan istimewa yang diberikan setiap kali budget dibentangkan.



Namun begitu, walaupun budget yang diperuntukkan setiap tahun gagal melepaskan majoriti rakyat biasa daripada kesempitan hidup akibat daripada kos sara hidup yang semakin meningkat namun ianya telah berjaya meningkatkan kekayaan golongan minoriti tertentu. Misalnya, pada tahun 2002, jumlah kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia hanyalah sebanyak RM41.7 bilion. Jumlah tersebut telah melonjak kepada RM194.86 bilion pada tahun 2013 dan pada Januari 2014 gabungan kekayaan 40 individu paling kaya di Malaysia telah melonjak kepada  RM217.82 bilion. Jumlah tersebut hampir mencapai jumlah budget negara pada tahun 2014 iaitu sebanyak RM264.2 bilion. Dengan kata lain, jumlah kekayaan yang dimiliki oleh hanya 40 orang terkaya di Malaysia hampir mencukupi untuk menampung budget negara selama setahun. Kekayaan mereka dijangka akan terus meningkat dengan kepesatan ekonomi yang sedang dinikmati oleh Malaysia. Itulah realiti sebenar yang harus disedari oleh rakyat Malaysia.

Sedarlah bahawa apa yang sedang berlaku ini sebenarnya punca utamanya bukanlah kerana disebabkan oleh masalah korupsi dan ketirisan dalam pengurusan dana negara. Penyelesaian terhadap masalah korupsi dan ketirisan semata-mata TANPA mengubah sistem perekonomian yang diterapkan ketika ini, sudah tentu TIDAK akan dapat mengubah keadaan. Ini kerana punca utamanya adalah penerapan atau pelaksanaan Sistem Ekonomi Kapitalis. 

Anda Juga Mungkin Meminati :

No comments:

Post a Comment