Saturday, 20 December 2014

KEKELIRUAN PENGGUNAAN DALIL UNTUK MENGHALALKAN PENGUCAPAN MERRY KRISTMAS DAN KONGSI RAYA (Penerangan Dengan Gambarajah).


Ucapan Merry Kristmas bukannya ucapan universal seperti hello atau apa khabar, tetapi ianya merupakan ucapan khas bagi penganut agama kristian sempena perayaan Krismas (Hari Natal). Kekeliruan tentang hukum mengucapkan Merry Kristmas berlaku adalah disebabkan kerana ada segelintir ulama yang membolehkan ucapan Merry Krismas dengan alasan kita perlu bermualamah baik dengan orang-orang bukan Islam (mujamalah). Betulkah? Fahami perbincangan ini dengan menggunakan gambarajah dibawah.

Bulatan A – Menerangkan tentang segala hal yang berkaitan dengan kepercayaan (aqidah) seperti perayaan, ucapan perayaan, jampi serapah agama, pemakaian berunsurkan keagamaan dan juga simbol-simbol berkaitan dengan agama seperti tanda salib. Umat Islam tidak boleh melakukan dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan aqidah agama lain kerana larangannya sangat jelas. Allah SWT berfirman :

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku (Al-Kaafirun 109:6)

Adalah sesuatu yang sangat jelas bahawa ucapan Merry Krismas adalah ucapan yang berkaitan dengan kepercayaan (aqidah) penganut agama kristian.

Bulatan B- Menerangkan tentang urusan  Muamalah dengan orang bukan Islam. Islam menuntut agar penganutnya melakukan muamalah yang baik dengan orang bukan Islam sama seperti ketika melakukan muamalah dengan sesama muslim. Banyak nas dalam Al-Quran mahupun hadis yang menerangkan wajib bermuamalah dengan baik dengan orang bukan Islam. Bahkan dibolehkan untuk berjiran tetangga dan memberi atau menerima hadiah daripada mereka. Apatah lagi dengan ibubapa sendiri walaupun mereka bukan beragama Islam. Misalnya:

Untuk Ahli Zimmi menjaga urusan mereka dan menjamin kehidupan mereka sama seperti kaum Muslimin, Dari Abu Wael dari Abu Musa atau dari salah seorang keduanya, dengan sanad Rasulullah SAW bersabda “Berilah makan kepada yang lapar, Kunjungilah yang sakit dan bebaskan tawanan” . Hadis riwayat Bukhari dari jalan Abu Musa.
Kaum Zimmi dibiarkan menganut fahaman mereka dan sembahan mereka, berasaskan kepada Sabda Rasulullah SAW sebagaimana dikeluarkan oleh Abu Ubaid dalam Al-Amwal dari jalan Urwah, Rasulullah SAW telah menulis surat kepada Ahli Yaman “Apa yang menjadi anutan Yahudi dan Nasrani maka hendaknya tidak diganggu-gugat, kewajipan mereka untuk membayar jizyah

Selain itu, Allah berfirman :

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Lafaz “Apabila engkau menghakimi manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil” merupakan lafaz yang berbentuk umum untuk semua manusia, tanpa mengira sama ada Muslim atau non-Muslim. Rasulullah SAW bersabda:

Pembuktian itu beban kepada Plaintif dan sumpah ke atas defendan” dikeluarkan oleh Imam Baihaqi dengan sanad yang sahih, Ia umum meliputi Muslim dan Non-Muslim.

Begitulah ketinggian akhlak yang diajarkan oleh Islam dalam bermuamalah dengan orang bukan Islam.

Bulatan C - Perkara Syubahat (Urusan Muamalah berkaitan dengan Agama). Misalnya :
        I.          Menziarahi orang bukan Islam semasa hari perayaan mereka
       II.        Balik bercuti bersama ibu bapa atau anggota keluarga yang bukan Islam pada hari perayaan                   mereka.

Dalam hal ini Rasulullah SAW berpesan untuk menjauhi perkara yang syubhat. Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِى الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِى الْحَرَامِ كَالرَّاعِى يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ

Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati. (HR : Bukhari dan Muslim).

Kesimpulannya, ulama yang berhujah bahawa tidak salah memberikan ucapan kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka seperti Merry Krismas kerana Allah memerintahkan untuk bermuamalah baik dengan orang bukan Islam adalah hujah yang keliru. Ini kerana ucapan Merry Kristmas merupakan hal yang berkaitan dengan kepercayaan (aqidah) bukannya urusan muamalah. Oleh itu adalah tidak tepat menggunakan dalil-dalil untuk urusan muamalah bagi membolehkan ucapan Merry Krismas kepada penganut agama Kristian sempena perayaan Krismas kerana ianya jelas merupakan hal yang berkaitan dengan aqidah.

Manakala balik cuti menziarahi ibubapa yang bukan Islam ketika hari perayaan agama mereka adalah perkara  yang boleh menimbulkan syubahat (antara urusan agama yang diharamkan dengan urusan muamalah yang harus). Adalah lebih baik menjauhi perkara yang syubahat dengan cara menziarahi ibubapa atau anggota keluarga yang bukan Islam pada hari lain.

Ini adalah kandungan ajaran Islam yang penganut agama lain mesti hormati. Jangan pula cuba untuk mengajar umat Islam bagaimana untuk mengamalkan ajaran Islam.

Artikel Berkaitan :





No comments:

Post a Comment