Thursday, 19 February 2015

Anwar Ibrahim Dipenjara : Perbezaan antara Tahun 1999 dengan Tahun 2015

Terdapat beberapa perbezaan yang sangat jelas diantara hukuman penjara yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim ketika zaman Mahathir dengan zaman Najib. Perbezaan tersebut mungkin sekali bakal menghasilkan peristiwa politik yang juga turut berbeza. Perbezaan tersebut boleh dilihat daripada beberapa aspek.



Pertama, ketika Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara pada tahun 1999, ianya berlaku secara mengejut tanpa dapat diduga. Oleh itu, ketika Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara  pada tahun 1999, beliau dan penyokong-penyokonnya lebih tertumpu kepada aktiviti meraih simpati daripada rakyat Malaysia kerana itu sahaja yang termampu untuk dilakukan ketika itu. Walaupun ianya berjaya mendapatkan simpati daripada rakyat Malaysia, namun ianya tidak dapat memberikan tekanan yang berkesan kepada pemerintahan Mahathir ketika itu. Berbeza halnya pada tahun 2015, dimana perbicaraan yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim telah memakan masa selama 7 tahun. Maka ianya merupakan satu jangka masa yang cukup panjang bagi Anwar dan para kepimpinan Pakatan Rakyat untuk merangka strategi yang berkesan jika Anwar Ibrahim sekali lagi dijatuhkan hukuman penjara.

Kedua, tahun 2015 Anwar Ibrahim merupakan Ketua Pembangkang yang cukup berpengaruh dan pembangkang juga sedang berada pada prestasi yang lebih kuat berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tidak seperti tahun 1998/9, dimana ketika itu Anwar Ibrahim terpaksa menebalkan muka untuk mendapatkan simpati daripada musuh-musuh politiknya sendiri apabila beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.  Anwar Ibrahim tidak punya pilihan lain, melainkan terpaksa mendapatkan simpati dan berbaik-baik dengan DAP dan PAS, walaupun sebelum beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, DAP dan PAS merupakan musuh politik yang sering beliau serang dan perlekehkan.

Ketiga, kerajaan Barisan Nasional yang ketika ini dikepalai oleh Najib berada dalam keadaan yang paling lemah sepanjang sejarah Barisan Nasional menerajui pemerintahan negara. Ditambah pula terdapat banyak tekanan yang terpaksa dihadapi oleh Najib ketika ini, tekanan sama ada daripada dalam dan luar negara mahupun  tekanan daripada dalam dan luar parti. Maka sebab itu, walaupun Langkah Kajang telah memberikan kesan negatif kepada Pakatan Rakyat terutamanya dari segi mengeruhkan hubungan antara PAS dengan DAP. Namun ianya tidak dapat dimanfaatkan dengan baik oleh Barisan Nasional untuk memberikan pukulan yang mematikan terhadap Pakatan Rakyat. Ini kerana, Barisan Nasional yang diterajui oleh Najib juga sedang berhadapan dengan banyak tekanan dan masalah. Maka, Langkah Kajang umpama bola tanggung yang diberikan oleh Pakatan Rakyat, tetapi BN tidak dapat melompat untuk smash bola tanggung tersebut. Bola tanggung tersebut hanya direturn kepada Pakatan Rakyat sebagai bola yang sedikti menyusahkan tetapi tidak dapat mematikan.

Berbeza ketika zaman Mahathir pada tahun 1999. Ketika itu, Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh oleh Mahathir berada dalam keadaan yang kukuh, kukuh dari segi politik dalaman dan juga kukuh dari segi ekonomi mahupun dari segi hubungan antarabangsa. Ianya boleh dilihat daripada keupayaan pemerintahan Mahathir ketika itu mengatasi Krisis Kewangan Asia 1997 dan juga berjaya mengekalkan ⅔ majoriti dalam PRU10 walaupun sedang berhadapan gelombang reformasi oleh penyokong-penyokong Anwar Ibrahim. Oleh itu, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Anwar Ibrahim dan penyokongnya ketika itu untuk memberi tekanan kepada pemerintahan Mahathir.

Keempat, Pakatan Rakyat khususnya PKR ketika ini mempunyai ramai pemimpin yang berwibawa dan telah cukup matang dalam perjuangan ‘ Doktrin Anwarisme’ . Mereka bukan sahaja mempunyai semangat juang yang tinggi tetapi juga turut mempunyai keupayaan kepimpinan yang setara bahkan mungkin lebih berbanding dengan para menteri yang ada dalam jentera pemerintahan Najib ketika ini. Banyak yang mampu mereka lakukan ketika ini untuk memberi tekanan kepada pemerintahan Najib. Tidak sama ketika tahun 1999, kebanyakkan penyokong dan pengikut Anwar ketika itu adalah terdiri daripada mereka yang simpati dan tidak dapat menerima pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Mereka bukan sahaja belum matang dalam perjuangan ‘Doktrin Anwarisme’ malahan masih terlalu mentah dalam hal-hal yang berkaitan dengan  pemerintahan negara.  

Kesimpulannya, dengan berbezaan tersebut bukanlah perkara yang mustahil bahawa akan berlaku juga berbezaan dari segi pengakhiran hukuman penjara yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim pada tahun 1999 dengan tahun 2015. Jika tahun 1999 hukuman penjara Anwar Ibrahim berakhir cukup 6 tahun, maka, mungkin sahaja kelebihan yang lebih banyak dimiliki oleh Anwar Ibrahim ketika ini menyebabkan hukuman penjara yang dihadapinya kali ini tidak akan berakhir sehingga cukup 5 tahun, mungkin setakat dua atau tiga tahun atau mungkin sahaja tidak akan sampai setahun.

Anda Mungkin Juga Meminati :

No comments:

Post a Comment