Monday, 18 May 2015

Umat Islam Rohingya Perlukan Pembelaan Daripada Kita


Masyarakat Rohingya yang majortinya menetap di bahagian utara Arakan merupakan salah satu daripada kumpulan etnik yang menjadi warga negara Myanmar (Burma) setelah Myanmar mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1948. Sebelum tentera melakukan rampasan kuasa yang diketuai oleh Jeneral Ne Win pada tahun 1962, masyarakat Islam Rohingya khususnya di bawah pemerintahan Perdana Menteri Myanmar yang pertama iaitu U Nu diberikan hak yang sama seperti warga negara Myanmar yang lain. Mereka diberikan hak untuk mendapatkan pendidikan, mensyiarkan tuntutan agama Islam, bekerja sebagai kakitangan kerajaan, menyertai pasukan tentera dan juga  terlibat secara langsung dalam Pilihan Raya Umum Myanmar. Bahkan terdapat beberapa orang pemimpin politik daripada masyarakat Islam Rohingya yang telah menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan ketika itu. Namun setelah tentera melakukan rampasan kuasa, nasib masyarakat Islam Rohingya telah berubah menjadi masyarakat yang bukan sahaja dinafikan statusnya sebagai warga negara Myanmar tetapi juga telah menjadi mangsa penindasan yang sangat kejam oleh pemerintahan Junta Tentera Myanmar yang diketuai oleh Jeneral Ne Win. 

Sebelum menjadi Ketua Negara Myanmar dibawah pemerintahan Junta Tentera, Jeneral Ne Win pernah dilantik sebagai Perdana Menteri Sementara Myanmar dari tahun 1958 hingga tahun 1960 menggantikan Perdana Menteri U Nu. Jeneral Ne Win  dilantik sebagai Perdana Menteri sementara Myanmar berikutan keadaan politik Myanmar yang tidak stabil ketika itu sehingga memaksa pemerintahan yang dikenali sebagai Caretaker government dibentuk. Setelah Pilihanraya Umum Myanmar diadakan pada tahun 1960,  U Nu telah dilantik semula menjadi Perdana Menteri Myanmar apabila parti pimpinannya iaitu Parti Anti-Fascist People's Freedom League (AFPFL) berjaya memenangi pilihan raya tersebut dengan kemenangan yang selesa. Namun, ianya hanya dapat bertahan hanya selama dua tahun apabila Jeneral Ne Win telah melakukan rampasan kuasa pada tahun 1962.

Setelah berjaya melakukan rampasan kuasa, Jeneral Ne Win telah menubuhkan Union Revolutionary Council yang bertindak sebagai kerajaan untuk mentadbir Myanmar. Sebagai Pengerusi Union Revolutionary Council, Jeneral Ne Win secara automatik menjadi Perdana Menteri Myanmar. Beliau menyandang jawatan tersebut sehingga tahun 1988.  Oleh kerana, Jeneral Ne Win mendapat kuasa tanpa mandat daripada rakyat Myanmar, maka beliau perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat Myanmar. Antara cara yang telah dilakukannya ialah mencipta common enemy terhadap etnik majoriti Burma agar mereka akan bersama-sama pentadbiran Jeneral Ne Win memerangi common enermy tersebut. Hal ini juga sebenarnya akan dapat mengalihkan perhatian rakyat Myanmar terhadap kediktatoran pemerintahan Junta Tentera yang diketuai oleh Jeneral Ne Win.

Bagi tujuan tersebut,  masyarakat Islam Rohingya telah dijadikan sasaran sebagai common enemy bagi etnik Burma. Ianya dimulakan dengan memperkenalkan Emergency Immigration Act, 1974. Akta ini didesign secara khusus untuk melucutkan kerakyatan etnik minoriti khususnya etnik Rohingya sebagai warga negara Myanmar. Akta tersebut telah menyebabkan etnik Rohingya menjadi pendatang di tanah air sendiri yang digelar oleh Pentadbiran Jeneral Ne Win sebagai pendatang Bengali. Pada tahun 1978, Pentadbiran Jeneral Na Win melancarkan satu operasi yang dikenali Operasi Nagamin (The King Dragon Operation). Dalam Operasi Nagamin, pasukan tentera kerajaan Myanmar telah melancarkan serangan secara mengejut ke atas perkampungan etnik Rohingya. Tentera dengan dibantu oleh etnik Rakhine yang beragama Buddha telah membakar rumah-rumah, memusnahkan masjid-masjid serta melakukan pembunuhan dan pemerkosaan ke atas masyarakat Islam Rohingya. Akibat daripada operasi tersebut juga, seramai lebih kurang 200,000 masyarakat Islam Rohingya terpaksa melarikan diri dan hidup sebagai pelarian di negara Bangladesh.

Kekejaman pentadbiran Junta Tentera Myanmar terhadap umat Islam Rohingya tidak berakhir di situ sahaja, tetapi terus berlaku dan berlaku sehinggalah ke hari ini. Satu per satu penderitaan dan peristiwa sedih yang dialami oleh umat Islam Rohingya dihidangkan kepada masyarakat dunia. Umat Islam Rohingya merupakan golongan yang paling menderita dan tertindas ketika ini. Banyangkan sahaja hampir separuh (1.5 juta) etnik Rohingya hidup sebagai pelarian di negara-negara lain kerana tidak mampu menahan kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh Pemerintahan Junta Tentera Myanmar.

Penderitaan dan penindasan yang dialami sejak sekian lama oleh umat Islam Rohingya akibat daripada kekejaman berterusan oleh Pemerintahan Junta Tentera Myanmar merupakan antara bukti yang nyata sikap hipokrasi badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menjaga keamanan sejagat. PBB sehingga kini gagal untuk menghentikan kekejaman Junta Tentera Myanmar ke atas umat Islam Rohingya. Selain itu, ianya juga merupakan bukti bahawa Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) adalah pertubuhan yang tidak boleh diharapkan sama sekali untuk membela umat Islam yang tertindas. Tiada apa yang signifikan telah dilakukan oleh OIC untuk menghentikan kekejaman Junta Tentera Myanmar. Dan, ASEAN yang turut dianggotai oleh Malaysia, Brunei dan Indonesia sedikit pun tidak pernah melakukan sesuatu yang berkesan bagi memberikan tekanan terhadap Pemerintahan Junta Tentera Burma agar menghentikan kekejaman mereka terhadap umat Islam Rohingya.

Melihat keadaan ini, umat Islam di seluruh dunia tentunya berasa terpanggil untuk melakukan sesuatu bagi menghentikan kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh Junta Tentera Myanmar ke atas umat Islam Rohingya. Persoalannya bagaimana ??? Apa usaha atau sumbagan yang dapat dicurahkan bagi tujuan tersebut ? 
Sumbangan jangka pendek dari segi material yang boleh dilakukan oleh setiap
muslim khususnya di Malaysia bagi mengurangkan sedikit penderitaan yang dialami oleh umat Islam Rohingya sudah tentunya dengan menyumbangkan wang ringgit dan bahan-bahan keperluan yang lain. Selain itu, umat Islam melalui NGO, Jemaah mahupun parti politik perlu secara berterusan melakukan desakan kepada pihak kerajaan agar bertindak dengan lebih berani untuk melakukan tekanan terhadap Pemerintahan Junta Tentera Myanmar agar menghentikan kekejaman mereka terhadap umat Islam Rohingya. Tekanan secara berterusan terhadap pihak kerajaan juga perlu dilakukan agar membenarkan umat Islam Rohingya yang sudah berhari-hari tersadai di tengah lautan mendarat di daratan Malaysia agar bantuan kemanusian yang diperlukan dapat dihulurkan kepada mereka.


Disamping melakukan sumbangan jangka pendek bagi mengurangkan penderitaan yang sedang dialami oleh umat Islam Rohingya. Usaha jangka panjang perlu turut sama dilakukan oleh umat Islam bagi membebaskan secara total umat Islam Rohingya daripada kekejaman Junta Tentera Myanmar.
Usaha jangka panjang tersebut ialah menyeru umat Islam untuk sama-sama berusaha untuk mendirikan semula institusi agung pemerintahan Islam iaitu Daulah Khilafah. 

Hanya Daulah Khilafah yang didirikan berdasarkan tareqah yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.AW yang akan dapat mengerakkan tentera umat Islam bagi membela penindasan yang dialami oleh umat Islam Rohingya daripada kekejaman Junta Tentera Myanmar. Ini kerana, Khalifah adalah umpama perisai bagi kaum Muslimin. Rasulullah saw menegaskan:
« إِنَّمَا الإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ »
Sesungguhnya seorang pemimpian itu adalah perisai, orang-orang berperang di belakangnya, dan berlindung kepadanya (HR. Bukhari-Muslim).


Anda Mungkin Juga Meminati :
  1. Krisis Iraq : Matlamat dan Strategi Amerika Syarikat

Saturday, 2 May 2015

PRK Parlimen Rompin Dan Permatang Pauh:Adakah Kemenangan Yang Dicari ?

Rompin merupakan kubu kuat UMNO,begitu juga Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Masing-masing telah memegang parlimen tersebut sejak sekian lama dengan majoriti undi yang sangat  besar, kecuali pada tahun 2004 Datin Seri Wan Azizah hanya menang dengan majoriti 590 menewaskan calon Barisan Nasional iaitu Dato' Pirdaus Ismail yang merupakan bekas Imam Negara.
Kemenangan Datin Seri Wan Azizah menewaskan Dato' Pirdaus Ismail pada Pilihanraya Umum tahun 2004 merupakan bukti yang paling nyata bahawa Permatang Pauh merupakan kawasan keramat bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana, dalam Pilihan Raya Umum Tahun 2004 Barisan Nasional yang ketika itu diterajui oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sedang berada di puncak prestasi, manakala PKR pula ketika itu berada dalam keadaan yang lemah. Namun, Permatang Pauh yang telah diwakili oleh Anwar Ibrahim  sejak tahun 1982 lagi tetap berjaya dipertahankan oleh Datin Seri Wan Azizah daripada jatuh ke tangan Barisan Nasional.

Manakala, Rompin merupakan salah satu daripada kubu kuat UMNO yang telah diwakili oleh Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis sejak tahun 1990 lagi. Pada PRU 13 yang lepas Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis telah berjaya mempertahankan Parlimen Rompin setelah mengalahkan calon daripada PAS iaitu bekas Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi. Namun, Parlimen Rompin tidaklah begitu terkenal berbanding dengan Parlimen Permatang Pauh yang sering kali menjadi perhatian setiap kali adanya pilihan raya. Walaupun bilangan kerusinya tetap sama iaitu satu kerusi parlimen, tetapi kerusi Parlimen Permatang Pauh sangat ‘Istimewa’ kerana ianya adalah kawasan keramat bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR. Maka atas sebab itu, PRK Permatang Permatang Pauh mendapat perhatian yang lebih daripada semua pihak berbanding dengan PRK Parlimen Rompin.

Berdasarkan sejarah dan realiti beberapa pilihan raya sebelumnya serta keadaan politik semasa, Parlimen Rompin akan kekal di tangan UMNO dan Parlimen Permatang Pauh pula akan kekal di tangan PKR.

Dan sebenarnya, PRK Rompin dan PRK Permatang Pauh kali ini bukan pentas politik semata-mata untuk menguji pertembungan di antara UMNO dengan PAS atau UMNO dengan PKR. Tetapi yang lebih utama, PRK Rompin dan PRK Permatang Pauh kali ini adalah pentas untuk menguji keutuhan tahaluf siyasi diantara PAS, PKR dan DAP. Begitu juga dengan UMNO, PRK di kedua-dua parlimen tersebut adalah pentas untuk menguji sejauh mana kesan tentangan Tun Mahathir terhadap Dato Seri Najib ke atas prestasi UMNO khususnya di Parlimen Rompin. Jadi, dalam kedua-dua PRK tersebut keputusan penting yang sangat dinantikan oleh kedua-dua pihak bukanlah kemenangan semata-mata, tetapi yang lebih utama ialah keputusan mengenai statistik peratus keluar mengundi dan juga jumlah kemenangan majoriti yang diperolehi. Ini kerana, statistik peratus keluar mengundi dan jumlah kemenangan majoriti dapat memberikan jawapan terhadap krisis dalaman masing-masing.

Bagi Pakatan Rakyat, sudah tentunya mereka ini melihat sejauh mana sokongan ahli-ahli PAS terhadap Datin Seri Wan Azizah dalam PRK Permatang Pauh kali ini. Sokongan dan undi daripada ahli-ahli PAS yang dianggarkan berjumlah 10 ribu tentunya sangat signifikan menentukan kemenangan Datin Seri Wan Azizah dengan majoriti yang besar. Sokongan dan undi daripada ahli-ahli PAS juga bakal memberikan jawapan terhadap komitmen tahaluf siyasi PAS bersama PKR dan DAP. Selain itu, ianya akan turut menjadi petunjuk kepada pergelutan dalam PAS, sama cenderung untuk mempertahankan kepimpinan Haji Hadi atau cenderung kepada usaha perubahan untuk menggantikan Haji Hadi sebagai Presiden PAS.

Bagi UMNO pula, tentunya statistik peratus keluar mengundi dan jumlah kemenangan majoriti di Parlimen Rompin akan memberikan jawapan mengenai sokongan terhadap kepimpinan Dato Seri  Najib. Jika statistik peratus keluar mengundi dan jumlah kemenangan majoriti jauh merosot, maka itu adalah petunjuk bahawa sokongan ahli-ahli UMNO terhadap Dato Seri  Najib semakin merosot. Dan, tentunya ianya juga adalah pentada kejayaan usaha Tun Mahathir yang inginkan Dato Seri  Najib berundur sebagai Perdana Menteri Malaysia. Namun, jika sebaliknya maka itu adalah salah satu petanda bahawa kemimpinan Dato Seri  Najib masih kuat dan tidak terjejas teruk dengan usaha Tun Mahathir untuk menjatuhkan beliau.

Jadi dengan pertarungan yang agak berbeza dalam pilihan raya Permatang Pauh dan Rompin pada kali ini, maka selain daripada kempen memburuk-burukkan parti lawan. Pilihan raya di kedua-dua parlimen tersebut kali ini juga akan lebih banyak usaha dilakukan untuk menyeru ahli masing-masing agar keluar membuang undi. Berdasarkan kemelut politik yang sedang dihadapi oleh kedua-dua pihak, undi protes dengan cara memangkah parti lawan bukanlah perkara yang membimbangkan. Tetapi yang lebih dibimbangkan oleh kedua-dua pihak ialah kemorosotan peratus keluar mengundi ataupun protes dengan undi rosak kerana ianya boleh menjejaskan jumlah kemenangan majoriti. Apatah lagi sudah ada suara-suara yang menyeru agar memboikot pilihan raya tersebut. Satu tindakan yang sangat pelik bagi mereka yang mempercayai perjuangan dengan cara pilihan raya - demokrasi.

Apa sekali pun, bagi umat Islam yang masih percaya kepada perjuangan menegakkan hukum-hakam Islam dengan cara pilihan raya demokrasi sehingga ada yang percaya bahawa mengundi itu adalah satu kewajipan/jihad untuk menentang kemungkaran. Peristiwa-peristiwa politik dalam acuan demokrasi yang banyak berlaku di negara kita, diharapkan dapat membuka mata setiap umat Islam khususnya para pemimpin gerakan/parti politik Islam agar dapat melihat akan kepalsuan kemenangan yang dijanjikan oleh pilihan raya - demokrasi.  

Anda Mungkin Juga Meminati :