Thursday, 24 October 2013

Isu Kerajaan Perpaduan

Isu kerajaan perpaduan atau 'Kerajaan Tanpa Pembangkang' kembali diperkatakan apabila portal berita Asia Sentinel melaporkan Anwar mendakwa Najib menerusi bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla telah menawarkan kerjasama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan antara UMNO dan PKR. 

Isu Kerajaan Perpaduan mula hangat diperkatakan pada Tahun 2009 apabila Presiden Pas Dato Seri Haji Hadi menawarkan kerajaan perpaduan kepada Dato Seri Abdullah Badawi selepas gagalnya usaha undi tidak percaya terhadap Datuk Seri  Abdullah Badawi di Parlimen. Cadangan tersebut telah mendapat maklumbalas yang begitu meluas daripada pelbagai pihak terutamanya daripada ahli UMNO dan juga ahli PAS. Oleh sebab Kerajaan Perpaduan merupakan satu konsep yang sangat baru dalam politik Malaysia, maka pelbagai macam penafsiran yang telah dibuat sama ada pihak yang menyokong dan juga pihak yang menentang cadangan tersebut.  Bahkan berdasarkan maklumbalas yang diberikan, jelas menunjukkan bahawa sesetengah pihak tidak dapat membezakan antara Kerajaan Perpaduan dengan Kerajaan Campuran. Apa yang pasti cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan sangat kabur dan sangat sukar untuk difahami dari segi bagaimana ianya dapat dilaksanakan dalam realiti politik di Malaysia. 

Tidak dapat dinafikan bahawa cadangan Kerajaan Perpaduan timbul kerana  negara telah mengalami kemelut politik yang sangat hebat selepas tamatnya PRU Ke -12 dan pada masa yang sama negara menghadapi persekitaran ekonomi global yang sedang merudum. Kejayaan Barisan Nasional membentuk kerajaan dengan hanya majoriti mudah dalam PRU 12 telah meletakkan kerajaan Barisan Nasional sebagai sebuah kerajaan yang lemah. Banyak keputusan-keputusan penting tidak dapat dilakukan kerana ianya memerlukan sokongan ⅔ undi daripada ahli-ahli parlimen. Walaupun terdapat penyelesaian bernas yang dikemukakan daripada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan setiap masalah yang sedang dihadapi oleh negara, namun budaya politiking yang bersifat destruktif daripada kedua-dua pihak telah menyebabkan penyelesaian bernas yang dikemukakan tidak dapat diteliti dan dibahas dengan sebaiknya demi menghasilkan penyelesaian yang lebih konkrit.

Budaya politiking yang bersifat destruktif ini jelas menunjukkan bahawa senario politik semasa sebenarnya berada pada tahap yang membimbangkan. Perdebatan terhadap sesuatu isu yang sedang melanda negara antara pihak pemerintah - pembangkang sangat mengecewakan dan tidak menunjukkan persaingan perdebatan yang sihat tetapi lebih banyak menjurus kepada  budaya ‘menghentam’ antara satu sama lain demi menunjukkan kelemahan dan keburukan sama ada di pihak  pemerintah ataupun dipihak pembangkang, kedua-duanya sama sahaja. Segala kekuatan yang dimiliki oleh kedua-dua pihak akhirnya lebih banyak digunakan untuk tujuan tersebut. Tidak ada kesungguhan yang ditunjukkan oleh kedua-dua pihak untuk mewujudkan sinergi bagi menghasilkan keputusan dan perancangan yang membawa kebaikan kepada negara. 

Oleh yang demikian, pelbagai macam isu yang sangat kritikal dan memerlukan jalan penyelesaian yang cepat dan efektif tidak dapat dilakukan, bahkan ianya sering berlanjutan sehingga begitu lama dan juga sering dijadikan senjata oleh kedua-dua pihak untuk saling ‘menghentam’ antara satu sama lain sehingga seolah-olah sepanjang masa rakyat hidup dalam ‘peperangan’. Dapat dilihat dan dirasai, kebanyakkan fokus utama kedua-dua belah pihak lebih banyak dicurahkan untuk ‘berperang’ antara satu sama lain yang akhirnya memberikan kesan yang tidak baik kepada kehidupan rakyat. Persekitaran ekonomi global yang merudum juga memberi kesan secara langsung kepada ekonomi Malaysia. Namun, akibat ‘peperangan’ yang tidak berkesudahan antara parti pemerintah dengan parti pembangkang, akhirnya formula atau perancangan yang paling baik tidak dapat diperoleh untuk menghadapi tekanan ekonomi global tersebut. 

Begitu juga dengan pelbagai macam permasalahan yang sedang menimpa di dalam negara. Isu jenayah, kesempitan hidup, gejala sosial dan macam-macam lagi yang semakin hari semakin membimbangkan tanpa ada penyelesaian yang konkrit. Ini disebabkan oleh kerana ‘peperangan’ diantara kedua-dua pihak masih berlanjutan, maka segala kepakaran, komitmen, tenaga dan lain-lain sebagainya lebih banyak digunakan untuk menghadapi ‘peperangan’ tersebut.

Jika ‘peperangan’ ini berterusan maka sudah pasti negara tidak akan dapat bersedia menghadapi sebarang cabaran daripada luar dan juga tidak akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah didalam negara yang sedang menimpa.  Akhirnya, dikhuatiri negara akan dilanda masalah yang lebih besar dan sudah pasti memberikan kesan yang buruk kepada kehidupan rakyat secara keseluruhannya sama ada mereka adalah penyokong kerajaan atau penyokong pembangkang dan juga mereka-mereka yang berada diatas pagar.

Oleh itu, timbul kesedaran dikalangan kedua-dua belah pihak bahawa ‘peperangan’ ini harus dihentikan demi kepentingan negara. Kedua-dua pihak harus mengenepikan agenda parti masing-masing dan mengutamakan agenda nasional. Maka antara penyelesaian yang difikirkan paling ideal untuk menyelesaikan ‘peperangan’ tersebut ialah pembentukan Kerajaan Perpaduan.  Namun, persoalan yang paling asas yang perlu dirungkai dan diperincikan ialah bagaimana cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan dapat direalisasikan. (Baca : Kerajaan Perpaduan : Adakah Realistik Di Malaysia? ).

Anda Mungkin Juga Meminati:


No comments:

Post a Comment