Showing posts with label Barisan Nasional. Show all posts
Showing posts with label Barisan Nasional. Show all posts

Saturday, 11 April 2015

Krisis Dalaman : Barisan Nasional vs Pakatan Rakyat


Apabila Tun Mahathir terus menerus secara terbuka memberikan tekanan agar Dato Najib melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, maka ianya telah menambahkan lagi kekalutan yang sedia ada dalam politik Malaysia. Kekalutan sampai ke tahap dimana sudah kurang jelas siapa seteru dan siapa sekutu politik. Ini kerana, kedua-dua seteru politik iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat masing-masing ketika ini sedang dilanda krisis dalaman. Oleh itu, kedua-duanya tidak dapat mengambil peluang dengan sebaiknya untuk mengukuhkan kekuatan diatas kelemahan pihak lawan kerana kedua-duanya juga sama-sama sedang dilanda dengan masalah krisis dalaman yang serious.

Berbanding krisis dalaman Barisan Nasional (UMNO dan MIC) dengan krisis dalaman yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat (PAS vs DAP), sebenarnya krisis dalaman yang dihadapi oleh Barisan Nasional adalah lebih rumit dan lebih sukar untuk diselesaikan berbanding krisis dalaman Pakatan Rakyat. Ini kerana krisis dalaman yang sedang dihadapi oleh Barisan Nasional khususnya oleh Parti UMNO merupakan krisis dalaman yang bersangkut paut dengan urusan pentadbiran negara. Manakala krisis dalaman Pakatan Rakyat pula hanya berkaitan dengan soal ketidaksefahaman dalam isu-isu yang berbangkit khususnya dalam isu yang berkaitan dengan hukum hudud. Maka sebab itu, walaupun krisis dalaman Parti MIC yang merupakan salah satu komponen parti terbesar dalam Barisan Nasional juga sedang kritikal, namun ianya telah ditenggelamkan oleh krisis dalaman yang sedang dihadapi oleh parti UMNO.

Bagi Tun Mahathir, Dato Najib harus melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri agar Kerajaan Barisan Nasional akan terus dapat menerajui pentadbiran negara selepas PRU14. Ini kerana, bagi Tun Mahathir, Dato Najib sudah tidak sesuai lagi untuk menerajui Barisan Nasional ekoran prestasi Barisan Nasional yang sangat buruk dalam PRU13 yang lepas. Tambahan pula, banyak dasar yang dibuat oleh Dato Najib tidak berjaya menawan semula hati rakyat agar kembali menyokong pentadbiran Barisan Nasional. Ditambah pula pentadbiran Dato Najib melaksanakan GST yang jelas-jelas telah mengundang kemarahan rakyat ketika banyak isu panas yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang seperti isu 1MDB dan penglibatan keluarga beliau dalam beberapa isu gagal dijawab dengan baik.

Manakala, krisis yang sedang melanda Pakatan Rakyat bermula apabila Presiden PAS iaitu Dato Haji Hadi  tidak menyokong Datin Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.  Tindakan tersebut bukan sahaja telah membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin PKR dan DAP, malahan juga turut mencetuskan krisis dalaman Parti PAS apabila ramai pimpinan PAS daripada golongan Professional turut tidak bersetuju dengan tindakan Presiden mereka. Kemelut politik Pakatan Rakyat terus bertambah kronik apabila Haji Hadi bersungguh-sungguh menerima tawaran yang diberikan oleh UMNO untuk menyokong pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Hal ini menyebabkan DAP mengisytiharkan secara terbuka memutuskan hubungan mereka dengan Haji Hadi yang disifatkan oleh DAP sebagai pemimpin yang telah mengkhianati agenda bersama Pakatan Rakyat. Tindakan DAP ini merupakan tekanan kepada anggota PAS khususnya golongan Professional agar mengambil langkah yang lebih berani bagi menjatuhkan Haji Hadi sebagai Presiden PAS jika ingin melihat Pakatan  Rakyat terus dapat dipertahankan.

Untuk menjatuhkan Haji Hadi sebagai Presiden PAS adalah lebih mudah berbanding untuk menjatuhkan Dato Najib sebagai Presiden UMNO. Ini kerana, desakan kuat untuk Haji Hadi dijatuhkan datangnya daripada dalam PAS sendiri. Haji Hadi dilihat sebagai penghalang kepada kerjasama yang utuh dalam Pakatan Rakyat sehingga merencatkan impian Pakatan Rakyat bagi menakluki Putrajaya. Disamping itu, Haji Hadi juga dilihat sangat cenderung untuk bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk Kerajaan Perpaduan, satu perkara yang sangat sukar untuk diterima oleh kebanyakkan ahli-ahli PAS sendiri. Oleh itu, usaha untuk menjatuhkan Haji Hadi hanya perlu bermula dengan kesanggupan mana-mana pemimpin PAS yang cenderung dengan Pakatan Rakyat untuk bertanding jawatan Presiden PAS menentang Haji Hadi. Ternyata, calonnya sudah ada dan telah menerima banyak pencalonan.

Bagi Dato Najib setakat ini belum ada desakan yang kuat daripada dalam UMNO sendiri untuk beliau berundur. Memang benar desakan ataupun tekanan yang diberikan oleh Tun Mahathir terhadap Dato Najib sangat kuat kesannya, namun ianya tidak akan memberikan apa-apa makna jika tiada seorang pun pemimpin yang berpengaruh dalam UMNO yang berani tampil  untuk mendesak agar Dato Najib melepaskan jawatan. Setakat ini, masih belum ada pemimpin tertinggi UMNO yang berani melakukan hal tersebut. Dan perlu difahami juga bahawa, walaupun ada pemimpin UMNO yang berani tampil untuk menentang Najib, ianya bukan tugas mudah kerana ada banyak pihak yang berkepentingan dengan Dato Najib akan mempertahankan beliau dengan habis-habisan.

Apapun, kalender politik dalam masa terdekat ini iaitu PRK Permatang Pauh, PKR Rompin dan Muktamar PAS KE-61 sedikit sebanyak boleh dijadikan petunjuk kepada masa depan politik di Malaysia.

Anda Mungkin Juga Meminati :

Sunday, 1 February 2015

Barisan Nasional Vs Pakatan Rakyat : What's Next ?

Perkembangan semasa dalam arena politik Malaysia menunjukkan petanda bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan pergolakan politik yang sangat mencabar. Ini kerana sama ada di pihak Parti Pemerintah mahupun di pihak Parti Pembangkang, kedua-duanya ketika ini sedang berhadapan dengan krisis dalaman yang sangat serious dan sebarang kemungkinan yang mengejutkan dalam politik Malaysia boleh berlaku. Di pihak Parti Pemerintah, Presiden UMNO yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia sedang struggle untuk mempertahankan jawatan beliau apabila semakin banyak desakan sama ada dari pihak pembangkang mahupun di pihak penyokong kerajaan sendiri yang menginginkan agar beliau melepaskan jawatan. Ditambah pula MIC juga sedang berhadapan krisis dalaman yang melibatkan konflik pemimpin-pemimpin tertinggi parti dengan Presiden Parti sendiri.

Manakala, di pihak pembangkan krisis yang bermula daripada Langkah Kajang yang dicetuskan oleh pimpinan PKR telah mencetuskan bibit-bibit perselisihan diantara DAP dan PAS. Walaupun Langkah Kajang yang mencetuskan krisis Pertukaran Menteri Besar Selangor telah berjaya diselesaikan, namun keretakan hubungan antara PAS dan DAP semakin bertambah parah. PAS dan DAP kini sudah secara terbuka mengkritik antara satu sama lain. Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang sebelum ini sering dibanggakan kerena pendekatan secara consensus dalam menyelesaikan sebarang pertindihan kepentingan ataupun konflik dalam pakatan rakyat, nampaknya telah gagal membendung perselisihan yang semakin menjadi-jadi diantara DAP dan PAS dalam banyak perkara khususnya dalam perkara yang melibatkan dasar perjuangan parti.

Dalam pada itu, muncul pula kumpulan baru dalam PAS iaitu PASMA yang tidak berpuashati dengan beberapa keputusan Presiden PAS yang dikatakan kurang komited dengan dasar bersama dalam Pakatan Rakyat. Bagi PASMA, PAS perlu untuk terus komited dengan dasar bersama dalam Pakatan Rakyat agar pentadbiran Putrajaya berjaya diambil alih daripada Barisan Nasional. Oleh itu bagi PASMA, Presiden PAS perlu digantikan dengan pemimpin yang lebih komited dengan Pakatan Rakyat demi merealisasikan impian menawan pentadbiran Putrajaya. Apatah lagi, sejak bermulanya krisis yang ditimbulkan oleh Langkah Kajang, terdapat beberapa keputusan penting Presiden PAS yang tidak selari dengan perancangan Pakatan Rakyat. Oleh itu desakan agar Presiden PAS digantikan dengan pemimpin yang lebih komited dengan Pakatan Rakyat juga bertiup dengan kencang dalam parti PAS. Dalam pada itu, walaupun sehingga kini, PKR khususnya Ketua Umumnya masih belum memberikan sebarang respond terhadap konflik diantara PAS dan DAP. Namun sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman luas dan telah menjadi orang penting dalam banyak pergolakan politik dalam negara, beliau sudah tentunya mempunyai pendekatan dan  strateginya yang tersendiri dalam berhadapan konflik tersebut.

Situasi politik seperti yang diterangkan diatas sudah tentunya akan membuka ruang dan peluang kepada pemimpin-pemimpin parti politik yang ada untuk mencongak dan mencatur masa depan politik masing-masing. Perlu diingat bahawa sistem politik yang diamalkan ketika ini merupakan sistem politik yang mempunyai falsafah ‘Tiada musuh yang kekal dan tiada sahabat yang abadi. Yang kekal adalah kepentingan peribadi’. Ada banyak peristiwa-peristiwa politik dalam negara yang membuktikan kebenaran falsafah tersebut. Oleh itu, tidak mustahil pergolakan politik sedang berlaku ketika ini akan menghasilkan keputusan-keputusan politik yang ‘mengejutkan’ dan ‘menjijikkan’ serta aksi ‘menjilat air ludah sendiri’ daripada pemimpin-pemimpin politik. Ini kerana, inilah sebahagian asam-garam dalam politik ketika ini. ‘Bijaknya’ ahli-ahli politik ketika ini, segala keputusan yang mereka ambil semuannya dijustifikasikan kononnya demi kepentingan rakyat, demi negara, demi agama dan macam-macam lagi. Walhal, hakikatnya rakyat dan negara mereka pertaruhkan demi kepentingan peribadi mereka.

Situasi terhimpit dan terdesak yang sedang dialami oleh pemimpin-pemimpin politik ketika ini sudah tentunya akan membuka pintu tawar-menawar diantara mereka demi menyelamatkan masa depan politik masing-masing. Apabila wujud banyak tawar-menawar yang dilakukan ketika dalam keadaan terhimpit dan terdesak, itu menunjukkan bahawa sistem politik atau pemerintahan yang dibina merupakan sistem politik/pemerintahan yang sangat lemah dan mudah untuk diambil kesempatan. Siapa yang akan menjadi mangsa ? Bukan mereka (ahli-ahli politik) tetapi RAKYAT!!!. Keadaan sebegini akan terus berlaku bahkan menjadi semakin parah kerana itulah kekurangan yang ada dalam mana-mana sistem hidup ciptaan manusia termasuklah sistem demokrasi-sekular yang diamalkan di Malaysia ketika ini. Jadi kenapa pilih sistem hidup yang mempunyai banyak kekurangan sedangkan Allah SWT telah menurunkan sistem hidup yang lengkap dan sempurna untuk kehidupan manusia seluruhnya???!

Anda Juga Mungkin Meminati :

  1. Adakah Pakatan Rakyat Akan Berpecah ?