Sunday, 2 February 2014

PRK DUN KAJANG (N25) : Akan Menjadi Saksi Kematangan Demokrasi Di Malaysia

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang yang bakal diadakan tidak lama lagi merupakan PRK yang ketiga diadakan selepas tamatnya PRU 13 pada Mei 2013. Uniknya PRK Kajang berbanding dengan dua PRK sebelumnya adalah PRK Kajang diadakan bukan kerana kematian penyandangnya tetapi diadakan  atas sebab percaturan politik khususnya oleh kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Keputusan PKR untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon sudah pasti akan menghangatkan perebutan kerusi DUN Kajang antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat.


DUN Kajang yang terletak dalam Parlimen Hulu Langat terdiri daripada 38,965 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu mewakili sebanyak 49%, pengundi Cina sebanyak 41% dan pengundi India sebanyak 10%. Berdasarkan track record  PRU yang lepas dan situasi politik semasa, besar kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim  akan memenangi PRK DUN Kajang walaupun Barisan Nasional tidak akan memberikan laluan mudah.  Isu yang akan dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat dalam PRK DUN Kajang sudah pasti akan banyak tertumpu kepada isu-isu nasional khususnya yang berkaitan dengan kos sara hidup, GST, TPPA, salah guna kuasa, penyelewengan dan lain-lain lagi. Pada masa yang sama, PRK DUN Kajang ini juga sebenarnya sangat penting untuk mengekalkan momentum perjuangan Pakatan dalam usaha untuk menawan Putrajaya.

Bagi Barisan Nasional pula, respon awal yang ditunjukkan seolah-olah mereka tidak begitu teruja menyambut kehadiran PRK DUN Kajang. Tindakan terburu-buru yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainal Abidin yang mengusulkan agar jaguh badminton negara, Lee Chong Wei dijadikan sebagai calon MCA  dalam PRK Kajang secara tidak langsung menunjukkan Barisan Nasional sangat lemah untuk berhadapan dengan populariti yang dimiliki oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim . Walau bagaimanapun, Barisan Nasional sudah pasti tidak akan membiarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim  menang mudah kerana PRK DUN Kajang bukan hanya tentang kejayaan memenangi kerusi DUN  tetapi ianya juga adalah tentang KEMENANGAN MORAL dan SIGNAL  tentang sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat.

Oleh itu sudah pasti PRK DUN Kajang bakal menjadi medan ‘Perangan’ yang berskala besar dan sengit antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sebaik sahaja ‘semboyan perang’ dibunyikan oleh SPR. Apa yang pasti, kunci atau senjata utama yang akan digunakan untuk mendapat undi daripada rakyat ialah  melancarkan KEMPEN KEBENCIAN terhadap lawan masing-masing. Semakin hebat dan banyaknya keburukkan yang dapat didedahkan untuk menaikkan kebencian rakyat terhadap pihak lawan, maka semakin besar potensi untuk menang. Senjata kedua yang akan digunakan adalah ‘tabur gula-gula’. Pelbagai macam janji akan ditaburkan demi menawan hati pengundi. Walaupun gula-gula yang ditaburkan sering kali tidak dapat ditunaikan, namun masing-masing pihak sudah sangat arif untuk mengolah jawapan kenapa janji-janji yang ditaburkan tidak dapat ditunaikan.

Oleh itu sebenarnya, kematangan dalam mana-mana negara yang mengamalkan Demokrasi termasuklah Malaysia sebenarnya dapat dilihat daripada dua aspek iaitu suburnya KEMPEN KEBENCIAN dan KEHEBATAN MENGULA-GULAKAN RAKYAT.  Prinsip check and balance dalam Demokrasi hanyalah ilusi semata-mata. Berdasarkan situasi semasa tidak siapa boleh menafikan bahawa perasaan kebencian akibat perbezaan parti politik, perkauman dan keagamaan semakin subur seiring dengan kematangan Demokrasi rakyat Malaysia. Kematangan Demokrasi yang seiring dengan suburnya perasaan kebencian telah menyebabkan hilangnya pertimbangan rasional dan akal yang sihat kebanyakkan rakyat Malaysia dalam menilai sesuatu perkara.  

Akhirnya KEBENARAN tidak lagi menjadi sesuatu yang penting kerana perasaan KEBENCIAN telah menguasai segala pertimbangan. Inilah hakikatnya KEMATANGAN DEMOKRASI yang turut melanda kebanyakkan umat Islam di Malaysia. Bukan setakat itu sahaja, nilai persaudaraan dalam Islam juga berada dalam tahap yang KRONIK, apatah lagi untuk mengamalkan akhlak-akhlak yang dianjurkan oleh Islam seperti memuhasabah, menjauhi amalan fitnah-memfitnah dan menutup keaiban sesama muslim telah dihancurkan oleh kematangan Demokrasi. PRK DUN Kajang yang akan berlangsung  sekali lagi akan menjadi SAKSI bahawa kematangan dalam Demokrasi telah menyebabkan umat Islam semakin jauh daripada ajaran ISLAM.

No comments:

Post a Comment