Friday, 14 February 2014

PRK Kajang : Hak dalam Demokrasi dan Perlembagaan






Perletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai  Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang telah menyebabkan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan pada 23 Mac 2014 nanti. Walaupun hari penamaan calon adalah pada 11 Mac 2014, namun Pakatan Rakyat khususnya daripada PKR telah mengumumkan secara rasmi bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diletakkan sebagai calon dalam PRK Kajang. Manakala sehingga kini, Barisan Nasional (BN) pula masih belum jelas pendiriannya sama ada akan meletakkan calon atau tidak untuk menentang Anwar Ibrahim bagi merebut kerusi DUN Kajang.

Walaupun ada pihak termasuk daripada pakatan rakyat sendiri yang mempertikaikan tindakan Lee Chin Cheh meletakkan jawatan tanpa sebab yang munasabah sebagai tindakan yang membazir dan tidak berintegriti. Namun harus difahami bahawa tindakan Lee Chin Cheh meletakkan jawatan walaupun tanpa sebab yang difikirkan munasabah merupakan hak beliau yang dijamin dalam Perlembagaan Malaysia, mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen juga mempunyai hak untuk meletakkan jawatan pada bila-bila masa yang mereka kehendaki walaupun hanya untuk ‘suka-suka’. Oleh itu, sebenarnya tidak timbul soal membazir atau tidak berintegriti kerana ianya adalah hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia. Begitu juga dengan tindakan SPR menetapkan tarikh penamaan calon yang sangat lama dari tarikh kerusi DUN Kajang dikosongkan. Itu adalah hak SPR yang diperuntukkan dalam Perlembagaan, walaupun pada hari penamaan calon adalah hari yang sama Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan berhujah di Parlimen sebagai ketua pembangkang.  

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan mempunyai perlembagaan yang telah digubal oleh Suruhanjaya Reid sebagai undang-undang tertinggi, maka mana-mana individu, kumpulan atau parti politik mempunyai hak-hak tertentu yang telah dijamin berdasarkan amalan demokrasi dan peruntukan dalam Perlembagaan. Secara asasnya sesiapa pun tidak dianggap salah atau ‘berdosa’ dalam apa jua tindakan yang dilakukan selagi tindakan tersebut tidak bertentangan dengan amalan demokrasi dan perlembagaan Malaysia. Oleh itu, mana-mana pihak sama ada parti kerajaan atau pembangkang berhak untuk memanfaatkan segala prinsip demokrasi dan peruntukan yang diberikan dalam perlembagaan untuk mencapai agenda politik masing-masing. Tidak kiralah apa bentuk percaturan atau siyasah syar'iyah mahupun maqasid yang ingin di raih ianya tidak salah atau ‘berdosa’ selagi selari dengan prinsip demokrasi dan peruntukan perlembagaan. Begitu jugalah hak yang dimiliki dari segi mengamalkan agama masing-masing termasuklah hak yang dimiliki oleh umat Islam.

Umat Islam berhak untuk mengamalkan segala ajaran Islam selagi ianya tidak bertentangan dengan amalan Demokrasi dan Perlembagaan Malaysia. Segala perintah dan larangan Allah harus diselaraskan dengan amalan demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Malaysia. Ini kerana, mengamalkan ajaran Islam terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah akan dianggap salah atau ‘berdosa’ jika bertentangan dengan amalan demokrasi dan peruntukan undang-undang dalam perlembagaan. Begitu jugalah dengan tuntutan yang dibuat oleh COMANGGO agar golongan LGBT dan orang Islam yang ingin murtad tidak dianggap salah atau ‘berdosa’ selagi ianya selari dengan amalan demokrasi dan Perlembagaan Malaysia. Bahkan sebenarnya umat Islam yang menentang tuntutan yang dibuat oleh COMANGGO berada dalam pihak yang ‘berdosa’ kerana cuba menghalang hak COMANGGO yang dijamin dalam amalan demokrasi dan Perlembagaan Malaysia.

Oleh itu, dalam suasana menuju PRK Kajang mana-mana pihak sudah pasti akan memanfaatkan segala ruang yang disediakan dalam amalan demokrasi dan peruntukan perlembagaan demi mencapai matlamat politik masing-masing. Bagi umat Islam yang berjuang dalam demokrasi, apakah percaturan politik ataupun siyasah syar'iyah yang mereka dilakukan diambil kira sama ada bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah atau tidak? Bukan itu ukuran utama mereka. Ukurannya adalah amalan demokrasi dan peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan Malaysia. Berbezaan mereka dengan orang-orang bukan Islam dan kelompok sekulara hanyalah pada kandungan kata-kata motivasi yang diberikan kepada ahli masing-masing dan juga istilah-istilah yang digunakan dalam tindakan politik mereka.

No comments:

Post a Comment