Saturday 22 March 2014

PRK DUN Kajang : Siapa yang akan Menang ?


Ada banyak perkara menarik yang boleh diperkatakan tentang Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Kajang (PRK DUN Kajang). Daripada bagaimana PRK Kajang tercetus sehinggalah kepada beberapa peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam masa menuju hari pengundian pada 23hb Mac 2014. Apa yang pasti PRK Kajang mempunyai KELASnya yang tersendiri berbanding dengan PRK-PRK yang pernah diadakan dalam sepanjang sejarah pilihanraya di Malaysia. Apa yang lebih menarik ialah PKR Kajang bukan hanya merupakan perebutan untuk memenangi kerusi DUN Kajang, tetapi ianya merupakan titik tolak atau penentu kepada banyak perkara penting dalam landskap politik Malaysia (Baca : PRK Kajang : Kenapa Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat Mesti Menang ).



Selain itu, kedua-dua calon wanita yang bertanding bagi kedua-dua parti adalah merupakan Pimpinan Tertinggi parti masing-masing.  Calon PKR iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah merupakan President parti PKR dan juga merupakan isteri kepada Ketua Pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Manakala, calon daripada MAC iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun adalah merupakan Naib President parti MCA dan juga merupakan bekas Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Masyarakat. Oleh kerana keputusan PRK Kajang akan memberikan kesan yang sangat besar kepada masa depan politik bagi kedua-dua pihak sama ada daripada pihak Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat , maka, walaupun PRK Kajang hanyalah di peringkat DUN tetapi bahangnya menyerupai Pilihanraya Umum Malaysia.

Bagi pihak Pakatan Rakyat, kemenangan yang mereka inginkan adalah bukan setakat berjaya mempertahankan kerusi DUN Kajang yang telah mereka dimenangi dalam PRU 13 yang lepas, tetapi mereka memerlukan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar agar dapat memberikan signal kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya ahli dan penyokong Pakatan Rakyat bahawa Rencana Kajang atau Kajang Move sedang berada pada landasannya. Manakala bagi pihak Barisan Nasional pula, kejayaan dengan hanya dapat mengurangkan majoriti undi yang telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat pada PRU 13 merupakan satu kejayaan yang  sudah cukup penting dan berharga. Ini kerana, kejayaan mengurangkan majoriti undi Pakatan Rakyat merupakan satu petunjuk bahawa segala usaha-usaha transformasi yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional untuk menarik semula sokongan rakyat telah membuahkan hasil. Selain itu, jika Barisan Nasional mendapat pertambahan undi daripada pengundi cina, maka ianya adalah satu petanda yang positif kepada pucuk pimpinan baharu MCA.  Apatah lagi jika Barisan Nasional berjaya memenangi kerusi DUN Kajang, maka ianya sudah pasti merupakan satu kejayaan yang amat berharga sekali dan sudah pasti akan dijadikan bahan propangada besar-besaran bagi tujuan melemahkan Parti-Parti Pakatan Rakyat  serta untuk mengurangkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Namun, berdasarkan realiti politik semasa adalah satu kejutan yang sangat besar jika Barisan Nasional berjaya memenangi kerusi DUN Kajang dalam PRK kali ini. Ini kerana tiada satu isu/peristiwa yang benar-benar boleh menjadi menjadi trigger untuk undi swing kepada Barisan Nasional. Begitu juga peluang untuk Barisan Nasional mengurangkan majoriti undi Pakatan Rakyat sebenarnya tidak mudah, walaupun tetap masih ada peluang untuk mencapainya.

Berdasarkan persekitaran politik semasa dan tekanan ekonomi yang sedang  dihadapi oleh Malaysia serta beberapa isu yang sedang berlaku di dalam negara, jelas memberikan kelebihan kepada kempen yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat. Isu semasa yang berlaku seperti tempoh pengundian PRK Kajang yang sangat panjang dari masa kerusi DUN diisytiharkan kosong, kehilangan pesawat  MH370, keputusan Mahkamah Rayuan terhadap kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain isu khususnya yang berkaitan dengan korupsi dan salah guna kuasa, dapat digunakan daripada pelbagai angle untuk menyerang atau memburukkan kepimpinan negara yang diterajui oleh Barisan Nasional. Dengan kata lain, Pakatan mempunyai peluang yang sangat tinggi untuk mempertahankan kerusi DUN Kajang,  tetapi mereka perlu struggle untuk meningkatkan majoriti undi berbanding PRU yang lepas.

Apa yang perlu difikirkan adalah, apakah jika kemenangan memihak kepada Pakatan Rakyat, maka ianya merupakan satu  kejayaan untuk rakyat mengecapi kehidupan yang lebih baik seperti yang sering digembar-gemburkan????. Atau sebenarnya ianya merupakan satu khayalan atau impian kosong.  Negara pemerintahan Demokrasi mana yang dikategorikan sebagai sebuah negara yang transparent, good governance, bebas rasuah, memiliki badan kehakiman yang adil dan lain-lain lagi untuk dijadikan model??? Amerika Syarikat… ? Britain...? Korea Selatan...? atau Sweeden!? Singapura? Turki?... Negara mana… !!!?

Sedarlah wahai umat Islam,  berhentilah daripada berkhayal untuk mengecapi kehidupan yang sejahtera dan lebih baik dengan sistem Demokrasi. Sesungguhnya tidak ada satu negara pun di dunia ini yang mengecapi kesejahteraan hidup yang hakiki dengan sistem Demokrasi, apatah lagi untuk menerapkan hukum-hakam Allah swt secara kaffah. Lihatlah dengan penuh kejujuran kehidupan rakyat negara-negara Demokrasi yang yang sering dijadikan contoh sebagai negara yang subur amalan  Demokrasinya. Kesejahteraan hidup yang menipu ! Kehidupan yang mengagungkan material dan hedonisme serta kebebasan kebebasan. Kehidupan seperti itukah yang umat Islam dambakan?  

Oleh itu, pihak yang mencapai kemenangan sebenar dalam mana-mana pilihanraya Demokrasi termasuklah PRK DUN Kajang adalah musuh-musuh Islam. Ini kerana, musuh-musuh Islam masih berjaya mengkhayalkan umat Islam bahawa sistem Demokrasi adalah sistem yang dapat memberikan kesejahteraan hidup dan dapat digunakan sebagai alat untuk mencapai kemenangan Islam. Sebaliknya pihak yang kalah dalam PRK DUN Kajang adalah umat Islam. Umat Islam kalah kerana lebih menyakini sistem Demokrasi yang dicipta oleh akal manusia berbanding dengan sistem Khilafah yang diturunkan oleh Allah SWT. Umat Islam kalah kerana masih tidak dapat membebaskan pemikiran mereka daripada terus dikuasai dan dipimpin oleh idealisme Demokrasi dalam perjuangan mereka.

Artikel yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment