Monday, 10 March 2014

PRK Kajang : Kenapa Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat Mesti Menang

Kehangatan Pilihanraya Kecil (PRK) Kajang semakin terasa apabila tarikh penamaan calon akan  diadakan pada hari ini (11hb Mac 2014). PRK Kajang sudah pasti akan mempersembahkan satu peristiwa politik negara tersendiri kerana PRK Kajang bukan sahaja diadakan atas sebab yang ‘Istimewa’ tetapi juga turut disulami dengan dua peristiwa yang sangat menggemparkan negara.



Peristiwa pertama ialah Ketua Pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah diisytiharkan secara  rasmi  sebagai calon Pakatan Rakyat pada PRK Kajang telah hilang kelayakan untuk bertanding merebut kerusi DUN Kajang apabila didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya iaitu Saiful Bukhari Azlan pada enam tahun yang lepas. Sehari selepas itu, negara digemparkan pula dengan kehilangan pesawat MH370 yang melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing,  pesawat tersebut dikatakan hilang dari radar kira-kira dua jam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 pagi menuju ke Beijing.

Walau apapun yang terjadi, sudah pasti fokus parti-parti yang akan bertanding pada PRK Kajang khususnya parti dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) tidak akan terjejas. Malahan, dapat dijangkakan kedua-dua peristiwa tersebut akan dijadikan sebagai bahan kempen oleh kedua-dua belah pihak untuk menawan hati pengundi. Pihak mana yang akan mendapat advantage daripada kedua-dua peristiwa tersebut ? Sudah pasti ianya bergantung kepada pihak mana yang dapat menggunakan kedua-dua peristiwa tersebut untuk menunjukkan kelemahan pihak lawan agar kemarahan rakyat terhadap parti lawan dapat dibangkitkan.

Kaedah sebegini iaitu membuktikan kelemahan-kelemahan pihak lawan berdasarkan peristiwa yang sedang berlaku adalah sesuatu yang ‘wajib’ untuk memenangi pilihanraya dalam sistem Demokrasi. Dalam pilihanraya Demokrasi, peluang untuk menang semakin tinggi jika kelemahan pihak lawan dapat dibongkarkan sebanyak-banyaknya agar kemarahan serta kebencian rakyat terhadap parti lawan dapat dimarakkan dengan sebesar-besarnya.

Setakat ini hanya dua individu yang disahkan akan bertanding untuk merebut kerusi DUN Kajang iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku President Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datin Paduka Chew Mei Fun yang merupakan Naib Presiden  Malaysian Chinese Association (MCA). Dua orang lagi calon yang telah mengumumkan untuk bertanding iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan Presiden Gerakan Reformasi Rakyat (Reformis), Ramlan Abu Bakar membuat keputusan menarik diri daripada bertanding setelah Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diumumkan sebagai calon PKR bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah hilang kelayakan untuk bertanding. Walau apapun, siapa yang akan bertanding dalam PRK Kajang akan terjawab selepas tarikh penamaan calon dibuka pada hari ini.

Pihak yang bertanding sudah pasti akan merangka strategi yang semaksimumnya untuk memenangi PRK ini kerana pertaruhannya sangat besar khususnya di pihak kepimpinan PKR. Mereka yakni PKR tidak boleh kalah, kerana kekalahan sudah pasti akan memberikan tamparan sangat besar kepada keutuhan kepimpinan mereka dan  akan membuka ruang yang sangat besar kepada parti lawan khususnya BN untuk terus melakukan serangan bagi melemahkan parti PKR. Bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, kekalahan dalam PRK Kajang akan menjadi titik tolak kepada titik noktah usaha beliau untuk menakluki Putrajaya.  Oleh itu, PKR tidak mempunyai pilihan lain kecuali mesti menang. Apatah lagi PRK Kajang diadakan hasil daripada percaturan mereka sendiri. Parti PAS dan DAP yang juga merupakan parti komponen Pakatan Rakyat tidak punya pilihan lain kecuali mesti membantu calon PKR memenangi semula kerusi DUN Kajang.

BN juga sudah pasti akan menginginkan kemenangan atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti undi yang telah dimenangi oleh PKR pada PRU 13 yang lepas. PRK Kajang juga sebenarnya turut menjadi ukuran kepada penerimaan masyarakat cina terhadap kepimpinan baru MCA yang kini diketuai oleh Dato’ Sri Liow Tiong Lai. Kemenangan atau peningkatan sokongan pengundi cina bermakna MCA masih relevan dalam politik Malaysia, jika sebaliknya, maka, itu adalah petunjuk bahawa MCA sudah tidak begitu penting lagi bagi masyarakat cina dan segala usaha yang telah dilakukan oleh MCA untuk menarik semula sokongan pengundi cina tidak berhasil. Bagi Datuk Seri Najib Tun Razak pula, kekalahan bermaksud beliau harus bersedia untuk turun daripada kerusi Pengerusi Barisan Nasional dan juga kerusi Perdana Menteri. Begitulah BESARNYA pertaruhan dalam Pilihanraya Kecil Kajang ini.

Oleh itu, kita akan bakal menyaksikan satu persembahan Kematangan Demokrasi (Baca : PRK DUN KAJANG (N25) : Akan Menjadi Saksi Kematangan Demokrasi Di Malaysia )yang luar biasa dalam PRK Kajang bermula hari ini sehinggalah ke tarikh pengundian pada 23 Mac 2014.

No comments:

Post a Comment