Yaman merupakan salah satu negeri umat Islam yang sering dilanda
dengan konflik peperangan. Selain sering berlaku perang saudara diantara puak
yang bertelagah, Yaman juga sering menjadi sasaran serangan oleh kuasa asing
khususnya Amerika Syarikat atas dakwaan Yaman dijadikan sebagai tempat
persembunyian anggota Al-Qaeda. Kali ini Yaman menjadi mangsa serangan udara
oleh gabungan 10 negara (Maghribi, UAE, Kuwait,
Bahrain, Jordan, Qatar, Pakistan, Egypt, Sudan, dan Saudi Arabia) yang
dikenali sebagai Gulf Cooperation Council
(GCC). Serangan oleh Pakatan GCC yang diketuai oleh Arab Saudi
terhadap kumpulan Houthi di Yemen dilancarkan setelah mendapat keizinan
daripada ‘tuan’ mereka iaitu Amerika Syarikat. Serangan udara oleh GCC terhadap
kumpulan Houthi di Yemen diisytiharkan sendiri dari Washington oleh Duta Arab
Saudi ke Amerika Syarikat iaitu Adel al-Jubier.
Mengetahui pembentukan negara Yaman yang ada pada hari ini
merupakan satu perkara yang sangat penting bagi memahami konflik yang sedang
berlaku di bumi Yaman ketika ini. Negara Yaman yang ada pada hari ini dikenali
sebagai Republik Yaman adalah hasil daripada gabungan Negara Yaman Utara dengan
Negara Yaman Selatan. Kedua-dua negara tersebut bergabung membentuk Negara
Republik Yaman pada tahun 1990 selepas kejatuhan Soviet Union. Sebelum
terbentuknya Negara Republik Yaman, Yaman Utara dan Yaman Selatan merupakan dua
negara yang berlainan.
Dari segi sejarah, Yaman Utara merupakan antara negara bangsa yang
terbentuk selepas kekalahan Daulah Turki Uthmaniyyah kepada Tentera Berikat
dalam Perang Dunia Pertama. Yahya Muhammad Hamid ed-Din (Juga dikenali sebagai
Imam Yahya) menjadi Raja Negara Yaman Utara yang pertama. Manakala, dibahagian
selatan Yaman khususnya Pelabuhan Aden telah dikuasai oleh British. British
telah menjadikan wilayah di sekitar Pelabuhan Aden sebagai Negeri-negeri
Naungan British. Namun akibat daripada perjuangan National Liberation Front
yang berhaluan komunis serta pemberontakan daripada penduduk tempatan yang
dibantu oleh Kerajaan Mesir, maka pada tahun 1967 British telah berundur dari
wilayah yang dikuasainya di sekitar Pelabuhan Aden dan sejak itu terbentuklah
negara Yaman Selatan yang juga dikenali sebagai Republik Rakyat Demokratik
Yaman.
Yaman Utara sebenarnya pernah dikuasai oleh
Imam Yahya yang bermazhab Syiah. Namun telah digulingkan melalui rampasan kuasa
oleh tentera pada tahun 1962. Selepas itu Yaman Utara dikenali sebagai Republik
Arab Yaman dan Abdullah as-Sallal dilantik menjadi Presiden yang pertama. Ali
Abdullah Saleh pula telah mengambil alih jawatan Presiden Yaman Utara tahun 1978. Apabila
Yaman Utara bergabung dengan Yaman Selatan membentuk Negara Republik Yaman pada
tahun 1990, Ali Abdullah Saleh telah dilantik menjadi Presiden Republik Yaman
yang pertama. Manakala, bekas Presiden Yaman Selatan dari Parti Sosialis Yaman
iaitu Ali Salim Beidh dilantik sebagai Wakil Presiden. Hanya selepas 4 tahun
terbentuknya Republik Yaman, pada tahun 1994 perang saudara yang dikenali
sebagai “Perang Musim Panas 94” telah tercetus diantara kerajaan Republik Yaman
pimpinan Ali Abdullah Saleh dengan anggota Parti Sosialis Yaman di wilayah
Selatan Yaman. Parti Sosialis Yaman menuntut untuk membentuk kembali Negara Yaman
Selatan, namun usaha mereka berjaya dikalahkan oleh Presiden Ali Abdullah
Salleh dengan bantuan Kerajaan Arab Saudi dan Parti Islah/Ikhwanul Muslimin.
Tidak lama selepas itu Yaman kembali bergolak
semula pada tahun 2009 apabila wujud pemberontakan di wilayah utara iaitu di
bahagian Sa’adah. Sa’adah merupakan kawasan yang bersempadan dengan Negara Arab
Saudi. Pemberontakan di Sa’adah diketuai oleh kumpulan Houthi yang bermazhab
Syiah Zaydi. Kumpulan Houthi ingin mengembalikan semula kepimpinan Imamah Syiah
yang telah digulingkan dalam rampasan kuasa oleh tentera pada tahun 1962.
Sekali lagi Presiden Ali Abdullah Salleh telah mendapat bantuan daripada
Kerajaan Arab Saudi bagi mematahkan pemberontakan oleh kumpulan Houthi. Ini
kerana Kerajaan Arab Saudi sering menghadapi masalah yang ditimbulkan oleh
kumpulan Houthi di kawasan sempadannya dengan Negara Yaman.
Selain daripada sering menghadapi masalah perang
saudara di bahagian selatan oleh ‘gerakan selatan’ dan kumpulan Houthi di
bahagia Utara, kerajaan Yaman pimpinan Presiden Ali Abdullah Salleh juga
berhadapan dengan masalah dengan kumpulan mujahidin Afghanistan yang berperang
menentang Soviet Union. Selain daripada menjadikan Yaman sebagai kem latihan
ketika berperang menentang Soviet, ramai juga kumpulan mujahidin yang
menjadikan Yaman sebagai tempat tinggal mereka setelah perang menentang Soviet
tamat. Ini menjadikan Yaman turut menjadi tempat buruan oleh Amerika Syarikat
bagi menangkap anggota Al-Qaedah. Dalam hal ini, Presiden Ali Abdullah Salleh sering
memberikan bantuan kepada Amerika Syarikat kerana mengharapkan bantuan kewangan
daripada Amerika. Amerika Syarikat sudah beberapa kali melancarkan peluru
berpandu ke atas Yaman dengan alasan untuk memusnahkan kawasan perlindungan
rangkaian Al-Qaedah.
Ini menunjukkan bahawa sebenarnya Yaman merupakan
antara negara umat Islam yang tidak pernah sunyi daripada pergolakan. Yaman
merupakan negara yang tidak stabil dan terlalu mudah untuk berlaku sebarang
pergolakan. Pemerintah Yaman yang ada tidak mampu untuk mengawal dan mewujudkan
kestabilan di bumi Yaman. Ketidakstabilan di mana-mana negara Timur Tengah
merupakan perkara yang sangat penting kepada kuasa-kuasa barat khususnya
Amerika bagi mengekalkan dan meluaskan pengaruhnya di Timur Tengah.
Bagi Amerika Syarikat, Teluk Aden yang berada di
selatan Yaman merupakan kawasan strategik yang sangat penting bagi Amerika
untuk mengawal laluan kapal dari Terusan Suez ke Laut Merah. Laluan kapal
tersebut merupakan antara laluan yang terpenting di dunia apabila lebih
daripada 30% minyak mentah dan lebih daripada 10% perdagangan di dunia melalui
laluan tersebut. Oleh itu, merupakan satu perkara yang biasa jika Amerika
sengaja menimpulkan ketidakstabilan di bumi Yaman bagi tujuan menguasai laluan
tersebut. Namun demikian, British walaupun tidak setanding dengan kekuatan yang
dimiliki oleh Amerika, namun British masih tetap mempunyai pengaruh di
Negara-negara Teluk dan beberapa buah negara Arab yang lain termasuklah Yaman.
Kebanyakkan Pemerintah Negara-negara Teluk ketika sebenarnya masih setia kepada
British, cuma mereka turut menggunakan pendekatan yang sama dilakukan oleh
‘tuan’ mereka iaitu British dalam berhadapan dengan Amerika.
British walaupun berusaha untuk menjatuhkan
Amerika sebagai kuasa nombor satu, namun British tidak akan menentang Amerika
secara berhadapan malahan akan sentiasa mengekori dan menyokong Amerika
daripada belakang. Inilah pendekatan yang digunakan oleh British sejak Amerika
muncul sebagai negara Super Power selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Amerika
juga sedar akan perkara ini dan Amerika turut mempunyai cita-cita untuk
menghapuskan pengaruh British di keseluruhan rantau Timur Tengah. Oleh itu
Amerika perlu meningkatkan lagi ‘Ancaman’ dan ‘Ketidakstabilan’ dengan cara
membiarkan Iran memberikan sokongan kepada Kumpulan Houthi di Utara Yaman.
Ancaman dan Ketidakstabilan yang dilakukan oleh kumpulan Houthi di bumi Yaman
akan dapat membantu Amerika Syarikat melakukan percaturan politik bagi
menguasai Teluk Aden dan mencabut pengaruh British Negara-negara Teluk.
Kesimpulannya krisis yang sedang berlaku di Yaman
ketika ini merupakan asam-garam yang terpaksa dilalui oleh rakyat Yaman. Ini
kerana, dengan keadaan politik antarabagsa ketika ini yang dikuasai oleh
kuasa-kuasa barat khususnya Amerika, Yaman tidak akan dapat melepaskan diri
daripada menjadi mangsa percaturan oleh persaingan kuasa-kuasa barat untuk
menguasai minyak dan laluan penting di Rantau Timur Tengah. Oleh itu, jika
wujud keamanan atau kestabilan di Yaman dalam masa terdekat ini, ianya hanya
bersifat sementara sahaja. Peperangan dan ketidakstabilan akan muncul semula
apabila kuasa-kuasa barat perlu melakukan percaturan yang lain.
Anda Mungkin Juga Meminati :