Monday, 20 January 2014

Ancaman COMANGO: Sejauh Mana Umat Islam Dapat Menghalangnya?

Tuntutan COMANGO terhadap perkara yang berkaitan pengiktirafan hak-hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan tuntutan agar murtad diiktiraf sebagai kebebasan beragama di Malaysia sudah pasti akan merisaukan umat Islam. Selain itu, COMANGO juga menuntut agar dihapuskan peruntukan undang-undang jenayah yang berkaitan amalan seks di luar tabie serta mempertikaikan dan menolak keislaman kanak-kanak bawah umur apabila salah seorang ibu atau ayahnya menganut agama Islam.

Sudah tentu kerisauan terhadap tuntutan COMANGO tersebut bukan hanya kerana bimbangkan kesan buruk nya kepada kehidupan masyarakat tetapi sebagai umat Islam sudah pasti kerisauan nya adalah kerana takutkan kemurkaan Allah SWT. Islam mengajarkan bahawa setiap muslim mempunyai tanggungjawab terhadap permasalahan umat Islam lebih-lebih lagi terhadap apa yang sedang berlaku di sekelilingnya. Tuntutan COMANGO adalah permasalahan yang berkaitan umat Islam yang sangat serious, dimana setiap umat Islam mempunyai tanggungjawab untuk melakukan sesuatu bagi menyelamatkan kehidupan umat Islam daripada dilanda kemungkaran.

Beberapa langkah proaktif telah dilakukan oleh sebahagian umat Islam sebagai usaha untuk menghalang tuntutan yang dibuat oleh COMANGO termasuklah memberikan tekanan kepada pihak Kerajaan sehingga COMANGO telah diisytiharkan sebagai Pertubuhan Haram  menerusi kenyataan media oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri. Antara sebab COMANGO diisytiharkan sebagai Pertubuhan Haram adalah kerana banyak pertubuhan dalam COMANGO bukan organisasi berasaskan Islam, tidak berdaftar dan malah COMANGO sendiri juga tidak berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Malah Muzakarah Ulama anjuran Majlis Ulama ISMA (MUIS) telah memutuskan bahawa haram menyokong tuntutan yang dibuat oleh Gabungan NGO liberal COMANGO. Muzakarah Ulama tersebut juga telah bersetuju bahawa tuntutan-tuntutan asasi COMANGO adalah bertentangan dengan syarak dan pada masa yang sama bertentangan dengan undang-undang yang sah dengan norma-norma antarabangsa.

Rentetan daripada itu, pihak COMANGO akan mengarahkan peguamcara mereka bagi memfailkan semakan undang-undang di mahkamah tinggi untuk membatalkan pengisytiharan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri. Pihak COMANGO menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh COMANGO adalah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip-prinsip Hak Asasi Manusia atau komitmen Hak Asasi Manusia Malaysia sendiri sebagai Negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Majlis Peguam juga turut mempersoalkan pengharaman COMANGO adalah tidak tepat dan tiada asasnya serta perlu ditarik semula.

Selain itu, Marina Mahadir turut menuntut agar ISMA menarik balik tuduhan keatas dirinya sebagai dalang disebalik tuntutan COMANGO. Marina yang merupakan anak Sulong Tun Mahadir menuntut agar ISMA menarik tuduhan tersebut dari semua media massa dan media online mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dengan serta-merta. Marina Mahadir akan mengambil tindakan undang-undang jika tuntutannya tidak dipenuhi oleh ISMA.

Diperingkat antarabangsa pula, Delegasi MuslimUPRo yang kini sedang berada di Geneva berusaha untuk melobi NGO-NGO Hak Asasi Manusia (HAM) dan misi perwakilan negara-negara anggota PBB menjelang penerimaan muktamad (final adoption) syor-syor kepada Malaysia semasa sesi ke 17 Semakan Berkala Sejagat (UPR) pada 24 Oktober 2013 yang lepas. Selain itu, pada sesi penuh Majlis HAM yang akan berlangsung pada bulan Mac 2014, wakil NGO islam yang bergabung bersama MuslimUPRO telah diberi masa berucap selama 2 minit untuk berhujah bagi mempertahankan agama Islam di Malaysia daripada ancaman tuntutan COMANGO.

Selain itu, delegasi MuslimUPRO juga mempunyai hubungan dengan Geneva International Centre for Justice  bagi memulakan kerjasama jangka panjang untuk memberikan latihan kepada enam aktivis pertubuhan-pertubuhan Islam yang berkaitan dengan selok-belok proses hak asasi manusia diperingkat Majlis Hak Asasi Manusia PBB. Antara tujuan latihan tersebut adalah supaya aktivis pertubuhan Islam mampu untuk terlibat dalam mana-mana mekanisme HAM di peringkat PBB, termasuk proses UPR yang menjadi mekanisme penting semakan rekod HAM negara-negara anggota.

Berdasarkan senario yang sedang berlaku serta usaha-usaha yang dilakukan oleh umat Islam, adakah umat Islam mempunyai harapan untuk menghalang tuntutan COMANGO???

No comments:

Post a Comment