Tuesday, 14 January 2014

Bab 1: Mencari Erti Hidup


Mencari jawapan terhadap tujuan hidup atau makna hidup merupakan sesuatu yang paling penting untuk diselesaikan oleh setiap makhluk yang bernama manusia. Ini kerana sesuatu yang pasti dan tidak dapat dielakkan oleh sesiapapun manusia yang hidup di dunia ini adalah kematian. Kematian tidak mengenal rupa dan bangsa, kematian tidak mengenal warna kulit, kematian tidak mengenal kekayaan, kematian tidak mengenal pangkat dan darjat. Apa yang pasti semua manusia akan menghadapi kematian, tiada siapa yang boleh lari daripada hakikat ini.

Manusia yang bijak dan menggunakan akal yang dikurniakan kepadanya dengan sebaik-baiknya  sudah pasti akan menyedari akan hakikat ini. Manusia yang menafikan akan hakikat kematian merupakan manusia yang tidak berfikiran waras atau manusia yang bodoh. Tiada satu pun mahkluk yang bernyawa di muka bumi ini yang kekal abadi selama-lamanya.

Manusia yang memahami akan hakikat kematian tetapi tidak berusaha untuk mencari jawapan tentang tujuan atau makna hidup sebenarnya juga adalah manusia yang tidak berfikiran waras. Umpama seseorang yang memahami Skim Cepat Kaya adalah satu penipuan tetapi tetap juga menyertainya kerana telah terpedaya dengan kekayaan yang djanjikan sehingga hilang kewarasan dalam membuat pertimbangan. Begitu jugalah tentang kematian, ramai manusia yang akhirnya leka disebabkan oleh keindahan dan kenikmatan hidup di dunia ini sehingga mereka lupa untuk membuat persiapan yang secukupnya sebelum kematian datang menjemput.

No comments:

Post a Comment